Automotif

Xiaomi SkyNomad Ini Boleh Jadi Bilik Tidur, Pejabat & Ada Peti Sejuk

Share

Xiaomi SkyNomad Diperkenalkan, SUV EREV Keluarga Dengan Jarak Gerak Sehingga 1,705 KM

Xiaomi EV memperkenalkan siri Xiaomi SkyNomad di China, terdiri daripada model N90 Max tujuh tempat duduk dan N70 Max lima tempat duduk.

Kedua-duanya merupakan SUV Extended-Range Electric Vehicle (EREV) yang dibangunkan menggunakan seni bina Xiaomi Kunlun, dengan fokus terhadap ruang kabin fleksibel, teknologi keselamatan serta jarak perjalanan gabungan sehingga 1,705 km.

Harga pratempahan bagi Xiaomi SkyNomad N90 Max ditetapkan pada 299,900 yuan, manakala SkyNomad N70 Max pula ditawarkan pada harga 259,900 yuan di China.

Rekaan SkyNomad Mengutamakan Ruang Kabin

Berbeza daripada pendekatan pembangunan SUV konvensional yang biasanya bermula dengan reka bentuk luaran, casis dan sistem pacuan, Xiaomi mendakwa pembangunan SkyNomad bermula dengan menentukan keperluan ruang kabin terlebih dahulu.

Pendekatan tersebut menghasilkan rekaan berkotak dengan garis bumbung rata bagi memaksimumkan ruang kepala untuk penumpang barisan kedua dan ketiga.

SkyNomad N90 Max berukuran 5,285 mm panjang, 1,998 mm lebar dan 1,825 mm tinggi, manakala jarak rodanya ialah 3,080 mm.

SkyNomad N70 Max pula mempunyai panjang 4,960 mm, lebar 1,998 mm dan tinggi 1,765 mm, dengan jarak roda 2,950 mm.

Rekaan lampu hadapan berbentuk “dragonfly” dipadankan dengan lampu belakang berbentuk U terbalik. Motif segi empat bujur turut digunakan pada lampu, pemegang pintu dan kamera sisi bagi menghasilkan identiti visual yang lebih seragam.

Pintu elektriknya boleh dibuka melalui sentuhan atau arahan suara, sementara pintu belakang mampu dibuka hampir 90 darjah untuk memudahkan penumpang keluar masuk.

Sistem antiperlanggaran 360 darjah berasaskan kecerdasan buatan pula berfungsi mengesan halangan berhampiran pintu sebelum menghalang pintu daripada dibuka atau memberikan amaran kepada pengguna.

Kabin Luas Dengan Lantai Rata Sepenuhnya

Antara kelebihan utama seni bina Xiaomi Kunlun ialah lantai kabin yang hampir rata sepenuhnya dari bahagian hadapan sehingga ruang simpanan belakang.

Xiaomi mencapai reka bentuk tersebut dengan mengintegrasikan beberapa komponen di bahagian hadapan, termasuk sistem EREV lima-dalam-satu, modul penyejukan, sistem pendingin hawa dan pemampat.

Unit pacuan elektrik belakang bersepadu pula membantu mengurangkan penggunaan ruang menegak, manakala modul kawalan bateri ditempatkan semula bagi menghasilkan pek bateri lebih nipis.

Hasilnya, lantai kabin mempunyai sudut kecondongan hanya 2.95 darjah dengan panjang hampir tiga meter dan keluasan permukaan rata melebihi 4.4 meter persegi.

SkyNomad N90 Max menawarkan keseluruhan ruang penumpang sepanjang 2,760 mm. Ruang kaki barisan kedua pula boleh dilanjutkan sehingga 1,550 mm apabila tempat duduk belakang digerakkan sepenuhnya.

Rel tempat duduknya boleh mencapai panjang sehingga 1,938 mm dengan jarak pergerakan sehingga 900 mm untuk barisan kedua dan ketiga.

Dalam konfigurasi biasa, ruang kargo masih mampu memuatkan tujuh beg pakaian bersaiz 20 inci ketika kesemua tujuh tempat duduk digunakan.

Apabila mod simpanan maksimum diaktifkan, kapasiti ruang kargo boleh dikembangkan sehingga 1,831 liter dan dikatakan mampu membawa sebanyak 24 beg pakaian bersaiz 20 inci.

