Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menyelaraskan operasi waktu puncak bagi perkhidmatan rel (LRT, MRT, dan KL Monorel) serta bas kendalian mereka sepanjang bulan Ramadan tahun ini, yang bermula pada 1 Ramadan (Selasa).
Menurut Prasarana, perubahan ini bertujuan untuk memudahkan perjalanan pengguna sepanjang bulan Ramadan, terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke rumah untuk berbuka puasa.
Operasi waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit bermula dari jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi, berbanding dengan masa sekarang yang bermula dari jam 7.00 pagi sehingga 9.30 pagi. Manakala operasi pada waktu puncak petang akan ditambah satu jam 30 minit, bermula dari jam 4 petang sehingga 8 malam, berbanding dengan masa sekarang yang bermula dari jam 5 petang sehingga 7.30 petang.
Prasarana berharap bahawa penambahan dan peningkatan kekerapan tren akan menyebabkan perjalanan pengguna menjadi lebih lancar. “Diharapkan dengan inisiatif ini, ia akan menggalakkan orang awam untuk menggunakan pengangkutan awam dan seterusnya mengurangkan kesesakan jalan raya,” kata pihak Prasarana dalam kenyataan pada Isnin.
Kecuali perkhidmatan Rapid Bus di Kuantan, waktu puncak operasi bas di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk bas-bas perantara MRT, akan turut diselaraskan mengikut jadual yang sama.
Prasarana turut membuka tiga mini bazar Ramadan di tiga stesen LRT terpilih iaitu Stesen LRT Pasar Seni, Stesen LRT Damai, dan Stesen LRT Ampang Park sempena Ramadan ini. Bagi pengguna di Stesen LRT Sri Rampai, Stesen LRT Taman Melati, dan Stesen LRT Gombak, jualan makanan dan minuman berkonsepkan ‘grab and go’ juga disediakan.
Baca: Penghantar Makanan Bakar Kereta Polis Demi Rating TikTok
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.