Tunggang Uji Yamaha NMAX 155 ABS 2025 : Santai, Praktikal & Tetap Bergaya

Dalam barisan skuter Yamaha, NMAX terus mengukuhkan reputasinya sebagai model pilihan mereka yang mahukan keselesaan, praktikaliti dan imej lebih matang. Kehadirannya melengkapkan segmen skuter urban Yamaha yang semakin berkembang di Malaysia.

Sebaliknya, Yamaha NVX sering menjadi wajah utama dalam kelompok belia. Reka bentuknya yang tajam dan sporty menjadikan ia simbol gaya hidup aktif, sekaligus faktor utama mengapa ramai meletakkan NVX di tangga teratas berbanding NMAX. Dengan kata lain, NMAX menawarkan keselesaan dan ergonomik, manakala NVX mengetengahkan gaya serta visual.

Penulis sebelum ini pernah menunggang uji Yamaha NVX, namun pengalaman tersebut kurang meninggalkan kesan yang positif kerana posisi tunggangan skuter tersebut tidak begitu selesa, khususnya bagi penulis yang berbadan besar dan bertubuh tinggi.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Sebaliknya, setelah mencuba Yamaha NMAX, persepsi itu berubah sama sekali. Ya, inilah antara skuter yang paling selesa pernah penulis tunggang, menawarkan ergonomik yang benar-benar sesuai untuk penunggang dengan fizikal lebih besar.

Generasi terbaharu Yamaha NMAX 155 ABS 2025 hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang berjaya meningkatkan pengalaman tunggangan secara keseluruhan.

Daripada rekaan luaran yang lebih segar, posisi kaki yang menawarkan tahap keselesaan optimum, hinggalah kepada integrasi teknologi moden, model ini benar-benar memberi impresi sebagai sebuah skuter serba lengkap.

Ia bukan sahaja sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar, malah cukup praktikal dan bergaya untuk perjalanan jarak jauh lebih-lebih bagi mereka yang tinggal jauh daripada tempat kerja.

Rekaan & Penampilan

Perubahan ketara dapat dilihat pada rekaan lampu hadapan projektor LED baharu yang tampil lebih segar dan moden. Satu aspek yang wajar dipuji ialah keunikannya kerana rekaan lampu ini tidak menyerupai mana-mana model skuter lain di pasaran, memberikan identiti tersendiri kepada NMAX.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Dalam sesi tunggang uji di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (West Coast Expressway) yang gelap tanpa lampu jalan, prestasi lampu hadapan ini benar-benar meyakinkan. Walaupun saiznya kelihatan kecil, tahap pencahayaan yang dihasilkan sangat terang dan jelas, memberikan keyakinan tambahan ketika menunggang pada waktu malam.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Rekaan garisan badannya kini tampil lebih kemas dengan sentuhan premium, sambil mengekalkan saiz kompak yang memudahkan penunggan untuk mencelah trafik ketika kesesakan jalan raya tanpa terlalu risau.

Walaupun dimensinya kecil sedikit jika dibanding dengan NVX atau XMAX, pengalaman menunggang di lebuh raya tetap meyakinkan dan lebih menarik skuter ini mampu mencapai kelajuan maksimum 123 km/j, dan dengan berat penulis sekitar 130 kg dan ia masih stabil serta mudah dikawal.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Ads

Aspek suspensi turut memberi sumbangan penting terhadap kestabilan tersebut. Kehadiran penyerap hentak berkembar di bahagian belakang bukan sahaja meningkatkan tahap keselesaan, malah memastikan kawalan lebih mantap, khususnya ketika menampung beban penunggang dengan berat badan yang lebih tinggi.

Pilihan warna yang ditawarkan Yamaha untuk NMAX kali ini turut menarik perhatian. Dua warna yang diketengahkan iaitu Magma Black dan Sky Blue memberikan identiti lebih unik berbanding model skuter lain dalam segmennya. Warna matte ini sememangnya tampil premium, namun ia memerlukan penjagaan rapi kerana lebih sensitif terhadap calar dan tidak boleh dipulihkan melalui proses polish seperti warna “gloss” atau “mettalic”.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Ruang Kaki & Ergonomik

Antara ciri yang paling menyerlah pada Yamaha NMAX ialah ruang pemijak kaki di bahagian hadapan yang luas dan direka secara ergonomik. Sebagai penunggang yang berulang-alik hampir 60 km setiap hari, faktor utama dalam pemilihan skuter untuk perjalanan jauh pastinya keselesaan, bukannya kelajuan semata-mata. Dalam aspek ini, NMAX benar-benar memberi kelebihan yang sukar diabaikan.

