Kejayaan Konsisten Menerusi Strategi Kukuh
Sime Darby Auto ConneXion-Ford (SDAC-Ford), selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam landskap automotif negara.
Kejayaan berterusan pada tahun 2024 menjadi bukti kukuh bahawa strategi berpaksikan pelanggan, inovasi teknologi, dan penekanan terhadap kualiti memberi pulangan yang ketara.

Prestasi jualan yang stabil, rangkaian yang semakin meluas serta pelbagai pengiktirafan industri mengukuhkan kedudukan Ford sebagai antara jenama yang diyakini di negara ini.
Dua model yang dilancarkan tahun lalu Ford Ranger StormTrak Edisi Terhad dan XLT Plus Edisi Khas berjaya mencuri tumpuan ramai.
Secara tidak langsung menandakan permintaan pasaran yang tidak pernah surut terhadap trak pikap berprestasi tinggi.
Pelaburan Dalam Rangkaian dan Kemudahan Pelanggan
SDAC-Ford mengambil langkah progresif dengan pembukaan sembilan bilik pameran baharu serta penambahbaikan fasiliti sedia ada di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini sejajar dengan piawaian global Ford Signature yang mengutamakan pengalaman pelanggan secara menyeluruh.
Antara kemudahan utama yang ditambah baik termasuk:
Millennium Automart di Kuantan
Pusat 2S di Kapit dan Mukah
Bilik pameran 3S terbesar di Pulau Pinang

Turut menerima naik taraf ialah cawangan Seremban (Trio Mantap), Kuala Terengganu (I-Expert), Kuala Lumpur (Capital Intertrade), Klang (SemangatAnggun), dan Sibu (Ngu Brothers).
Sekali gus menambah baik pengalaman pelanggan dari segi jualan, servis dan alat ganti.
Peluasan Strategik 2025: Lebih Luas, Lebih Mantap
Rancangan tahun 2025 menyaksikan SDAC-Ford bakal menubuhkan beberapa pusat 3S baharu.
Antaranya Supreme Priority Kluang di Johor dan Millennium Automart di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Selain itu, pusat sedia ada seperti ALV Auto World, SDAC Kuching, SDAC PJ, Trio Mantap Kajang, Tugu Etika dan TB Automotive akan menjalani kerja naik taraf yang dijadual selesai menjelang akhir tahun.
Inisiatif digital melalui pelaksanaan Ford Guest Experience turut dinaik taraf.
Inisiatif ini bertujuan untuk mempertingkatkan kecekapan dan pengalaman pelanggan di cawangan utama seperti Ara Damansara, Petaling Jaya, Kuching dan Pulau Pinang.

Lokasi lain juga bakal menerima pelaksanaan sama.
Lokasi tersebut adalah Supreme Priority Kluang, Sing Kwung Melaka, Boston Auto Kota Kinabalu dan I-Expert Kuala Terengganu sebelum pertengahan 2025.
Baca Juga : Auto ConneXion-Ford Diiktiraf Antara Enam Pengedar Terbaik Dunia dalam Perkhidmatan Masyarakat
Pengiktirafan dan Anugerah: Bukti Mutu Tanpa Kompromi
Tahun 2024 juga menyaksikan SDAC-Ford meraih pelbagai anugerah berprestij, menandakan tahap pencapaian luar biasa dalam sektor ini.
Ford Ranger Platinum memenangi dua anugerah utama di Anugerah Kereta Terbaik MARii .
Anugerah Pilihan Rakyat dan Trak Pikap Terbaik membuktikan pengiktirafan terhadap kualiti Ford.

Di peringkat serantau pula, SDAC-Ford diiktiraf menerusi Anugerah Presiden 2024 bagi NPS Pengedar dan Pembelian Alat Ganti pada Malam Anugerah Pemasaran Pengedaran Ford Asia Pasifik.
Ford Ranger Raptor Bi-Turbo Diesel tidak ketinggalan apabila dinobatkan sebagai Trak Pikap Terbaik Tahun Ini oleh Anugerah Kenderaan Terbaik Allianz DSF.my 2024.

Malah, Ford Ranger juga menerima penghargaan Trak Pikap Terbaik oleh Anugerah Pilihan Rakyat Carlist.my & WapCar.my 2024 – satu lagi bukti keunggulan prestasi dan ketahanan jentera Ford.
Lebih membanggakan, SDAC-Ford turut meraih Anugerah “Salute to Dealers” oleh Ford Motor Company.
Anugerah ini telah menjadikan mereka salah satu daripada hanya enam pengedar di peringkat global yang menerima pengiktirafan atas sumbangan kepada pembangunan komuniti.
Komitmen Berterusan Demi Pelanggan Malaysia
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, menyatakan,
“Tahun 2024 merupakan tahun yang penting bagi Auto ConneXion-Ford. Sebagai pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, pencapaian kami dalam memenangi pelbagai anugerah industri dan menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik mencerminkan dedikasi dan kualiti perkhidmatan kami.”
Beliau turut menegaskan bahawa pelaburan berterusan dalam bilik pameran dan fasiliti adalah gambaran jelas terhadap wawasan jangka panjang SDAC-Ford di pasaran tempatan.

Sementara itu, Turse Zuhair, Pengarah Urusan Auto ConneXion menambah,
“Pasukan profesional jualan dan selepas jualan kami yang terlatih memastikan pelanggan sentiasa mendapatkan perkhidmatan dan kepakaran teknikal cemerlang di setiap titik pertemuan. Dengan tumpuan strategik kepada inovasi dan naik taraf perkhidmatan, Auto ConneXion akan terus menetapkan penanda aras baharu dan kami yakin dapat mengekalkan momentum ini pada tahun 2025 dan mengukuhkan kedudukan utama Ford sebagai jenama trak pikap nombor satu di Malaysia.”
Ford Terus Menjadi Pilihan Utama
Dengan pencapaian cemerlang, pelan peluasan yang agresif dan anugerah yang berjaya memahat nama di peringkat industri serta antarabangsa.

Sime Darby Auto ConneXion-Ford akan terus mara sebagai peneraju dalam segmen trak pikap Malaysia.
Kepercayaan pelanggan terhadap jenama ini kekal utuh, diperkukuh oleh inovasi, pengalaman pemilikan yang menyeluruh dan perkhidmatan selepas jualan bertaraf global.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Honda CB750 Baharu Lebih Menyengat !

Honda Lepaskan ‘Tebuan’ Jalanan CB750 2025 Untuk Menyengat!
Selepas sekian lama menyepi, kini Boon Siew Honda menghidupkan semula nama CB750, kali ini dengan pakej lebih moden, lebih garang dan lebih berkuasa.
Dikenali sebagai jentera ‘streetfighter’ yang penuh dengan karakter, Honda CB750 2025 kini tampil sebagai pilihan utama untuk penunggang yang mahukan gaya agresif, teknologi dan pastinya lebih laju!

Enjin Baru!
Menggerakkan jentera ini ialah enjin dua silinder sebaris 755cc dengan konfigurasi crankshaft 270°, menghasilkan 67.5kW pada 9,500rpm dan 75Nm pada 7,250rpm.
Hasilnya? Tork rendah yang padat, respons lebih pantas dan kuasa linear di setiap julat rpm.
Turut dibekalkan ialah sistem assist/slipper clutch untuk penukaran gear lebih lancar terutama ketika menurunkan gear dengan agresif.

Rekaan Lebih Garang!
Rekaan tangkinya diinspirasikan daripada bentuk sayap tebuan (hornet), lengkap dengan lampu depan jenis projektor LED berkembar, fairing hadapan yang tajam dan ekor kompak yang menambah aura berani.
Tangki yang tirus dan ketinggian tempat duduk yang rendah memastikan jentera ini mudah dikawal tidak kira saiz penunggang.
Ditambah pula dengan berat yang seimbang, CB750 bukan sahaja tampak agresif, tetapi cukup lincah ketika ditunggang.

