Automotif

Yamaha Exciter 155 (2026) Special Edition Carbon Dipamerkan di Vietnam

Share

Yamaha Turut Pamer Model Exciter 155 Special Edition Carbon 

Selain memperkenalkan barisan Yamaha Exciter 155 generasi baharu untuk pasaran Vietnam, Yamaha turut mempamerkan sebuah unit khas yang tampil jauh lebih agresif berbanding model standard.

Dikenali sebagai Yamaha Exciter 155 Special Edition Carbon, hampir keseluruhan panel badan jentera ini menggunakan gentian karbon, bermula dari bahagian hadapan sehingga ke panel belakang.

Bagaimanapun, model istimewa ini tidak ditawarkan untuk jualan. Ia dibangunkan sebagai jentera pameran bagi meraikan ulang tahun ke-20 kehadiran Yamaha Exciter di pasaran Vietnam.

Kredit Foto : Website baomoi

Dari segi reka bentuk dan dimensi, Yamaha Exciter 155 Special Edition Carbon masih mengekalkan bentuk asas model standard.

Bahagian hadapan hadir dengan rekaan panel yang tajam, manakala lampu nyalaan siang LED berbentuk seperti mata helang dikatakan mengingatkan kembali kepada identiti Yamaha Exciter generasi 2011.

Perbezaan utama terletak pada penggunaan kit badan gentian karbon yang meliputi hampir keseluruhan motosikal.

Bukan sahaja bahagian hadapan, malah panel sisi, bahagian belakang serta sirip kecil di bawah muncung hadapan turut menggunakan material sama.

Logo khas ulang tahun ke-20 Exciter juga dipaparkan pada badan motosikal.

Sistem Ekzos Akrapovic Titanium

Jentera ini turut dilengkapi beberapa komponen aftermarket berprestasi tinggi, termasuk sistem ekzos Akrapovic dengan peredam pendek berbentuk bulat yang menggunakan material titanium ringan.

Bahagian panel belakang pula dihiasi logo beberapa jenama yang sinonim dengan dunia permotoran dan perlumbaan seperti HJC, IRC, Eneos serta RCB.

IRC merupakan pembekal tayar kepada Yamaha, manakala Eneos pula mempunyai kaitan sebagai rakan pelincir kepada pasukan perlumbaan Yamaha MotoGP.

Kredit Foto : Website baomoi

Set perehat kaki, pedal brek dan penukar gear standard turut digantikan dengan komponen jenis racing footrest.

Kedudukannya dialihkan lebih ke belakang bagi menghasilkan posisi tunggangan yang lebih agresif, selari dengan imej sebuah jentera perlumbaan.

Rim Biru GP, Sistem Brek Dinaik Taraf

Yamaha Exciter 155 Special Edition Carbon menggunakan rim  dengan kemasan biru GP, warna yang cukup sinonim dengan identiti perlumbaan Yamaha.

Sistem brek turut dinaik taraf menerusi penggunaan cakera berprestasi tinggi yang dipadankan bersama angkup brek berwarna biru.

Kredit Foto : Website baomoi

Gabungan panel gentian karbon, rim biru GP, komponen CNC dan sistem ekzos Akrapovic menjadikan penampilan model ini jauh lebih agresif berbanding Yamaha Exciter 155 standard.

Kredit Foto : Website baomoi

Sebagai perbandingan, Yamaha Exciter generasi baharu ditawarkan di Vietnam dalam empat varian iaitu Standard, Premium, SP dan Limited, dengan harga antara 49.9 juta hingga 60.9 juta dong Vietnam.

Baca Juga : Yamaha Y15ZR SE 2026 Terima Warna Baharu Royal Maroon

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi