Suzuki e VITARA Tawarkan Bateri 61kWh, Jarak Pemanduan 426km
Naza Eastern Motors secara rasmi melancarkan Suzuki e VITARA, model kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama Suzuki di Malaysia, sekali gus menandakan permulaan era baharu jenama Jepun itu dalam pasaran mobiliti elektrik negara.
Model yang dibangunkan berasaskan falsafah “Emotional Versatile Cruiser” ini menggabungkan teknologi elektrik moden dengan karakter SUV lasak yang sinonim dengan Suzuki sejak sekian lama.
Ditawarkan pada harga RM188,000 (atas jalan tanpa insurans), Suzuki e VITARA akan dibawa masuk dalam jumlah terhad bagi fasa pertama, memberi peluang kepada pelanggan menjadi antara pemilik awal SUV elektrik pertama Suzuki di Malaysia.

Platform Baharu Dengan Jarak Pemanduan Sehingga 426km
Suzuki e VITARA dibina menggunakan platform elektrik baharu HEARTECT-e yang direka khas untuk model BEV.
Kuasa disalurkan menerusi sistem eAxle generasi baharu yang menggabungkan motor elektrik, inverter dan gear pengurangan dalam satu unit yang lebih kompak serta efisien.
Jantung kepada sistem ini ialah bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 61kWh, dipadankan dengan motor elektrik pacuan roda hadapan yang menghasilkan 128kW (172hp) dan 193Nm tork.
Gabungan ini membolehkan e VITARA menawarkan jarak pemanduan sehingga 426 kilometer bagi sekali cas penuh.
Pemandu turut boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport mengikut keadaan jalan atau gaya pemanduan masing-masing.

Sokong Pengecasan Pantas DC
Bagi aspek pengecasan, Suzuki e VITARA menyokong pengecasan pantas DC yang mampu mengecas bateri daripada 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 45 minit.
Untuk pengecas AC 7kW pula, proses pengecasan penuh daripada 10 hingga 100 peratus mengambil masa kira-kira sembilan jam.
Bateri tersebut turut dilengkapi sistem penyejukan cecair serta beberapa lapisan perlindungan bagi memastikan prestasi dan ketahanan jangka panjang.

Rekaan Futuristik Berinspirasikan “Metal Beast”
Dari segi penampilan, Suzuki menerapkan konsep reka bentuk “High-Tech & Adventure” yang diinspirasikan daripada tema Metal Beast.
Bahagian hadapan tampil garang menerusi lampu LED tiga elemen bersama gril berbentuk heksagon, dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18 inci.

SUV elektrik ini mempunyai dimensi:
- Panjang: 4,275 mm
- Lebar: 1,800 mm
- Tinggi: 1,635 mm
- Jarak roda: 2,700 mm
- Ruang kargo: 306 liter
Walaupun bersaiz kompak sesuai untuk kegunaan dalam kawasan bandar, dimensi tersebut masih menawarkan ruang kabin yang luas dan praktikal.

Pelanggan boleh memilih lima pilihan warna:
- Celestial Blue Pearl Metallic
- Bluish Black Pearl
- Land Breeze Green Pearl Metallic + Bluish Black Pearl
- Splendid Silver Pearl Metallic + Bluish Black Pearl
- Grandeur Grey Pearl Metallic + Bluish Black Pearl
Kabin Lebih Moden dan Digital
Masuk ke ruang kabin, Suzuki memperkenalkan rekaan dalaman serba baharu yang lebih premium dengan penggunaan kemasan piano hitam, fabrik Melange Jersey, kulit sintetik serta kemasan perak gelap.

Tumpuan utama diberikan kepada Integrated Display System (IDS) yang menggabungkan paparan meter digital dan skrin infotainmen dalam satu panel bagi memudahkan akses kepada maklumat pemanduan, sistem hiburan serta kawalan kenderaan.

Antara kelengkapan lain termasuk:
- Stereng dua jejari baharu
- Shift-by-wire
- Pengecas telefon tanpa wayar Qi
- Port USB-A dan USB-C depan serta belakang
- Ruang simpanan bercahaya (ambient lighting)
- Perehat tangan belakang dengan pemegang cawan
- Susunan tempat duduk fleksibel bagi ruang kargo lebih besar
Lengkap Dengan ADAS dan Kamera 360 Darjah
Dari sudut keselamatan, Suzuki e VITARA didatangkan dengan pakej bantuan pemanduan moden (ADAS) yang merangkumi:
- Dual Sensor Brake Support II
- Lane Keep Assist
- Lane Departure Prevention
- Adaptive Cruise Control
- Blind Spot Monitor
- Rear Cross Traffic Alert
- Adaptive High Beam System
- High Beam Assist
- Multiple Collision Braking
- Struktur badan TECT
- Beg udara SRS
Turut melengkapkan pakej ialah sistem kamera 360 darjah yang menawarkan paparan bird’s-eye dan eye-level bagi memudahkan proses parkir serta pemanduan pada kelajuan rendah.

Waranti Lebih Menarik Untuk Pemilik Suzuki
Bagi memberikan keyakinan kepada pembeli, Suzuki menawarkan pakej waranti yang merangkumi:
- Waranti kenderaan: 5 tahun tanpa had perbatuan
- Waranti komponen EV: 5 tahun atau 100,000 km
- Waranti bateri: 8 tahun atau 160,000 km
Sebagai promosi pengenalan, 10 pelanggan pertama yang membeli Suzuki e VITARA akan menikmati pengecasan EV percuma selama lima tahun di pusat servis Suzuki terpilih, tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain itu, Naza Eastern Motors turut mengumumkan lanjutan waranti kepada lima tahun tanpa had perbatuan bagi beberapa model Suzuki terpilih termasuk:
- Jimny AllGrip Plus
- Jimny Rhino Plus
- Fronx
- Fronx Sport
Pakej baharu ini menggantikan waranti terdahulu selama tiga tahun atau 100,000 kilometer.
Rangkaian Selepas Jualan Seluruh Negara
Bagi menyokong pemilik e VITARA, Naza Eastern Motors kini mempunyai rangkaian 14 pusat jualan dan 13 pusat servis di seluruh negara, sekali gus memastikan pelanggan mendapat akses mudah kepada perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

Dengan kemunculan e VITARA, Suzuki kini secara rasmi memasuki segmen kenderaan elektrik di Malaysia. Walaupun ditawarkan dalam kuantiti terhad pada peringkat awal, model ini dijangka menjadi langkah penting dalam strategi elektrifikasi global Suzuki serta memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna tempatan yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik.
Baca Juga : Suzuki Jimny AllGrip Plus & Fronx Sport Rasmi Di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






