SUV paling laris Volvo kini dengan wajah baharu
Selepas memperkenalkan EX90 dan XC90 baharu pada April lalu, Volvo Car Malaysia kini menambah satu lagi pencapaian penting dengan memperkenalkan XC60 facelift untuk pasaran tempatan. Model ini tampil dengan beberapa penambahbaikan rekaan dan teknologi, menjadikannya lebih premium serta relevan untuk gaya hidup elektrifikasi moden.
Dari segi global, XC60 ialah model paling berjaya Volvo dengan hampir 2.7 juta unit terjual, manakala di Malaysia sahaja lebih 6,200 unit telah dimiliki, sekali gus menguatkan reputasi SUV ini sebagai pilihan utama keluarga.
Varian & harga
Refreshed Volvo XC60 ditawarkan dalam dua pilihan elektrifikasi:
XC60 T8 AWD Plug-in Hybrid – harga anggaran dari RM367,888*
XC60 B5 AWD Mild Hybrid – harga anggaran dari RM333,888*
Harga rasmi akan diumumkan kemudian, namun kedua-dua varian sudah boleh ditempah bermula hari ini.
Prestasi & elektrifikasi
Bagi mereka yang mengutamakan pemanduan sifar emisi, XC60 T8 AWD Plug-in Hybrid menawarkan jarak elektrik penuh sehingga 89 km (WLTP) cukup untuk perjalanan ulang-alik harian dalam bandar. Apabila digabungkan dengan enjin petrol yang menghasilkan lebih 450 Nm tork, SUV ini tetap mempunyai prestasi mantap untuk perjalanan jauh.
Sebaliknya, Volvo XC60 B5 Mild Hybrid memberi solusi lebih mudah tanpa perlu pengecasan. Sistem mild hybrid ini menggunakan tenaga brek semula untuk menyokong enjin petrol, membantu mengurangkan penggunaan bahan api serta emisi, sambil mengekalkan kelancaran pemanduan harian.
Rekaan Scandinavia moden
Bahagian luaran kini menerima gril mesh diagonal baharu yang menyerlahkan lampu LED ikonik Thor Hammer, bersama lampu belakang gelap yang lebih sporty. Pilihan rim baharu serta dua warna terkini Forest Lake dan Bright Dusk menyelaraskan Volvo XC60 dengan barisan EV Volvo, sambil mengekalkan gaya Scandinavia yang ringkas dan elegan.
Keselesaan & teknologi
Ruang kabin Volvo XC60 terus mengekalkan reputasinya dengan tempat duduk antara paling selesa dalam segmen. Suspensi udara kini ditawarkan secara percuma untuk varian plug-in hybrid dalam tempoh terhad bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan terutama di jalan Malaysia yang tidak rata.
Kemudahan dalaman turut menerima penambahbaikan seperti pengecas tanpa wayar yang diletakkan lebih ergonomik, pemegang cawan baharu, serta ruang kargo lebih fleksibel. Tambahan pula, sistem penulenan udara canggih Volvo kini menapis sehingga 95% partikel berbahaya untuk memastikan udara kabin sentiasa bersih.
Teknologi pintar
Bahagian tengah papan pemuka kini menempatkan paparan bebas 11.2 inci dengan Google built-in. Antara fungsi yang ditawarkan termasuk Google Maps, Google Assistant, serta akses aplikasi popular seperti Spotify dan Waze.
Bagi pencinta audio, sistem bunyi Bowers & Wilkins High Fidelity menjanjikan pengalaman audio setaraf konsert dalam perjalanan harian.
Ciri keselamatan Volvo
Seperti biasa, keselamatan menjadi tunjang utama. Volvo XC60 didatangkan standard dengan sistem seperti adaptive cruise control, lane-keeping assist, dan collision avoidance, dipadankan dengan struktur badan yang telah lama terbukti sebagai antara paling selamat dalam industri automotif.
Refreshed Volvo XC60 ini terus mengekalkan statusnya sebagai SUV premium segmen pertengahan paling lengkap di pasaran menggabungkan elektrifikasi, keselamatan, keselesaan, dan teknologi terkini dalam satu pakej.
*Harga di Semenanjung Malaysia.
*Jarak berdasarkan ujian WLTP; angka dunia sebenar mungkin berbeza.
Baca Juga : Volvo XC90 Serba Baharu – Gaya Ikonik Kini Lebih Pintar dan Jimat
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.