All-New Honda Vario 125 Facelift 2026: Kini Lebih Sporti, Lebih Urban, dan Hadir Dengan Versi Handlebar Terbuka
Honda kembali menggamatkan pasaran skuter kompak dengan pelancaran All-New Honda Vario 125 Facelift 2026 di Indonesia.
Model popular ini bukan sekadar menerima kemas kini kosmetik malah hadir dengan varian baharu berkonsep Street Style yang menggunakan “handlebar” terbuka ala BeAT Street, menjadikannya lebih ekspresif dan sesuai untuk penunggang urban.
Kredit Foto : Moto Buzz
Reka Bentuk Lebih Segar & Sporti
Bahagian lampu kini tampil serba baharu. Lampu depan, lampu belakang dan signal menerima rekaan lebih sporti dan futuristik. Identiti “V-shape” pada lampu depan masih dikekalkan namun dipertingkatkan dengan teknologi LED generasi terkini untuk pencahayaan lebih terang dan efisien.
Ads
Kredit Foto : Moto Buzz
Meter Paparan Corak Baharu
Panel meter turut mendapat corak paparan serba baru yang lebih fresh dan lebih interaktif selari dengan karakter sporti yang ingin dibawa oleh Vario 125 versi 2026. Walaupun mengekalkan paparan asas yang ringkas, ia kini kelihatan lebih moden dan mudah dibaca.
Kredit Foto : Moto Buzz
Varian Street Style: Pilihan Baharu Yang Lebih Ekspresif
Inilah pembaharuan paling menarik. Versi Street menjadi varian tambahan dalam keluarga Vario 125 facelift. Direka untuk rider muda yang sukakan gaya agresif dan urban, ia hadir dengan:
Ads
Setang terbuka (naked handlebar) untuk rupa lebih “streetfighter”
Panel meter berasingan, tidak lagi terintegrasi seperti versi standard
Warna rim yang lebih atraktif, menaikkan gaya keseluruhan
Hasilnya, Vario 125 2026 versi Street tampil dengan karakter yang lebih kuat dan menarik sesuai untuk mereka yang mahukan skuter dengan identiti tersendiri.
Yamaha Motor Co., Ltd. melakar sejarah baharu dalam pasaran dua roda India dengan memperkenalkan dua model skuter elektrik terbarunya, Aerox E dan EC-06. Kedua-duanya direka khas untuk memenuhi keperluan mobiliti bandar yang semakin menuntut penyelesaian mesra alam dan menjimatkan kos operasi harian.
Bayangkan kesibukan lalu lintas Delhi tanpa bunyi enjin atau asap ekzos itulah visi yang ingin direalisasikan oleh Yamaha menerusi pelancaran ini. Dengan harga petrol mencecah ₹100 seliter di kebanyakan bandar utama dan sokongan subsidi kerajaan menerusi program FAME-III, kemasukan Yamaha ke pasaran EV India dianggap tepat pada masanya.
Dibangunkan sepenuhnya di India tanpa sebarang komponen import dari China, Yamaha menjanjikan kualiti pembuatan tempatan (Made in India) yang tinggi. Langkah ini juga memberi saingan hebat kepada pengeluar EV bajet seperti Ola dan Ather, sekali gus membuka lembaran baharu untuk 70% pengguna muda India yang kini cenderung memilih kenderaan hijau.
Model Aerox E ialah versi elektrik kepada Aerox 155 (NVX) yang terkenal di Asia Tenggara, menampilkan reka bentuk sporty serta prestasi bertenaga. Dihasilkan oleh India Yamaha Motor Pvt. Ltd., ia mensasarkan golongan muda di bandar besar yang mahukan gaya dan prestasi dalam satu pakej.
Ciri utama Aerox E:
Motor & Prestasi: Motor elektrik dengan kuasa puncak 9.5 kW dan tork 48 Nm membolehkan pecutan 0–40 km/j dalam masa kurang 4 saat.
Bateri & Jarak: Dua pek bateri boleh tanggal berkapasiti 1.5 kWh setiap satu (jumlah 3 kWh) menawarkan jarak perjalanan sehingga 106 km bagi setiap cas.
Kelajuan & Ciri Keselamatan: Mampu mencapai kelajuan maksimum 90 km/j, dilengkapi kawalan cengkaman (traction control), sistem brek ABS bersedia dan sambungan aplikasi navigasi.
Harga Anggaran: Sekitar ₹2.9 lakh (anggaran RM17,000) dengan insentif subsidi FAME-III.
Model ini dijangka menarik perhatian pembeli berprofil tinggi di bandar utama seperti Mumbai dan Bengaluru, dengan potensi penjimatan bahan api melebihi ₹50,000 setahun.
Sementara itu, model EC-06 pula dibangunkan hasil kerjasama Yamaha dengan syarikat tempatan River Mobility, berteraskan model Indie yang popular. Yamaha memberikan sentuhan kemasan dan teknologi tambahan pada model ini bagi menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan seharian.
