Kalau anda peminat SUV premium yang bukan hanya fokus mengenai keselesaan dan gaya, malah juga canggih dan selamat. Inilah masanya untuk kenali Volvo XC90 serba baharu

Model tujuh tempat duduk yang terkenal dengan rupa maskulin dan DNA keselamatannya kini tampil lebih moden, lebih pintar dan lebih mesra alam. Bersedia untuk era elektrik tanpa mengorbankan ciri-ciri yang menjadikannya kegemaran ramai.

Reka Bentuk Segar, Aura Lebih Premium

Volvo XC90 terbaru ini bukan sekadar facelift biasa. Ia diberikan nafas baharu dari luar hingga ke dalam. Bahagian hadapan kini tampil lebih dinamik dengan lampu utama lebih tirus, bampar dan fender diperbaharui serta grafik pengambilan udara baharu. Sentuhan Scandinavia masih jelas kelihatan – bersih, sofistikated dan penuh karisma.

Volvo XC90 Serba Baharu – Gaya Ikonik Kini Lebih Pintar dan Jimat

Di dalam, suasana kabin turut diperhebat. Papan pemuka yang lebih mendatar digabungkan dengan material bertekstur premium serta pencahayaan ambien yang memukau. Paparan tengah bersaiz 11.2-inci kini menjadi pusat kawalan utama. Memaparkan antara muka baharu yang lebih intuitif dan beresolusi tinggi.

Dua Enjin, Dua Gaya Pemanduan

Untuk pasaran Malaysia, XC90 serba baharu hadir dalam dua varian Ultra – satu dengan sistem hibrid plug-in T8 dan satu lagi dengan hibrid ringan B5. T8 ialah pilihan berprestasi tinggi dengan gabungan enjin petrol 2.0L dan motor elektrik berkuasa. Menghasilkan 462 hp dan 709 Nm. Pecutan 0-100 km/j? Hanya 5.3 saat, dan penggunaan bahan api pun sangat rendah – hanya 1.8 liter/100 km.

Ads

Kalau anda mahukan pemanduan lebih ringkas dan penjimatan bahan api yang konsisten, varian B5 ialah pilihan terbaik. Ia menghasilkan 263 hp dengan sistem hibrid ringan 48V yang turut membantu mengurangkan pelepasan karbon. 

Apa pun pilihan anda, kedua-dua model mengekalkan ciri AWD dan transmisi Geartronic 8-kelajuan untuk pemanduan mantap dan yakin.

Volvo XC90 Serba Baharu – Gaya Ikonik Kini Lebih Pintar dan Jimat

Ciri Dalaman Bertaraf Tinggi

Volvo tidak main-main dengan spesifikasi Ultra. Antara ciri standard termasuk sistem audio Bowers & Wilkins dengan 19 pembesar suara. Tempat duduk depan berkuasa dengan pengudaraan, bumbung panoramik. Sistem pendingin hawa empat zon dan sokongan Pilot Assist generasi baharu.

XC90 baharu juga memudahkan hidup dengan pengecas telefon tanpa wayar yang kini dipisahkan dari ruang simpanan. Serta sistem skrin pintar yang belajar tabiat anda – contohnya, memaparkan ikon kamera 360° ketika anda memasuki parkir sempit.

Ads

Pengalaman Pemanduan Lebih Halus

Sistem casis aktif dan suspensi udara empat roda memberikan pemanduan yang sangat selesa dan responsif. Suspensi ini boleh diturunkan untuk aerodinamik lebih baik, atau dinaikkan untuk menempuh jalan tidak rata. Sesuai untuk gaya hidup urban atau luar bandar.

Penebat bunyi turut ditambah baik, membolehkan anda benar-benar menikmati sistem bunyi B&W atau sekadar berbual tanpa gangguan angin dan jalan.

Volvo XC90 Serba Baharu – Gaya Ikonik Kini Lebih Pintar dan Jimat

Keselamatan Tetap Jadi Keutamaan

Sebagai kereta Volvo, keselamatan bukan sekadar ciri tambahan – ia teras utama. XC90 dilengkapi Safe Space Technology, sistem brek kecemasan, bantuan stereng dan pelbagai ciri keselamatan aktif lain yang telah memenangi anugerah antarabangsa seperti Euro NCAP dan IIHS.

Ads

Harga dan Tempahan

Harga bermula dari RM418,888 untuk varian B5 dan RM434,888 untuk T8 – tanpa sebarang kenaikan berbanding model tahun lalu. Anda juga akan menerima lima tahun servis digital, bantuan tepi jalan 24 jam. Serta jaminan tanpa had perbatuan, dan waranti bateri lapan tahun untuk model T8.

Tempahan telah dibuka April ini. Kalau anda sedang mencari SUV yang lengkap dari segi gaya, prestasi, teknologi dan keselamatan – Volvo XC90 baharu ini wajib masuk senarai.

Dari Volvo Malaysia

Baca Juga Volvo EX90 – SUV Elektrik 7 Tempat Duduk Paling Canggih Kini di Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI