Peminat Kereta Klasik, Jangan Lepaskan Heritage Motor Exchange Asia 2026!
Peminat dan pengumpul kereta klasik jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan lebih 50 buah kenderaan “rare” menerusi penganjuran sulung Heritage Motor Exchange Asia 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Acara yang mendapat kerjasama AFFIN Group ini menghimpunkan pengumpul serta peminat kereta dan pemain industri dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Mengangkat tema When Passion Meets Acquisition, penganjuran tersebut bukan hanya mempamerkan kereta klasik, malah memperkenalkan platform jual beli kenderaan koleksi yang memberi penekanan terhadap ketelusan harga, penilaian keadaan kenderaan dan data transaksi pasaran.
Sistem Penilaian 100 Mata Tentukan Nilai Kereta
Antara tarikan utama Heritage Motor Exchange Asia ialah pengenalan sistem penilaian 100-Point Concours Judging System bagi menentukan keadaan sebenar dan ketulenan komponen sesebuah kenderaan.
Penilaian akan dijalankan oleh barisan hakim bebas berpengalaman dengan kerjasama rakan industri dari Eropah.
Setiap kenderaan akan diperiksa berdasarkan keadaan fizikal serta keaslian komponennya, sebelum keputusan penilaian dibandingkan dengan data transaksi pasaran terdahulu bagi menentukan julat nilai pasaran yang bersesuaian.
Menerusi kaedah ini, setiap kenderaan yang mengambil bahagian akan menerima sijil penilaian rasmi atau Valuation Certificate.
Bagi kenderaan terpilih yang ditawarkan untuk jualan, julat harga berdasarkan penilaian turut dipaparkan pada cermin hadapan sebagai panduan kepada bakal pembeli.
Pendekatan berkenaan bertujuan membantu pembeli dan penjual membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih jelas, selain mengurangkan ketidakpastian dalam urusan jual beli kereta klasik dan koleksi.

Enam Kategori Kereta Dipamerkan
Heritage Motor Exchange Asia 2026 akan menampilkan enam kategori utama yang merangkumi pelbagai era perkembangan industri automotif.
Kategori berkenaan terdiri daripada Vintage, Classic, Modern Classic, Contemporary Exotic, Luxury dan Performance.
Bersempena ulang tahun ke-40 WTC KL, acara selama tiga hari itu turut menawarkan lima segmen utama.
Antaranya ialah Concours de Vente, yang mempamerkan kenderaan koleksi terpilih untuk menjalani proses penilaian secara langsung bagi menentukan keadaan dan julat harga pasaran.
Segmen Concours d’Elegance pula memberi penghargaan kepada kenderaan berdasarkan keaslian, nilai sejarah, mutu kerja restorasi dan ketelitian pembuatannya.
Selain itu, Private Consignment Paddock menyediakan ruang jual beli khas bagi pengumpul yang mahu menawarkan kenderaan mereka melalui kaedah consignment dengan maklumat penilaian yang lebih telus.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi segmen Back From the Future, yang menampilkan Mornine, robot humanoid pintar daripada AiMOGA, sebagai salah satu penyampai maklumat kenderaan di lokasi acara.
Sementara itu, segmen Historic Motorsport – Icons are Forever bakal mempamerkan jentera perlumbaan dan rali ikonik, termasuk model yang mempunyai sejarah sejak era 1970-an.

AFFIN Group Sokong Ekosistem Kereta Koleksi
Sebagai rakan penyampai, AFFIN Group melihat penganjuran ini sebagai peluang untuk mendekati golongan pengumpul, usahawan dan pemilik perniagaan yang mempunyai minat terhadap dunia automotif.
Melalui AFFIN DIVENTIUM Private Banking, kumpulan perbankan itu menawarkan perkhidmatan pengurusan kekayaan, penyelesaian kewangan dan kemudahan gaya hidup yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.
Penganjuran ini turut mendapat sokongan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PUSPAKOM bagi memudahkan urusan berkaitan pemeriksaan kenderaan, pertukaran hak milik, cukai jalan dan insurans.
Kemudahan berkaitan penilaian pembiayaan turut disediakan, tertakluk kepada syarat kelayakan dan penilaian yang ditetapkan.
Cycle & Carriage Raikan 75 Tahun Bersama Mercedes-Benz
Satu lagi pengisian menarik ialah penyertaan Cycle & Carriage sebagai Anchor Heritage Partner yang bakal mengetengahkan sejarah hubungannya dengan Mercedes-Benz selama 75 tahun di Malaysia dan Singapura.
Penyertaan itu akan membawa pengunjung mengenali perjalanan jenama berkenaan sejak pengenalan Mercedes-Benz ke Tanah Melayu dan Singapura, termasuk perkembangan industri automotif sepanjang tempoh tersebut.
Heritage Motor Exchange Asia dianjurkan oleh The Collectors’ Consortium dan dikendalikan oleh kurator Andrew Suresh, yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang kereta klasik dan koleksi.
Menurut Andrew, pasaran kereta koleksi di Asia Tenggara selama ini berdepan cabaran berkaitan ketelusan harga serta kesukaran mendapatkan data kenderaan yang boleh dipercayai.
Justeru, penggunaan sistem penilaian 100 mata bersama data transaksi pasaran dijangka dapat membantu mewujudkan kaedah penentuan nilai kenderaan yang lebih konsisten.
Selain pameran, pengunjung turut boleh mengikuti sesi pendidikan berkaitan pemeriksaan kereta klasik, termasuk memahami bagaimana kerosakan atau kecacatan komponen boleh mempengaruhi nilai sesebuah kenderaan.

Harga Tiket Bermula RM13
Heritage Motor Exchange Asia 2026 akan bermula pada Jumaat, 23 Oktober, dengan sesi pratonton eksklusif untuk pengumpul dan wakil media dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Kemasukan orang awam akan diteruskan selepas sesi pratonton sehingga jam 10 malam. Bagi 24 dan 25 Oktober pula, acara dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Harga tiket adalah seperti berikut:
| Kategori | Harga |
|---|---|
| Dewasa | RM23 |
| Pelajar | RM16 |
| Warga emas dan OKU | RM13 |
| Pakej tiga orang | RM66 |
| Kanak-kanak bawah 12 tahun | Percuma |
Baca Juga : Empat Pelumba Simulasi Malaysia Bakal Bersaing di Thailand
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