Ciri utama EC-06:
Motor & Prestasi: Motor 4.5 kW (puncak 6.7 kW) dengan kelajuan maksimum 90 km/j sesuai untuk kegunaan bandar.
Bateri & Jarak: Pek bateri lithium-ion tetap 4 kWh memberikan jarak perjalanan 160 km bagi setiap cas.
Ciri Pintar: Tiga mod tunggangan (Eco, City, Sport), gear undur, lampu LED penuh, paparan TFT berwarna, pengecas USB dan ciri keselamatan geo-fencing.
Harga Anggaran: Sekitar ₹1–1.2 lakh (RM5,900–RM7,000), layak menerima subsidi FAME sehingga ₹20,000.
River Mobility turut merancang membuka lebih 1,000 stesen pertukaran bateri di seluruh India menjelang pertengahan 2026, menjadikan EC-06 sebagai pilihan ekonomi dan mudah diselenggara.
Pelancaran dua model ini menegaskan komitmen Yamaha terhadap matlamat neutral karbon menjelang 2050. Kedua-duanya direka untuk mengurangkan pelepasan karbon sehingga 80% berbanding model petrol setara, sekaligus menyokong sasaran kerajaan India mencapai 30% penggunaan EV menjelang 2030.
Reaksi awal dalam kalangan komuniti motosikal amat positif dan ramai pengguna media sosial memuji Aerox E kerana gayanya yang agresif dan prestasi mantap, manakala EC-06 dianggap sebagai skuter pintar paling seimbang dalam kelasnya.
Tempahan rasmi bagi Aerox E dan EC-06 dijangka dibuka bermula Disember 2025, dengan penghantaran pertama dijadualkan pada suku pertama 2026. Kedua-duanya akan dipasarkan menerusi lebih 200 pengedar rasmi Yamaha di seluruh India.
Dengan pelancaran ini diharapa dapat membawa revolusi ke arah mobiliti bandar yang lebih bersih, pintar dan berdaya tahan untuk masa depan.
Marc Marquez, juara MotoGP enam kali, akhirnya menamatkan kemarau kemenangan yang telah berlangsung selama 1043 hari dengan kemenangan bergaya di Grand Prix Aragon pada Ahad lalu.
Pelumba dari pasukan Gresini Ducati ini mempamerkan prestasi yang dominan. Memimpin perlumbaan selepas meraih petak pertama dan kemenangan dalam perlumbaan sprint di Motorland Aragon.
Kemenangan ini juga menandakan kemenangan ke-60 Marquez dalam kelas premier dan yang pertama sejak kemenangan terakhirnya sebagai pelumba Honda pada Grand Prix Emilia Romagna 2021.
Ia adalah kemenangan yang penuh emosi bagi pelumba Sepanyol ini. Marquez telah berdepan dengan pelbagai cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini termasuk masalah penglihatan berganda, empat pembedahan pada lengannya, dan beberapa kemalangan besar.
“Perlumbaan ini sangat sukar, terutama apabila anda mempunyai kelebihan kelajuan, sukar untuk terus fokus, terutamanya pada lap terakhir, tetapi saya berjaya mengawal keadaan,” kata Marquez dengan penuh rasa gembira.
Sementara itu, Jorge Martin meraih tempat kedua dengan jarak hampir lima saat di belakang Marquez, menunjukkan bahawa dia adalah pelumba terbaik selepas Marquez.
Martin kini mempunyai kelebihan 23 mata selepas juara dunia Francesco Bagnaia terlibat dalam kemalangan menakutkan ketika cuba merampas tempat ketiga daripada Alex Marquez.
Pada permulaan perlumbaan, Bagnaia mengalami masalah wheelspin di grid dan terpaksa berhadapan dengan keadaan litar yang basah dan licin, akibat hujan pada pagi Ahad.
Walaupun perlumbaan berlangsung dalam keadaan kering, permukaan litar masih berminyak, menyebabkan Bagnaia terpaksa bekerja keras untuk mengejar pelumba di hadapannya. Namun, percubaannya untuk memintas Alex Marquez di selekoh 13 berakhir dengan perlanggaran yang menyebabkan kedua-dua pelumba terjatuh ke dalam gravel.
Bagnaia memerlukan pemeriksaan di pusat perubatan tetapi disahkan selamat dan tiada kecederaan serius. Ini merupakan kegagalan kedua Bagnaia untuk menamatkan perlumbaan musim ini dan menamatkan rekod lapan podium berturut-turutnya.
Pedro Acosta, yang memulakan perlumbaan dari petak kedua, berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Sekali gus meraih trofi pertamanya sejak Grand Prix Americas pada April.
Pelumba rookie Tech3 ini berada sedikit di hadapan Brad Binder dari pasukan KTM yang menduduki tempat keempat. Manakala Enea Bastianini melengkapkan lima pelumba terbaik.