Dengan harga yang masih berada dalam lingkungan mampu milik penulis di bawah RM15000, NMAX tampil sebagai pilihan utama. Selepas sesi tunggang uji, timbul rasa seolah-olah model ini sesuai untuk menggantikan skuter harian penulis. Bonus paling besar ialah keupayaan untuk melunjurkan kaki ketika menunggang, sesuatu yang amat dihargai terutama bagi mereka yang berbadan besar, bertubuh tinggi atau mempunyai masalah lutut.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Dengan ketinggian 175 cm, penulis tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk duduk lama di atas tempat duduk Yamaha NMAX. Posisi tempat duduk yang selesa, hendal yang mudah dicapai serta ruang pemijak kaki yang panjang memberi fleksibiliti tambahan ketika menunggang jarak jauh. Secara keseluruhan, ia memberikan pengalaman seakan menunggang skuter bersaiz lebih besar, walaupun saiznya kekal kompak dan praktikal untuk kegunaan harian.

Ruang Simpanan yang Praktikal

Ruang simpanan di bawah tempat duduk sememangnya menjadi faktor penting bagi mana-mana skuter harian, dan Yamaha NMAX V3 tampil meyakinkan dengan kapasiti 25 liter. Ruang ini cukup luas untuk memuatkan sebuah helmet jenis half-face, beg kecil, baju hujan, malah masih ada lebihan untuk sebotol air. Bagi mereka yang menggunakan skuter untuk berulang-alik ke tempat kerja, ruang penyimpanan ini jelas memberi kemudahan tambahan tanpa perlu menambah “box” di bahagian belakang.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Sebagai sebuah skuter yang direka tanpa bakul hadapan, kehadiran ruang bawah tempat duduk yang praktikal ini sangat penting. Malah dalam situasi harian, contohnya ketika singgah membeli barang keperluan dapur selepas pulang dari kerja, ruang ini masih mampu menampung barangan asas seperti ayam, sayur atau sekampit beras. Jajan anak pun lepas nak letak di ruangan penyimpanan ini.

Prestasi Enjin & Pengalaman Tunggangan

Enjin 155 cc SOHC Blue Core yang digunakan pada Yamaha NMAX sememangnya sudah dikenali dengan reputasi tahan lasak serta kecekapan penggunaan bahan api. Mampu menghasilkan output sekitar 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm, ia menawarkan kuasa yang memadai untuk kegunaan harian, sama ada di bandar mahupun di lebuh raya.

Ads

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Tidak dapat dinafikan, kini terdapat skuter daripada pengeluar lain yang hadir dengan kapasiti enjin lebih besar pada harga lebih rendah. Namun, perbezaan ketara yang dirasai adalah dari aspek getaran (vibration). Dalam pengalaman tunggang uji model-model lain, getaran pada kelajuan tinggi dan bacaan rpm yang lebih tinggi sering kali menjejaskan keselesaan, terutama bagi perjalanan jarak jauh. Yamaha NMAX pula berjaya mengawal isu ini dengan baik walaupun dipandu pada kelajuan tinggi, tahap getarannya kekal minimum, sekaligus memberikan tunggangan yang lebih selesa dan meyakinkan.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Teknologi & Ciri Moden

Beberapa ciri baharu yang ditawarkan pada Yamaha NMAX 2025 jelas menambah nilai dan memperkukuh kedudukannya dalam segmen skuter premium kompak. Dari aspek keselamatan, model ini hadir dengan sistem brek ABS pada kedua-dua roda yang memberikan keyakinan tambahan ketika membrek mengejut, terutama di jalan licin. Dipadankan dengan cakera brek depan dan belakang, tahap stopping power juga lebih konsisten serta meyakinkan. Tambahan pula, ciri Traction Control membantu mengawal putaran roda apabila tayar mula hilang cengkaman, memberikan kestabilan lebih baik ketika menunggang dalam situasi mencabar.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Dari sudut kecekapan, sistem Start-Stop turut disertakan bagi menjimatkan penggunaan bahan api, khususnya ketika berhenti lama di lampu isyarat. Sementara itu, pengalaman menunggang dipertingkatkan dengan paparan LCD moden yang walaupun monokrom, tetap jelas dibaca dan mampu disambungkan ke aplikasi Y-Connect. Melalui aplikasi ini, penunggang boleh memantau jadual servis, serta menerima notifikasi daripada telefon pintar.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Tidak ketinggalan, port pengecas USB Type-C yang ditempatkan di kompartmen hadapan memudahkan penunggang mengecas peranti mudah alih sepanjang perjalanan, menjadikan NMAX lebih praktikal untuk kegunaan seharian.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Kecil, Mudah Dikawal & Jimat Minyak

Walaupun dikategorikan sebagai sebuah maxi-scooter, Yamaha NMAX V3 tetap terasa ringan dan mudah dikawal, khususnya ketika berdepan kesesakan lalu lintas di bandar. Dengan berat sekitar 131 kg, ia tidak membebankan dan lincah untuk weaving di antara kenderaan lain. Ditambah pula dengan tangki bahan api berkapasiti 7.1 liter yang dipadankan bersama enjin Blue Core, model ini muncul antara skuter paling efisien dalam kelasnya dari segi penggunaan petrol, menjadikannya pilihan ideal untuk kegunaan ulang-alik harian.

