Hot Wheels merupakan jenama mainan kereta miniature popular seantero dunia. Menjadi kegilaan penggemarnya, keunikan yang ditampilkan menjadi satu kelainan tersendiri. Terbaharu khabar daripada jenama ini adalah mengenai kejayaan seorang kanak-kanak yang mana lukisannya bakal diabadikan pada pek bungkusan jenama ini.
Saw Jane Harn, 9, dari Pulau Pinang diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Rekaan Hot Wheels X PROTON Kanak-Kanak 2023. Menerusi kemenangannya ini, dia mencipta sejarah tersendiri sebagai kanak-kanak pertama yang mencipta sejarah apabila karya ciptaannya digunakan sebagai pek bungkusan model kereta permainan (diecast) Hot Wheels.
Walau bagaimanapun, karya tersebut akan menjalani semakan pra-pengeluaran untuk mengenal pasti sebarang kawalan selia atau kelulusan lain yang mungkin diperlukan, dan pasukan Mattel/Proton akan berusaha untuk mendapatkan kelulusan tersebut.
Rekaan Saw Jane Harn akan dicetak pada pek bungkusan Hot Wheels Proton Saga edisi istimewa yang bakal berada di pasaran di seluruh negara pada tahun 2024. Turut berada di kedudukan tiga tebaik ialah Ezra Rehan Pal dan Austin Goh Zi Hao, masing-masing berusia 11 tahun.
“Elemen-elemen Malaysia pilihan Jane Harn untuk rekaannya merangkumkan perlambangan sempurna negara kita yang tercinta. Kami berpendapat karya seni kreatifnya dalam mencerminkan ikon-ikon Malaysia akan menjadi latar mengagumkan untuk Hot Wheels Proton Saga,” ujar Azlan Othman, Ketua Pereka PROTON yang bertindak sebagai salah seorang juri pertandingan.
Pada tahun 2023, Hot Wheels dan PROTON membawa kolaborasi mereka ke tahap lebih bermakna menerusi pengumuman Pertandingan Rekaan Hot Wheels X PROTON Kanak-Kanak. Jenama tersebut mengundang kanak-kanak di serata negara untuk menyertai inisiatif bersejarah ini dengan mereka kad pek blister yang mencerminkan nilai “Kereta Nasional Malaysia” untuk dipaparkan pada produk edisi istimewa tersebut.
BACA JUGA: Perodua Bezza Bakal Terima ‘Wajah Baharu’ Dengan Rekaan Lebih ASEAN
Tiga pemenang utama dan tiga pemenang saguhati pertandingan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai, produk-produk Hot Wheels, koleksi Edisi Terhad Hot Wheels, serta pengalaman sesi bertemu Matt Gabe, Ketua Pereka Pek Bungkusan Hot Wheels yang diterbangkan dari Amerika Syarikat.
“Di Hot Wheels, kami sentiasa mereka berasaskan perspektif kanak-kanak, jadi ia amat menarik untuk melihat perspektif kanak-kanak sendiri menerusi pertandingan ini sekali gus membuatkan kita bertanya: bagaimana dunia kereta dari kaca mata mereka?” jelas Matt Gabe, Ketua Pereka Pek Bungkusan Hot Wheels.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.