Secara keseluruhan, perlumbaan di Aragon ini menyaksikan banyak drama dan kejutan. Tetapi yang paling utama adalah kembalinya Marc Marquez ke puncak. Ini memberikan semula sinar harapan kepada para peminatnya selepas sekian lama menunggu.
Lambretta Malaysia memulakan tahun 2026 dengan mengumumkan pelbagai resolusi strategik yang merangkumi pelancaran model baharu, peluasan rangkaian pengedar, pengenalan barangan eksklusif serta penganjuran acara berskala besar.
Perancangan ini dibuat susulan kejayaan memberangsangkan selepas jenama skuter ikonik dari Itali ini kembali ke pasaran Malaysia pada Julai 2024, sekali gus menandakan fasa pertumbuhan baharu yang lebih agresif.
Sejak kemunculan semula di Malaysia, Lambretta berjaya memikat hati penunggang tempatan melalui reka bentuk klasik dengan teknologi moden serta masih mengekalkan identiti model Lambretta itu sendiri.
Model-model popular seperti G-Special dan siri X mencatatkan jualan yang menggalakkan, malah melepasi sasaran awal yang ditetapkan. Sambutan positif ini menunjukkan Lambretta bukan sahaja diterima sebagai kenderaan harian, tetapi juga sebagai simbol identiti bagi peminat skuter premium.
Bagi mengekalkan momentum tersebut, Lambretta Malaysia merancang untuk memperkenalkan antara dua hingga lima model baharu sepanjang tahun 2026.
Model-model ini dijangka hadir dengan peningkatan dari segi prestasi, kecekapan dan teknologi terkini, termasuk ciri keselamatan dan keselesaan yang lebih baik.
Walaupun tampil dengan pembaharuan, identiti reka bentuk retro-moden yang menjadi DNA Lambretta akan terus dikekalkan, menjadikan setiap model relevan untuk generasi baharu tanpa melupakan sejarahnya.
Seiring pertambahan jumlah pemilik, Lambretta Malaysia turut memberi penekanan kepada aspek sokongan selepas jualan.
Menjelang akhir 2026, rangkaian Lambretta disasarkan berkembang kepada sekitar 15 hingga 20 lokasi di seluruh negara. Ini termasuk pusat flagship, pusat servis khusus serta pop-up experience yang akan dibuka di beberapa negeri seperti Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan.
Langkah ini bertujuan memastikan pemilik mendapat akses lebih mudah kepada servis profesional, alat ganti tulen serta perkhidmatan ubah suai yang berkualiti.
Selain fokus kepada produk skuter, Lambretta Malaysia turut merancang pelancaran barangan rasmi eksklusif pada tahun 2026. Koleksi ini merangkumi pakaian, aksesori, helmet dan barangan gaya hidup yang diinspirasikan daripada sejarah lebih 75 tahun jenama Lambretta.
Kehadiran barangan ini membolehkan peminat menzahirkan minat mereka terhadap Lambretta dalam kehidupan seharian, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara jenama dan komuniti pengguna.
Sepanjang tahun 2026, pelbagai aktiviti akan dianjurkan termasuk konvoi motosikal, bengkel teknikal, autoshow dan konvoi rentas sempadan bersama negara-negara ASEAN.
Inisiatif ini bertujuan membentuk komuniti “Lambrettista” yang aktif, saling menyokong dan berkongsi minat terhadap dunia skuter, di samping memupuk budaya tunggangan yang selamat dan berdisiplin.
Kemuncak kepada resolusi 2026 ini ialah cubaan mencipta rekod rasmi peringkat ASEAN dan Asia yang akan berlangsung di Petronas Sepang International Circuit pada 11 Januari 2026.
Acara ini dianjurkan bersempena pelancaran Casa Lambretta Malaysia dan perhimpunan mega Lambrettista, dengan sasaran menghimpunkan ratusan skuter Lambretta di satu lokasi.
Selain sesi tunggangan penuh di litar, acara ini turut diserikan dengan pameran, aktiviti komuniti dan hiburan, menjadikannya satu sambutan besar kepada legasi Lambretta.
Secara keseluruhan, perancangan Lambretta Malaysia bagi tahun 2026 mencerminkan komitmen jangka panjang jenama ini dalam membina ekosistem skuter premium yang menyeluruh.
Di bawah pengedaran Bike Continent Sdn Bhd, Lambretta bukan sahaja menawarkan produk, tetapi juga gaya hidup, komuniti dan pengalaman yang lengkap.
Dengan strategi yang tersusun dan sokongan peminat yang semakin kukuh, Lambretta dilihat berada di landasan tepat untuk terus berkembang sebagai salah satu pemain utama dalam segmen skuter premium di Malaysia.
Honda Impian X Kuek Motor Nilai Tawarkan Fasiliti Lengkap
Boon Siew Honda (BSH) terus mengukuhkan rangkaian pengedarnya di Malaysia menerusi pembukaan rasmi Honda Impian X...