Ads

Dalam ujian harian, penulis menggunakan NMAX untuk perjalanan dari Jugra, Banting ke Seksyen 15, Shah Alam hampir setiap hari. Menariknya, penggunaan bahan api hanya menurun sekitar satu bar sahaja bagi setiap perjalanan pergi dan balik. Walaupun kadar penggunaan ini turut dipengaruhi oleh faktor berat badan penunggang, ia tetap membuktikan tahap kecekapan bahan api NMAX yang sangat baik untuk sebuah skuter bersaiz sederhana.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Sesuai untuk Siapa?

Dari segi kesesuaian, Yamaha NMAX V3 boleh dianggap sebagai skuter serba boleh yang memenuhi keperluan pelbagai jenis penunggang. Untuk mereka yang berulang-alik ke tempat kerja, model ini sangat praktikal. Saiznya yang kompak memudahkan pergerakan di celah-celah trafik, penggunaan bahan api yang efisien menjimatkan kos harian, manakala ruang simpanan bawah tempat duduk cukup luas untuk memuatkan beg kerja bersaiz kecil.

Bagi penunggang wanita pula, ketinggian tempat duduk pada paras 765 mm dianggap mesra pengguna. Ditambah dengan berat keseluruhan yang ringan dan rekaan moden yang bergaya, ia menjadikan NMAX mudah dikawal serta berpotensi menarik minat golongan wanita yang mahukan skuter praktikal tetapi tetap tampil bergaya.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Untuk penunggang bertubuh tinggi, NMAX turut menawarkan kelebihan tersendiri. Dengan ruang kaki yang luas dan tempat duduk panjang, mereka yang melebihi ketinggian 175 cm boleh duduk dengan selesa tanpa rasa sempit, menjadikan tunggangan jarak jauh lebih menyenangkan.

Harga & Nilai

Di pasaran Malaysia, Yamaha NMAX 155 V3 ABS 2025 ditawarkan pada harga RM11,498 (atas jalan tanpa insurans). Harga ini boleh dianggap kompetitif jika dibandingkan dengan pesaing sekelas, terutama apabila mengambil kira senarai kelengkapan yang ditawarkan. Dengan ciri keselamatan seperti ABS pada kedua-dua roda, sistem Traction Control, serta praktikaliti ruang kaki yang luas dan selesa, NMAX hadir sebagai pakej lengkap sesuai untuk kegunaan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.

Dari sudut kemampuan memiliki, lazimnya pengeluar kewangan menetapkan had ansuran kenderaan tidak melebihi 15–20% daripada gaji bersih bulanan. Jika diambil kira tempoh pinjaman lima tahun dengan kadar faedah sekitar 5% (anggaran faedah bergantung kepada pengeluar kewangan yang anda pilih), ansuran bulanan NMAX dianggarkan dalam lingkungan RM220–RM250. Ini bermakna, gaji bersih sekitar RM1,500–RM1,800 sebulan sudah memadai untuk layak memiliki model ini tanpa membebankan komitmen bulanan. Bagi mereka yang berpendapatan lebih tinggi, NMAX tampil sebagai pilihan skuter versatil yang bukan sahaja bergaya, malah praktikal dan ekonomik.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Konklusi

Selepas beberapa hari menguji Yamaha NMAX 155 V3 ABS 2025, pendapat peribadi penulis jelas bahawa ia merupakan antara skuter bandar paling selasa dalam kelasnya. Sama ada untuk penunggang lelaki mahupun wanita, golongan muda atau yang lebih berpengalaman, NMAX menawarkan pakej serba lengkap yang memenuhi pelbagai keperluan.

Reka bentuk yang segar, ruang penyimpanan yang luas, serta sokongan teknologi moden menjadikannya pilihan yang logik dan praktikal. Prestasinya juga meyakinkan dengan kelajuan maksimum sekitar 123 km/j walaupun ditunggang oleh penunggang berbadan besar, ia membuktikan bahawa NMAX bukan sekadar skuter harian biasa, tetapi cukup tahan untuk kegunaan jarak jauh.

Mengapa Yamaha NMAX 155 ABS Layak Jadi Skuter Harian Anda?

Dengan harga yang kompetitif dalam segmennya, Yamaha NMAX 155 2025 menonjol sebagai salah satu value-for-money skuter terbaik di pasaran Malaysia. Jika anda sedang mencari skuter yang selesa untuk ulang-alik kerja, stabil untuk perjalanan jauh, sesuai untuk semua peringkat penunggang dan tetap bergaya untuk santai hujung minggu, Yamaha NMAX 155 2025 wajar berada dalam senarai pilihan utama anda.

Baca Juga : Hong Leong Yamaha Motor Taja Pasukan Ragbi 7s Kebangsaan

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI