Thunder LS250-S Rasmi di Malaysia – Custom Bobber Jepun, Pilihan Hardtail dan Softail
Pasaran motosikal di Malaysia kini menerima satu lagi jenama baharu apabila Thunder Motorcycles membuat kemunculan sulungnya menerusi pelancaran model Thunder Custom LS250-S.

Model ini dibawa masuk oleh Bike Continent Sdn Bhd, syarikat yang sama mengedarkan jenama Scomadi dan Lambretta di pasaran tempatan. Pelancaran ini sekali gus memperkenalkan alternatif baharu kepada peminat motosikal custom, khususnya dalam segmen 250 cc.
Harga Sekitar RM24k
Thunder Custom LS250-S ditawarkan pada harga RM23,788 tidak termasuk insurans, menjadikannya antara motosikal custom paling mampu milik di Malaysia ketika ini.
Menariknya, model ini hadir dalam dua pilihan versi iaitu Hardtail dan Softail, memberi kebebasan kepada pembeli untuk memilih mengikut keutamaan sama ada lebih menitikberatkan gaya atau keselesaan.

Walaupun Thunder Motorcycles berasal dari Jepun, pengeluaran motosikal ini dilakukan di China.
Pendekatan ini membolehkan kos pengeluaran dikawal dengan lebih baik, sekali gus membolehkan harga jualan ditawarkan pada tahap yang lebih kompetitif. Walaupun begitu, identiti rekaan dan falsafah custom Jepun masih jelas diterapkan pada LS250-S.

Enjin V-Twin 250 cc
Bagi trenkuasa, Thunder Custom LS250-S dikuasakan oleh enjin dua silinder V bersesaran 249 cc dengan sistem suntikan bahan api.

Enjin ini digandingkan dengan transmisi manual lima kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa maksimum sekitar 13 kW pada 8,000 rpm serta tork puncak 19 Nm pada 6,000 rpm. sesuai untuk tunggangan harian mahupun santai hujung minggu.

Satu kelebihan besar LS250-S ialah ia boleh ditunggang menggunakan lesen B2. Selain itu, motosikal ini telah mendapat kelulusan JPJ dan sah digunakan di jalan raya Malaysia. Ini menjadikannya antara motosikal custom 250 cc yang benar-benar ‘plug and play’, tanpa perlu risau soal pendaftaran atau pengubahsuaian tambahan.

Kuasa enjin disalurkan ke roda belakang melalui sistem pacuan rantai. Kedua-dua roda hadapan dan belakang menggunakan rim bersaiz 16 inci, satu pilihan yang mengekalkan siluet bobber klasik. Sistem brek cakera digunakan pada kedua-dua hujung bagi memastikan prestasi membrek yang memadai.

Ciri paling menonjol pada Thunder Custom LS250-S ialah penggunaan suspensi hadapan jenis springer fork, komponen yang lazim ditemui pada motosikal custom dan bobber klasik.

Untuk bahagian belakang pula, versi Hardtail dilengkapi sistem spring di bawah tempat duduk, manakala versi Softail menggunakan monoshock tersembunyi yang menawarkan tahap keselesaan lebih baik tanpa menjejaskan rupa keseluruhan motosikal.

Dari sudut rekaan, LS250-S tampil ringkas dan “clean”, selari dengan falsafah bobber. Ia dilengkapi hendal jenis low-rise dengan pegangan lebar, sistem ekzos berkembar serta tangki bahan api jenis ‘peanut’ berkapasiti tujuh liter. Gabungan ini memberi karakter klasik dengan sentuhan moden.

Thunder Custom LS250-S mempunyai panjang keseluruhan 2,240 mm, lebar 750 mm dan tinggi 980 mm. Ketinggian tempat duduk yang rendah iaitu 650 mm menjadikannya mudah dikendalikan oleh pelbagai ketinggian penunggang. Jarak roda dicatatkan pada 1,570 mm, kelegaan tanah minimum 110 mm dan berat bersih sekitar 181 kg.

Alternatif Custom “Factory Ready”
Sebagai motosikal custom siap dari kilang, LS250-S menawarkan gaya custom tanpa perlu kos ubah suai tambahan. Dengan harga sekitar RM24k, Thunder Custom LS250-S menjadi pilihan untuk mereka yang mahukan motosikal bergaya bobber, sah digunakan di jalan raya dan ditawarkan pada harga mampu milik.
Baca Juga : Lambretta Malaysia Umum Perancangan Besar Tahun 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