Sebanyak 34 ruang penyimpanan disediakan di seluruh kabin, termasuk ruang simpanan penumpang hadapan berkapasiti 18.4 liter serta sehingga 12 sambungan aksesori.

Konfigurasi Tempat Duduk Fleksibel

Xiaomi membangunkan SkyNomad untuk menyokong pelbagai kegunaan, daripada family trip dan urusan perniagaan sehinggalah aktiviti perkhemahan.

Tempat duduk hadapan boleh dipusingkan agar berhadapan dengan tempat duduk barisan kedua, sekali gus mengubah kabin menjadi ruang perbincangan atau ruang santai keluarga.

Tempat duduk barisan kedua dan ketiga pula boleh dilipat untuk menghasilkan ruang tidur dengan panjang maksimum sehingga 2,300 mm.

Antara konfigurasi lain termasuk mod kelas pertama, mod empat tempat duduk eksekutif, ruang permainan kanak-kanak, studio kerja peribadi, tempat duduk menikmati pemandangan serta mod kargo maksimum.

SkyNomad N90 Max turut menyokong sehingga empat tempat duduk dalam konfigurasi graviti sifar, melibatkan tempat duduk hadapan dan barisan kedua.

Tempat duduk hadapan dilengkapi fungsi urutan 16 titik, pengudaraan dan pemanas sebagai kelengkapan standard.

Konsol tengah boleh digerakkan melalui rel serta dilengkapi pengecas tanpa wayar 50W, peti sejuk pemampat berkapasiti sembilan liter, sambungan USB-C dan ruang penyimpanan tambahan.

Material Kabin SkyNomad Premium

Xiaomi mendakwa sehingga 95 peratus permukaan yang kerap disentuh dalam kabin SkyNomad N90 menggunakan material lembut, merangkumi kawasan seluas sehingga 32 meter persegi.

Keseluruhan material dalaman berkenaan turut menerima pensijilan OEKO-TEX dan dikatakan memenuhi tahap keselamatan bahan yang sesuai untuk kanak-kanak kecil.

Dua pilihan warna dalaman ditawarkan, iaitu Cream Beige dan Mocha Brown. Warna luaran pula merangkumi Mountain Green, Valley Blue dan Volcanic Gray.

SkyNomad N90 Max menggunakan rim 21 inci sebagai standard, manakala beberapa pilihan rekaan rim berorientasikan mewah atau sporty turut disediakan.

Struktur Badan Dan 12 Beg Udara

Aspek keselamatan menjadi antara fokus utama pembangunan SkyNomad menerusi sistem Xiaomi Kunlun Total Safety.

Sebanyak 90.4 peratus struktur badan SkyNomad N90 Max dibina menggunakan keluli berkekuatan tinggi dan aloi aluminium. Keluli berkekuatan ultra tinggi 2,200 MPa digunakan pada 16 lokasi kritikal.

Struktur sangkar keselamatan dari tiang A hingga tiang C dikatakan mampu menahan beban mampatan bumbung hampir 14 tan.

Keempat-empat pintu turut menerima palang antiperlanggaran 2,200 MPa, sementara struktur pintu melibatkan tiang A, B, C dan D dibentuk sebagai satu rangka perlindungan untuk kesemua tiga barisan tempat duduk.

Sebanyak 12 beg udara diberikan sebagai kelengkapan standard pada N90 Max, termasuk beg udara sisi untuk barisan ketiga dan beg udara tirai sepanjang 3,200 mm.

Sistem itu disokong sembilan sensor pelanggaran bagi membantu mengesan lebih banyak jenis impak serta menentukan masa pengaktifan beg udara dengan lebih tepat.

SkyNomad turut menawarkan sistem bukaan pintu tiga lapisan yang membolehkan pintu dibuka secara mekanikal ketika bekalan kuasa terputus.

Dua pemegang kecemasan turut ditempatkan pada pintu but bagi membolehkan penumpang barisan ketiga keluar melalui bahagian belakang.

N90 Max dikatakan mampu mengharungi air sehingga kedalaman 750 mm dan mempunyai keupayaan terapung sementara selama tiga minit sekiranya kenderaan terjatuh ke dalam air.

Bateri Xiaomi Armor Scale

Xiaomi SkyNomad menggunakan sistem bateri yang dinamakan Xiaomi Armor Scale Battery.

