
Zeekr 9X menjadi antara tarikan utama apabila Zeekr Malaysia membuat penampilan pertamanya di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 dengan memperlihatkan dua model mewah baharu, iaitu Zeekr 009 Grand dan Zeekr 9X.
Untuk pasaran tempatan, harga Zeekr 009 Grand bermula daripada RM600,000, manakala Zeekr 9X pula bermula daripada RM800,000. Kedua-duanya dipamerkan di KLIMS 2026 yang berlangsung di MITEC dari 12 hingga 21 Jun 2026.
Menurut Zeekr Malaysia, jenama itu telah mencatatkan jualan terkumpul melebihi 4,000 unit berdasarkan data pendaftaran JPJ sehingga Mei 2026.
Angka ini menjadikan Zeekr sebagai jenama EV premium nombor satu di Malaysia dalam tempoh kurang dua tahun sejak ia diperkenalkan pada Disember 2024.
Kemunculan syarikat itu di KLIMS 2026 bukan sekadar pameran produk, tetapi turut membawa tema “Beyond Mobility. Defined by Excellence.”
Tema tersebut mencerminkan fokus Zeekr terhadap pengalaman pemilikan EV yang lebih premium, pintar dan berorientasikan pelanggan.
Antara model utama yang dipamerkan ialah Zeekr 009 Grand, sebuah MPV elektrik ultra mewah dengan susun atur empat tempat duduk.
Model ini jelas memberi tumpuan kepada pengalaman penumpang belakang dan direka khas untuk mereka yang mahukan keselesaan serta kemewahan pada tahap tertinggi.
Antara kelengkapan utama yang ditawarkan termasuk tempat duduk eksekutif baris kedua dengan fungsi hot stone therapy atau SPA, sistem urutan 20 titik, skrin MiniLED bersaiz 43 inci serta sistem bunyi surround yang menggunakan 31 pembesar suara.
Zeekr 009 Grand turut dilengkapi peti sejuk 18 liter dan kemasan kabin menggunakan material premium termasuk trim marmar semula jadi dari Himalaya serta komponen butang kristal lutsinar.
Dari sudut privasi, ia hadir dengan privacy dimming glass pada pintu gelangsar dan bahagian belakang, smart curtain partition glass antara pemandu dan penumpang serta peti keselamatan elektronik berkembar yang dilindungi kata laluan.
Bahagian luar pula menampilkan rim forged 20 inci jenis floating bersama gril hadapan gloss black DARK BADGE yang memberikan imej lebih eksklusif dan agresif.
Selain 009 Grand, Zeekr turut membuka tempahan untuk Zeekr 9X, sebuah SUV mewah berprestasi tinggi yang dibangunkan di atas platform SEA-S dengan seni bina 900V serta sistem SEA Super Hybrid.
Model ini menawarkan kuasa sehingga 1,030 kW, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dilakukan dalam hanya 3.1 saat. Prestasi tersebut meletakkannya dalam kelompok SUV berprestasi tinggi yang mampu bersaing dengan model premium lain di peringkat global.
Dari segi jarak perjalanan, Zeekr 9X mencatatkan jarak gabungan sehingga 1,250 km berdasarkan kitaran CLTC.
Ia juga menyokong pengecasan pantas dari 20 hingga 80 peratus dalam tempoh hanya 8.5 minit, sekali gus meningkatkan kemudahan untuk pengguna yang kerap melakukan perjalanan jauh.
Zeekr 9X turut dilengkapi SEA AI Digital Chassis yang merangkumi air suspension canggih, active roll control dan smart drive modes.
Sistem ini direka untuk memberikan keselesaan ketika pemanduan di lebuh raya serta kestabilan lebih baik di permukaan jalan yang mencabar.
Dari aspek keselamatan, model ini dilaporkan telah melepasi ujian perlanggaran empat arah pada kelajuan 105 km/j. Ia turut dilengkapi pelbagai ciri perlindungan tambahan seperti crosswind control, side-impact lift dan automatic obstacle avoidance.
Bagi menyokong pertumbuhan jenama, Zeekr Malaysia kini mempunyai lapan outlet di Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Ipoh. Jumlah itu disasarkan meningkat kepada 18 outlet di seluruh negara menjelang akhir tahun 2026 termasuk Sabah dan Sarawak.
Zeekr juga memperkenalkan ekosistem pengecasan Zeekr Power. Stesen flagship pertama akan dibuka di XPark Sunway Serene dengan pengecasan ultra pantas sehingga 480 kW DC.
Secara keseluruhan, kemunculan Zeekr di KLIMS 2026 menunjukkan hala tuju jenama itu yang mahu bergerak lebih jauh daripada sekadar menjual EV.
Dengan kehadiran 009 Grand, SUV mewah baharu, rangkaian outlet yang semakin luas dan ekosistem pengecasan sendiri, syarikat tersebut dilihat sedang membina kedudukan yang lebih kukuh dalam segmen EV premium tempatan.
Baca juga: Zeekr 9X SUV PHEV, Output 1,400 PS Dijangka Masuk Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.