Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini melaksanakan Operasi Khas Gempur Teknikal. Ia memberi tumpuan khusus kepada kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam.
Operasi selama lima hari ini berakhir Ahad lalu, dan sepanjang tempoh itu, lebih 17,729 kenderaan diperiksa, menghasilkan 5,306 notis untuk pelbagai kesalahan.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, operasi ini bukan bertujuan untuk mencari kesalahan semata-mata. Namun, untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan kenderaan berada dalam keadaan terbaik.
“JPJ hanya mahu memastikan keadaan jalan raya selamat, bukan sekadar mengeluarkan notis,” jelas beliau.
Tindakan Tegas untuk Keselamatan Jalan Raya
Dari jumlah keseluruhan kenderaan yang diperiksa, sebanyak 1,787 dikenakan tindakan. Termasuk 16 kenderaan yang disita. Ini merangkumi 15 kenderaan perdagangan seperti lori dan treler.
Ads
Manakala selebihnya adalah kenderaan perkhidmatan awam. Kesalahan teknikal yang sering berlaku termasuk penggunaan tayar celup dan brek yang tidak berfungsi dengan baik.
“Kita temui banyak tayar celup yang hampir tercabut lapisan luarnya. Jika ia tertanggal semasa kenderaan sedang bergerak, risiko kepada pengguna jalan raya sangat tinggi. Tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan insiden,” ujar Jana Santhiran.
Kenderaan yang dikesan dengan masalah teknikal akan ditahan serta-merta untuk memastikan ia tidak membahayakan pengguna jalan raya lain. Operasi ini menumpukan kepada pemeriksaan teliti terhadap komponen penting seperti tayar, brek, dan struktur kenderaan bagi memastikan semuanya memenuhi piawaian keselamatan.
Ads
Anggota JPJ Dikerah untuk Penguatkuasaan
Dalam usaha memperkukuhkan keselamatan jalan raya, JPJ kini menggerakkan lebih 1,500 anggota di seluruh negara untuk memperketat penguatkuasaan terhadap kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan. Ini termasuk kesalahan teknikal, dokumentasi, lebih muatan, dan lalu lintas, terutamanya pada musim perayaan di mana trafik lebih sibuk daripada biasa.
“Langkah ini penting untuk memastikan pemandu kenderaan perdagangan dan awam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Fokus kami bukan hanya kepada kesalahan kecil, tetapi aspek yang benar-benar boleh menjejaskan keselamatan,” tambah beliau.
Peringatan untuk Pemandu Kenderaan Perdagangan dan Awam
Operasi seperti ini menunjukkan komitmen JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara. Pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam disarankan untuk sentiasa memeriksa keadaan kenderaan mereka. Terutama komponen penting seperti tayar dan brek. Langkah proaktif ini bukan sahaja dapat mengelakkan tindakan undang-undang tetapi juga melindungi nyawa di jalan raya.
Operasi Khas Gempur Teknikal bukan sekadar kempen pemeriksaan, tetapi satu usaha penting untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kenderaan yang selamat dan terjaga di atas jalan raya kita.
Dua SUV Lexus Bergerak Jadi Gelanggang Tenis, Jamie Murray & Laura Robson Cipta Rekod Dunia Baharu!
Kalau sebelum ini kita biasa tengok aksi tenis di gelanggang biasa, kali ini lain macam sikit.
Dua pemain profesional tenis dari Britain Jamie Murray dan Laura Robson baru sahaja mencatat dua Rekod Dunia Guinness, dan bukan sembarangan rekod.
Mereka berjaya buat 101 volley berturut-turut di atas dua buah SUV Lexus NX Hybrid yang sedang bergerak!
Aksi luar biasa ini dilakukan di Duxford Airfield, England.
Kedua-dua SUV tersebut dipandu secara selari pada kelajuan 29mph (lebih kurang 47 km/j).
Dalam masa yang sama Murray dan Robson berdiri di atas bumbung yang diubah suai menjadi ‘gelanggang bergerak’.
Platform Khas & Keselamatan
Untuk memastikan kedua-dua pemain kekal stabil dan selamat sepanjang aksi berlangsung, platform aluminium rata direka khas dan dipasang kemas atas bumbung SUV menggunakan roof rack.
Turut disediakan, tali keselamatan dan harness bagi memastikan tiada sebarang risiko terjatuh ketika volley sedang berjalan.
Idea gila ini bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, tapi turut menjadi cara Lexus menunjukkan betapa stabil dan ‘senyap’ sistem pemanduan model Lexus NX Hybrid.
Kalau boleh bawa orang main tenis atas bumbung sambil bergerak, bayangkan betapa halus dan mantapnya kawalan SUV ini.
Lexus NX Hybrid, Bukan Sekadar Kenderaan Harian
Lexus NX Hybrid turut diberi spotlight sebagai SUV dengan pengendalian yang tenang, linear dan stabil.
Ini merupakan satu faktor yang amat penting untuk aksi berisiko tinggi macam ni.
Sistem hibrid yang senyap dan lancar juga memainkan peranan besar, memastikan tiada gangguan pada komunikasi atau pergerakan pemain di atas.
Aksi ini dirakam penuh dan kini sedang tular di media sosial seluruh dunia.
Ia bukan sahaja bukti ketepatan dan fokus dua pemain tenis profesional, tapi juga simbol kejuruteraan pintar dari Lexus yang kini terbukti boleh jadi ‘gelanggang bergerak’ paling stabil atas jalan raya.