Teknologi Terkini!
Suspensi depan menggunakan Showa SFF-BP fork, dipadankan dengan penyerap hentak belakang Pro-Link.
Kedua-duanya ditala semula untuk memberikan maklum balas lebih tepat, kestabilan maksima di selekoh dan tunggangan lebih meyakinkan tidak kira dalam bandar atau di laluan berliku.
Sistem brek pula menampilkan cakera berkembar dengan angkup empat omboh jenis radial di depan dan tayar bersaiz 120mm depan dan 160mm belakang cukup untuk memastikan cengkaman padu dalam pelbagai keadaan jalan.

Lengkap Dengan Elektronik Moden
CB750 mengekalkan sistem Throttle by Wire dengan tiga mod tunggangan sedia ada iaitu SPORT, STANDARD dan RAIN serta USER mode yang boleh disesuaikan mengikut citarasa penunggang.
Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) pula disertakan bersama Wheelie Control, membolehkan jentera ini dikawal dengan lebih selamat dan tepat.

Panel meter TFT 5 inci penuh warna pula bukan sekadar paparan, tetapi turut menyokong Honda RoadSync.
Aplikasi ini membolehkan navigasi, panggilan, mesej dan muzik diakses melalui sambungan telefon pintar.
Warna & Harga
CB750 2025 ditawarkan dalam dua pilihan warna:
Matte Pearl Glare White
Glint Wave Blue Metallic

Harga jualan bermula dari RM49,999 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Turut disertakan adalah jaminan pengeluar selama 2 tahun atau 20,000km.
Aksesori Quickshifter pula ditawarkan secara berasingan untuk penunggang yang mahukan pengalaman menukar gear tanpa klac.
Layari Honda BigWing Malaysia atau kunjungi pengedar sah Honda BigWing untuk maklumat lanjut.

“CB750 sentiasa dikenali sebagai model yang membawa gaya streetfighter sebenar. Untuk 2025, kami telah menambah baik reka bentuk, pengendalian dan teknologi penunggang agar ia bukan sekadar nampak agresif tetapi juga rasa agresif ketika ditunggang.”
– Kunitomo Asano, CEO & Pengarah Urusan Boon Siew Honda
Baca Juga : Honda CB1000 SP – Naked Terbaharu Penuh Aerodinamik
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
DHL Supply Chain Dipilih Urus Pusat Agihan Bosch Malaysia

Kerjasama Strategik Antara Dua Gergasi
DHL Supply Chain, peneraju global dalam logistik kontrak, telah dilantik oleh Bosch, pembekal teknologi dan perkhidmatan terkemuka dunia, untuk mengurus Pusat Agihan (DC) milik Bosch di Malaysia.
Kerjasama ini melibatkan pengedaran barangan pengguna, produk dan komponen berkaitan mobiliti yang merangkumi pasaran Malaysia secara utama.
Ia juga turut menglibatkan pengedaran berskala kecil ke pasaran serantau.
Ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik strategik di Asia Tenggara.
Kedudukan Strategik di Shah Alam dengan Teknologi Terkini
Pusat Agihan yang terletak di Shah Alam itu mempunyai kelebihan dari segi geografi dan berpotensi tinggi untuk diintegrasikan dengan teknologi Revolusi Industri 4.0.
Antara sistem pintar yang bakal digunakan termasuklah Automated Guided Vehicles (AGV), sistem Pick-to-Light dan Put-to-Light, serta penjejakan inventori masa nyata.
Penggunaan teknologi ini bakal meningkatkan fleksibiliti operasi pusat agihan.
Selain itu ia juga memenuhi keperluan pelbagai jenis perniagaan dengan lebih efisien dan responsif terhadap permintaan pasaran yang berubah-ubah.
Komitmen Terhadap Transformasi Digital dan Ekonomi Negara
Mario Lorenz, Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia menyatakan,
“Dalam era di mana rantaian bekalan global semakin kompleks dan Malaysia pula sedang memposisikan dirinya sebagai hab logistik utama di rantau ini, kerjasama antara DHL Supply Chain dan Bosch ini adalah langkah strategik yang amat penting.
Kami bertekad untuk menyediakan penyelesaian yang disesuaikan bagi meningkatkan kecekapan operasi pelanggan, di samping memperkukuh daya saing mereka di peringkat tempatan dan global.
Ini selaras dengan komitmen kami dalam memacu inovasi logistik, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0.”
Perluasan Kapasiti & Pelaburan dalam Teknologi Robotik
DHL Supply Chain Malaysia juga terus memperkukuh kapasiti operasinya dengan melabur dalam pembangunan bakat tempatan dan infrastruktur logistik.
Salah satu contoh nyata ialah pembukaan Penang Logistics Hub 5 baru-baru ini.
Hub ini merupakan sebuah kemudahan logistik berteknologi tinggi seluas 22,000 meter persegi yang terletak di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.
Kemudahan ini menyaksikan pelancaran sulung secara global bagi penggunaan robot mudah alih pengendalian kotak automatik (Automated Case-handling Mobile Robot, ACR), sistem Goods-to-Person Robotics (GTPR) dan Automated Storage and Retrieval System (ASRS) oleh DHL Supply Chain.
Ia dibina khusus untuk menyokong operasi syarikat teknologi multinasional terkemuka.
Sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan logistik dan inovasi teknologi.
Mercu Tanda Baharu Logistik Malaysia
Kerjasama antara DHL Supply Chain dan Bosch bukan sekadar pengurusan agihan semata-mata.
Kerjasama ini adalah pelan hala tuju ke arah sistem logistik pintar yang lebih efisien, tangkas dan mampan.
Memberi isyarat jelas bahawa Malaysia sedang berada di landasan tepat untuk melonjak sebagai kuasa logistik berteknologi tinggi di rantau ini.
Baca Juga : 5 Motosikal Modenas Yang Mungkin Anda Tidak Pernah Lihat
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Cruise Control, Boleh Jimat Minyak Kereta

