Automotif

Wing Hin Motorsports Harungi Saingan Mencabar Di Bangsaen

Share

Wing Hin Motorsports Terus Buktikan Keupayaan Di Bangsaen Walaupun Diuji Penalti, Kerosakan Dan Kemalangan

Wing Hin Motorsports menamatkan saingan Pusingan 2 TSS The Super Series dan Thailand Super Series di Bangsaen Grand Prix dengan perlumbaan yang cukup mencabar, apabila pasukan dari Malaysia itu berdepan pelbagai insiden di litar namun masih berjaya mempamerkan prestasi kompetitif dalam beberapa perlumbaan.

Beraksi di trek jalan raya Bangsaen sepanjang 3.74km, pasukan dari Malaysia itu tetap mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila meraih satu kemenangan dan tiga podium daripada empat perlumbaan, walaupun dihimpit beberapa insiden yang menjejaskan peluang mereka.

Berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-20 Bangsaen Grand Prix, pusingan kali ini menyaksikan Wing Hin Motorsports hadir dengan status juara bertahan kelas GT4, selain turut menurunkan empat jentera bagi saingan kelas Super Touring.

Perlumbaan Race 1 TSS The Super Series kelas GT4, jentera #39 Toyota GR Supra GT4 EVO2 yang dipandu oleh pelumba Hong Kong, Ryan Wong dan pakar touring car Malaysia, Mitchell Cheah berjaya meraih tempat kedua.

Keputusan itu hadir menerusi strategi perlumbaan satu jam yang cukup kemas, khususnya di litar jalan raya Bangsaen yang terkenal dengan trek sempit, teknikal dan tidak memberi banyak ruang untuk sebarang kesilapan.

Ryan Wong memulakan perlumbaan dari petak keenam dan mengekalkan rentak  pada fasa awal perlumbaan. Kedudukan mereka kemudian berubah selepas salah seorang pencabar utama tersingkir akibat terkena tembok konkrit.

Mitchell Cheah yang mengambil alih tugas pemanduan pada separuh kedua perlumbaan terus memberi tekanan, malah mencatat masa terpantas perlumbaan iaitu 1 minit 39.030 saat.

Cheah sebenarnya melintasi garisan penamat di tempat pertama, namun penalti masa 15 saat selepas perlumbaan menyaksikan kedudukan mereka jatuh ke tempat kedua keseluruhan.

Menurut Cheah, keputusan itu tetap penting kerana sasaran utama pasukan di Bangsaen adalah untuk mengutip mata sebanyak mungkin di litar yang cukup mencabar.

Race 2 pada Ahad bermula positif buat Cheah apabila beliau menggunakan kelebihan bermula dari petak kedua untuk terus memberi tekanan sebaik perlumbaan dilepaskan.

Selepas aksi rapat secara door-to-door menuju selekoh pertama, Cheah berjaya merampas kedudukan pendahulu dan mula membuka jurang selesa di hadapan.

Sebelum melakukan hentian pit, Cheah terlebih dahulu membina kelebihan sehingga 8.4 saat sebelum menyerahkan jentera kepada Ryan Wong. Wong kembali ke trek selaku pendahulu dengan jurang sekitar sembilan saat, namun nasib tidak memihak kepada mereka.

Ketika berada di kedudukan kedua dan masih berpeluang mencatat podium kedua berturut-turut, kerosakan pada bahagian kanan belakang Toyota GR Supra GT4 EVO2 memaksa beliau menamatkan perlumbaan lebih awal.

Dalam kelas Thailand Super Series Super Touring pula, Nabil Azlan muncul sebagai antara watak penting buat Wing Hin Motorsports. Memulakan Race 1 dari petak kedua, Nabil melakukan permulaan yang cukup kemas untuk terus mengambil alih pendahuluan perlumbaan.

Beliau kemudian berjaya membina jurang sehingga lebih empat saat, namun kelebihan itu terhapus selepas safety car memasuki trek.

Selepas membuat hentian pit wajib, Nabil turun semula ke kedudukan kelapan sebelum mempamerkan pemanduan agresif untuk naik semula ke kelompok hadapan.

Beliau menamatkan perlumbaan di tempat kedua, namun kemudian dinaikkan sebagai pemenang selepas jentera #55 dikenakan penalti 10 saat akibat kesalahan had laju di pitlane.

Rakan sepasukan Wing Hin Motorsports, Nick Teo dan Ian Wong dengan Toyota Vios #9 menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, diikuti Jwan Hii dan Dannies Ng dengan Toyota Yaris #38 di tempat ke-10, manakala gandingan Varunchit Wattanathanakun dan Mekkaradkeeta Kalantananda menamatkan saingan di kedudukan ke-14.

Race 2 Super Touring pula menyajikan detik paling mencemaskan buat Nabil. Berbaki satu pusingan, beliau sedang memburu kedudukan lebih baik selepas naik dari tempat ketiga ke tempat kedua. Namun ketika berada dalam perebutan di kelompok hadapan, jentera #55 Honda CRZ mengalami masalah kotak gear dan tiba-tiba memperlahankan kelajuan.

Nabil tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan belakang jentera tersebut. Impak itu menyebabkan Toyota Vios yang dipandunya terangkat ke udara sebelum mendarat dalam keadaan terbalik di tengah trek. Perlumbaan dihentikan dengan bendera merah, namun Nabil dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Kredit Foto : Wing Hin Motorsports

Keputusan akhir perlumbaan kemudiannya dirujuk kepada klasifikasi satu pusingan sebelum insiden berlaku, sekali gus mengekalkan Nabil di kedudukan ketiga.

Dalam perlumbaan yang sama, gandingan Varunchit Wattanathanakun dan Mekkaradkeeta Kalantananda menamatkan saingan di kedudukan ke-10, diikuti Nick Teo dan Ian Wong di tempat ke-11.

Sementara itu, Jwan Hii dan Dannies Ng pula terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas terbabit dalam insiden dengan tembok konkrit.

Biarpun diuji dengan penalti, kerosakan jentera dan insiden besar di litar, aksi Wing Hin Motorsports di Bangsaen jelas membuktikan pasukan Malaysia itu masih mampu memberi saingan di kelompok hadapan.

Bekalan satu kemenangan dan beberapa podium juga menjadi modal penting buat mereka menjelang Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 21 hingga 23 Ogos ini.

Baca Juga : Toyota SYI Outrun 2026 Himpun Lebih 7,500 Peserta, RM200,000 Disumbang Kepada NCSM

Baca Juga : Toyota Yaris Cross Catat 2298 Tempahan Dalam Tempoh Dua Minggu

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi