
Jenama topi keledar global, YOHE Helmets, kini rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi pengedar tempatan, Hodaka Motoworld Sdn. Bhd.
Pelancaran ini berlangsung dalam acara khas YOHE + RS TAICHI Media Launch, sekali gus menandakan kehadiran satu lagi pemain besar dalam segmen keselamatan penunggang dua roda di negara ini.
Walaupun baru diperkenalkan secara rasmi di Malaysia, YOHE bukanlah nama asing di peringkat global. Ditubuhkan sejak tahun 1993 di Guangdong, China, jenama ini kini merupakan antara pengeluar topi keledar terbesar dunia dengan kapasiti pengeluaran melebihi empat juta unit setahun. Malah, YOHE turut menghasilkan lebih 120 model OEM untuk pelbagai jenama antarabangsa.
Kekuatan utama YOHE terletak pada integrasi pembuatan sepenuhnya daripada acuan, EPS, visor hingga ke proses percetakan yang membolehkan kawalan kualiti yang ketat. Selain itu, produk mereka memenuhi pelbagai piawaian keselamatan antarabangsa termasuk ECE R22.06, DOT, JIS, NBR dan CCC.
Menurut Pengarah Urusan Hodaka Motoworld Sdn. Bhd., Encik James Lim, falsafah utama syarikat adalah menyediakan perlindungan terbaik kepada penunggang motosikal.
Pendekatan ini diterjemahkan melalui strategi harga YOHE yang kompetitif, bertujuan memastikan lebih ramai penunggang mampu memiliki topi keledar berkualiti tinggi tanpa perlu berbelanja besar.
Bagi permulaan, empat model utama diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, merangkumi pelbagai keperluan penunggang daripada penggunaan harian hingga ke pengembaraan jarak jauh.
Model ini ditawarkan pada harga RM319 (solid) hingga RM339 (grafik). Walaupun model ini adalah model “open face” tetapi ia hadir dengan tahap perlindungan hampir seperti helmet penuh “full face”.
Antara kelebihan utamanya termasuk visor tebal 2.2mm bersaiz besar yang melindungi muka sepenuhnya, visor matahari dalaman, serta rekaan aerodinamik yang diuji dalam terowong angin bagi mengurangkan bunyi dan rintangan angin.
Ditawarkan pada harga RM339 hingga RM379, YOHE 886 sesuai untuk penunggang yang mahukan tunggangan lebih stabil pada kelajuan tinggi, tetapi masih selesa untuk dipakai.
Helmet ini direka khusus untuk bentuk kepala pengguna Asia, dengan cangkerang aerodinamik, visor besar, serta sistem visor matahari terbina dalam.
Seperti model lain, ia turut mematuhi standard ECE R22.06 dan dilengkapi ciri keselamatan seperti double D-ring serta komponen dalaman boleh ditanggal.
Dengan harga RM439 hingga RM479, YOHE P4 tampil sebagai helmet modular (flip-up) yang menawarkan fleksibiliti penggunaan dalam satu pakej.
Ia disahkan dengan piawaian P/J, membolehkan penggunaan sebagai helmet penuh atau jet. Antara ciri utama termasuk chinbar boleh dikunci dalam posisi terbuka, sistem pengudaraan optimum, visor tahan calar dengan bidang penglihatan luas, serta keselesaan untuk tunggangan jarak jauh.
Model paling premium dalam barisan ini ialah FG102SV dengan harga RM1,199, direka khas untuk penunggang adventure dan touring.
Helmet ini menggunakan cangkerang komposit gentian karbon 6K bagi mengurangkan berat tanpa menjejaskan perlindungan. Ia turut dilengkapi sistem perlindungan pelbagai lapisan, visor bukaan luas untuk penglihatan maksimum, serta rekaan ergonomik untuk keselesaan perjalanan jauh. Pensijilan ECE R22.06 turut melengkapkan pakej keselamatan model ini.
Buat masa ini, helmet YOHE boleh didapati di beberapa pengedar terpilih sekitar Lembah Klang, termasuk Mecinda Racing, NKS Motorsport, Rika Bike Shop, Vamanz Motowear, Soon Heng Bikers serta ibu pejabat Hodaka Motoworld di Petaling Jaya.
Pengembangan rangkaian jualan ke seluruh negara dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat.
Kemasukan YOHE ke pasaran Malaysia memberikan lebih banyak pilihan kepada penunggang tempatan. Dengan reputasi global, pensijilan keselamatan terkini serta julat harga yang kompetitif, YOHE berpotensi menjadi salah satu jenama pilihan utama dalam segmen helmet di Malaysia.
Baca Juga : Tips Memilih Topi Keledar Mengikut Gaya Tunggangan Anda
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.