Ramai pemandu mungkin menganggap bahawa sistem Cruise Control hanyalah teknologi tambahan yang memudahkan pemanduan jarak jauh.
Namun, tahukah anda bahawa fungsi ini sebenarnya mampu memberikan penjimatan bahan api yang signifikan?
Bagaimana Cruise Control Berfungsi?
Sistem ini membenarkan kereta anda mengekalkan kelajuan yang tetap tanpa perlu menekan pedal minyak secara berterusan. Ini bermakna, enjin tidak perlu bekerja keras untuk menyesuaikan kuasa bagi setiap pergerakan kaki anda. Dengan mengekalkan kelajuan yang konsisten, penggunaan bahan api menjadi lebih efisien, kerana tiada lonjakan mendadak dalam rev enjin atau pecutan yang kerap.
Penjimatan yang Tidak Dijangka
Penjimatan minyak yang ditawarkan oleh sistem ini mungkin berbeza mengikut jenis kenderaan dan keadaan jalan. Walaupun begitu, kajian menunjukkan bahawa ia boleh menjimatkan sehingga 7-14% penggunaan bahan api ketika di lebuh raya. Bagi pemandu yang kerap melakukan perjalanan jauh, ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga mengurangkan jejak karbon, menjadikannya lebih mesra alam.
Lebih Tenang, Kurang Tekanan
Selain daripada penjimatan bahan api, Cruise Control turut membantu mengurangkan keletihan ketika memandu jarak jauh. Dengan kelajuan yang dikawal secara automatik, anda boleh fokus kepada keadaan jalan dan persekitaran, sekaligus meningkatkan keselamatan pemanduan.
Bilakah Anda Perlu Menggunakan Cruise Control?
Sistem ini paling efektif ketika memandu di lebuh raya yang panjang dan lurus, di mana tiada banyak halangan atau perubahan mendadak dalam kelajuan. Namun, elakkan penggunaan Cruise Control di kawasan berbukit, jalan berselekoh tajam, atau dalam keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat kerana ia memerlukan kawalan manual yang lebih baik.

Teknologi yang Bijak untuk Pemandu Bijak
Dalam era di mana harga bahan api semakin meningkat, Cruise Control menawarkan solusi yang mudah dan praktikal untuk memaksimumkan penjimatan minyak. Ia bukan sahaja teknologi untuk keselesaan, tetapi juga alat pintar yang dapat membantu anda mengekalkan anggaran bahan api. Jadi, jika kereta anda dilengkapi dengan fungsi ini, manfaatkanlah ia sepenuhnya untuk perjalanan yang lebih efisien dan kos efektif.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