Ducati sekali lagi mencuri perhatian dunia automotif dengan pelancaran edisi khas Panigale V4 Tricolore di Art Basel Miami 2024.
Didedikasikan untuk peminat motosikal berprestasi tinggi, Panigale V4 Tricolore adalah produksi terhad kepada 1000 unit sahaja.
Motosikal ini tampil menawan dengan skema warna yang diinspirasikan daripada bendera Itali.
Warna hijau di sebelah kiri, putih di tengah, dan merah di sebelah kanan mencipta identiti visual yang mencerminkan warisan Itali.
Kredit Foto : Website Ducati
Kehebatan Teknikal yang Mengagumkan
Model ini membawa inovasi yang melangkaui model Panigale V4 S sebelumnya. Antara ciri teknikal yang menonjol termasuk:
Sistem brek Brembo T-Drive dengan cakera bersirip, memberikan kuasa brek yang lebih mantap dan konsisten.
Rim karbon dengan rekaan 5 jejari berkembar, menjamin kelincahan pengendalian di setiap selekoh.
Klac kering dan pemijak kaki boleh laras aluminium billet yang direka untuk pengalaman perlumbaan sebenar.
Kredit Foto : Website Ducati
Keunikan Rekaan dan Prestasi
Panigale V4 Tricolore dilengkapi enjin Desmosedici Stradale 1,103cc dengan kuasa maksimum 209hp pada 12,750rpm dan tork 89.5 lb-ft pada 11,250rpm.
Kredit Foto : Website Ducati
Rekaannya menggabungkan ciri aerodinamik, ergonomik, dan elektronik untuk memberikan pengalaman tunggangan luar biasa.
Kredit Foto : Website Ducati
Berat basahnya hanya 188kg, menjadikannya salah satu motosikal sport paling ringan dan berkuasa di pasaran.
Meneroka Tradisi dan Masa Depan
Ducati berjaya menghubungkan warisan dan masa depan melalui Panigale V4 Tricolore.
Setiap komponen, daripada tangki bahan api hingga ke single seat, mencerminkan kehalusan buatan Itali yang sukar ditandingi.
Kredit Foto : Website Ducati
Dengan ciri-ciri seperti Ducati Quick Shift, Mod Kuasa, dan sistem brek eCBS perlumbaan, model ini direka untuk memberikan pengalaman seperti pelumba profesional.
Hanya untuk Kolektor Sejati
Sebagai edisi khas, Panigale V4 Tricolore hadir bersama sijil ketulenan dan aksesori eksklusif seperti penutup klac karbon, pelindung brek, dan kit penanggal nombor plat.
Dijual pada harga $58,000 (anggaran RM261,000) harga tidak termasuk cukai untuk pasaran Malaysia, motosikal ini adalah pelaburan berbaloi untuk peminat motosikal daripada jenama Ducati dan pengumpul motosikal mewah.
Persoalan yang mungkin anda sendiri tahu akan jawapanya, siapakah bakal pemilik motosikal ni di Malaysia nanti? sama-sama kita nantikan.
Ramai pemandu mungkin menganggap bahawa sistem Cruise Control hanyalah teknologi tambahan yang memudahkan pemanduan jarak jauh.
Namun, tahukah anda bahawa fungsi ini sebenarnya mampu memberikan penjimatan bahan api yang signifikan?
Bagaimana Cruise Control Berfungsi?
Sistem ini membenarkan kereta anda mengekalkan kelajuan yang tetap tanpa perlu menekan pedal minyak secara berterusan. Ini bermakna, enjin tidak perlu bekerja keras untuk menyesuaikan kuasa bagi setiap pergerakan kaki anda. Dengan mengekalkan kelajuan yang konsisten, penggunaan bahan api menjadi lebih efisien, kerana tiada lonjakan mendadak dalam rev enjin atau pecutan yang kerap.
Penjimatan yang Tidak Dijangka
Penjimatan minyak yang ditawarkan oleh sistem ini mungkin berbeza mengikut jenis kenderaan dan keadaan jalan. Walaupun begitu, kajian menunjukkan bahawa ia boleh menjimatkan sehingga 7-14% penggunaan bahan api ketika di lebuh raya. Bagi pemandu yang kerap melakukan perjalanan jauh, ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga mengurangkan jejak karbon, menjadikannya lebih mesra alam.
Lebih Tenang, Kurang Tekanan
Selain daripada penjimatan bahan api, Cruise Control turut membantu mengurangkan keletihan ketika memandu jarak jauh. Dengan kelajuan yang dikawal secara automatik, anda boleh fokus kepada keadaan jalan dan persekitaran, sekaligus meningkatkan keselamatan pemanduan.
Bilakah Anda Perlu Menggunakan Cruise Control?
Sistem ini paling efektif ketika memandu di lebuh raya yang panjang dan lurus, di mana tiada banyak halangan atau perubahan mendadak dalam kelajuan. Namun, elakkan penggunaan Cruise Control di kawasan berbukit, jalan berselekoh tajam, atau dalam keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat kerana ia memerlukan kawalan manual yang lebih baik.
Teknologi yang Bijak untuk Pemandu Bijak
Dalam era di mana harga bahan api semakin meningkat, Cruise Control menawarkan solusi yang mudah dan praktikal untuk memaksimumkan penjimatan minyak. Ia bukan sahaja teknologi untuk keselesaan, tetapi juga alat pintar yang dapat membantu anda mengekalkan anggaran bahan api. Jadi, jika kereta anda dilengkapi dengan fungsi ini, manfaatkanlah ia sepenuhnya untuk perjalanan yang lebih efisien dan kos efektif.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!