Menurut Xiaomi, pek bateri berkenaan dilengkapi 18 lapisan perlindungan struktur dan sehingga 16 lapisan perlindungan haba.

Ia dibangunkan untuk terus berfungsi tanpa kebocoran, kebakaran atau letupan selepas menerima impak bawah badan berkuasa 500 joule.

Xiaomi turut mendakwa sistem perlindungan haba baterinya mampu menghalang pemindahan haba antara sel ketika berlakunya thermal runaway pada suhu 55 darjah Celsius dalam keadaan bateri dicas penuh.

Ekosistem Pintar Berasaskan Snapdragon

Sistem elektronik kabin SkyNomad menggunakan modul kawalan empat-dalam-satu berasaskan cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan proses pembuatan empat nanometer.

Ia menawarkan peningkatan prestasi CPU sebanyak 17 peratus serta kuasa pemprosesan kecerdasan buatan dua kali ganda berbanding sistem terdahulu.

Kenderaan ini turut menyokong sambungan dwi-5G, Wi-Fi 7, paparan head-up berkeupayaan 15,000 nit serta sambungan antara enam skrin di dalam kabin.

Sistem audio 25 pembesar suara dan skrin kawalan belakang berukuran 6.9 inci turut disediakan.

Pembantu suara Xiaomi Hyper XiaoAi boleh mengaktifkan sehingga 11 konfigurasi kabin melalui satu arahan, termasuk melaraskan kedudukan tempat duduk, pencahayaan dan suhu kabin.

Bagi sistem bantuan pemanduan, SkyNomad dilengkapi platform pengkomputeran berkeupayaan 700 TOPS, LiDAR hadapan, radar gelombang milimeter 4D..

Siri N90 turut menerima LiDAR belakang bagi membantu mengesan objek rendah atau tergantung ketika meletakkan kenderaan.

Jarak Elektrik Sehingga 505 KM

Sistem Xiaomi Kunlun HyperRange menggabungkan motor elektrik, bateri berkapasiti besar dan enjin pemanjang jarak.

Kapasiti baterinya berada antara 52 kWj hingga 76 kWj, bergantung kepada varian.

Mengikut kitaran ujian CLTC, Xiaomi SkyNomad N70 Max mampu bergerak sejauh 505 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, manakala N90 Max menawarkan jarak elektrik sehingga 464 km.

SkyNomad N90 Max pula mencatat jarak perjalanan gabungan sehingga 1,705 km selepas mengambil kira penggunaan bateri dan bahan api.

Penggunaan tenaga elektriknya dinyatakan pada 15.85 kWj bagi setiap 100 km, manakala penggunaan bahan api ketika tahap bateri rendah boleh mencapai 6.26 liter bagi setiap 100 km.

Model ini boleh menggunakan petrol RON92, RON95 atau RON98 bagi pasaran China.

Selepas servis pertama, unit pemanjang jaraknya hanya memerlukan penyelenggaraan setiap tiga tahun atau 30,000 km.

Pacuan Semua Roda 310 KW

SkyNomad N90 Max menggunakan sistem pacuan semua roda dwimotor yang menghasilkan kuasa maksimum 310 kW.

Sistem suspensinya terdiri daripada binaan double wishbone di hadapan dan multi-link jenis H-arm di belakang.

Ia turut dilengkapi suspensi udara boleh laras lima tahap serta penyerap hentak adaptif bagi mengimbangi keselesaan dan kawalan badan.

Walaupun panjang keseluruhan N90 Max menghampiri 5.3 meter, radius pusingannya hanya 5.95 meter.

Dalam ujian membrek dari kelajuan 100 km/j sehingga berhenti, SUV itu mencatat jarak 38.57 meter dan dikatakan mampu mengekalkan prestasi konsisten untuk 10 kali membrek berturut-turut.

Pratempahan Xiaomi SkyNomad dibuka di China bermula 30 Julai 2026. Pelanggan perlu membayar deposit sebanyak 1,000 yuan untuk mendapatkan keutamaan dalam jadual pengeluaran serta meja pemegang cawan bernilai 999 yuan ketika penyerahan kenderaan.

Setakat ini, Xiaomi belum mengumumkan perancangan untuk menawarkan siri SkyNomad di pasaran luar China, termasuk Malaysia.

Baca Juga : Lambretta J200 Buat Kemunculan Pertama di Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi