PROTON Teroka Bumi Kenyalang Menerusi Ekspedisi 10,000 sMILEs
Selepas menjelajah pelbagai destinasi di seluruh negara, PROTON meneruskan siri 10,000 sMILEs Expedition ke Sarawak menerusi perjalanan dari Miri ke Kuching yang bukan sahaja menguji keupayaan kenderaan dalam pelbagai keadaan jalan raya, malah mendekatkan jenama itu dengan masyarakat tempatan serta budaya unik Bumi Kenyalang.
Dianjurkan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, ekspedisi pusingan keempat ini melibatkan tiga model popular PROTON iaitu Saga, X50 dan S70, yang dipandu merentasi Lebuhraya Pan Borneo, laluan bandar, kawasan luar bandar serta beberapa laluan mencabar yang sering dilalui pengguna di Malaysia Timur.

10,000 sMILEs Expedition, Pelepasan Rasmi Di Miri
Konvoi ekspedisi ini dilepaskan secara rasmi di pusat 3S PROTON JL Motors Piasau, Miri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, YB Sebastian Ting Chiew Yew.
Turut hadir ialah wakil agensi kerajaan, rakan pengedar, media, pencipta kandungan, pelanggan serta tetamu jemputan yang menyertai perjalanan tersebut.
Menurut PROTON, program ini bukan sekadar aktiviti pemanduan biasa, sebaliknya menjadi platform untuk memperlihatkan prestasi sebenar kenderaan mereka dalam situasi penggunaan harian sambil mendekati pelanggan di luar bilik pameran.
Ujian Dalam Pelbagai Keadaan Jalan Raya
Sepanjang perjalanan, ketiga-tiga model dipandu dalam pelbagai keadaan jalan yang memberikan gambaran jelas tentang kemampuan masing-masing.
PROTON S70 menyerlah sebagai sedan yang sesuai untuk perjalanan jarak jauh menerusi gabungan enjin turbo i-GT 1.5 liter, transmisi dwi-klac tujuh kelajuan serta tahap keselesaan yang tinggi ketika merentasi laluan lebuh raya.
Bagi PROTON X50, model SUV segmen-B itu mempamerkan pelbagai teknologi moden termasuk sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), fungsi sambungan pintar, kawalan suara serta bantuan parkir automatik yang menjadi antara tarikan utamanya.
Sementara itu, PROTON Saga terus membuktikan reputasinya sebagai sedan mampu milik yang praktikal dan boleh diharap, sama ada untuk kegunaan dalam bandar mahupun perjalanan ke kawasan luar bandar.
Gabungan ketiga-tiga model ini melengkapkan keseluruhan laluan dalam keadaan pemanduan sebenar, sekali gus membuktikan tahap keselesaan, teknologi dan kebolehpercayaan yang ditawarkan kepada pengguna Malaysia.

Menyelami Keunikan Sarawak
Selain fokus kepada pemanduan, peserta turut dibawa menyertai beberapa aktiviti yang menonjolkan budaya dan tarikan pelancongan Sarawak.
Di Bintulu, peserta mengunjungi Taman Tumbina, yang terkenal dengan kisah pemuliharaan buaya di negeri tersebut. Mereka juga menyertai cabaran mencari laksa Sarawak yang memanfaatkan sistem navigasi dan fungsi sambungan dalam kenderaan.
Salah satu kemuncak ekspedisi adalah kunjungan ke Rumah Panjang Gani di Pakan, di mana peserta berpeluang merasai sendiri sambutan Gawai serta hospitaliti masyarakat Iban.
Konvoi turut melalui Jambatan Batang Lupar, antara mercu tanda penting yang meningkatkan jaringan pengangkutan di Sarawak, sebelum menamatkan perjalanan di lokasi ikonik Patung Kucing Kuching.
Pasaran Penting Untuk PROTON
Malaysia Timur terus menjadi antara pasaran utama bagi PROTON dengan rangkaian pusat jualan dan servis yang semakin berkembang di Sabah, Sarawak serta Brunei.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2026, PROTON mencatatkan jualan sebanyak 12,916 unit di Malaysia Timur. Model Saga dan X50 muncul sebagai penyumbang terbesar kepada angka tersebut, mencerminkan permintaan tinggi terhadap kenderaan yang praktikal, dipercayai dan menawarkan nilai pemilikan yang baik.
Secara keseluruhan, PROTON dianggarkan menguasai sekitar 19 peratus pegangan pasaran di Malaysia Timur, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama automotif pilihan pengguna di rantau berkenaan.

Lebih Daripada Sekadar Menjelajah
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, berkata ekspedisi ini memberi peluang kepada syarikat untuk memahami keperluan pelanggan dengan lebih dekat melalui pengalaman sebenar di jalan raya.
Menurut beliau, selain menguji prestasi kenderaan dalam pelbagai situasi, program tersebut turut menjadi platform untuk menghargai budaya, masyarakat dan keunikan Sarawak yang memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan lebih erat antara PROTON dan pelanggannya.
Selepas melengkapkan laluan dari Miri ke Kuching, siri 10,000 sMILEs Expedition akan diteruskan dengan beberapa aktiviti penutup di Kuching sebelum melabuhkan tirainya, sekali gus menandakan berakhirnya satu lagi perjalanan yang menghubungkan rakyat, budaya dan mobiliti dalam semangat Tahun Melawat Malaysia 2026.
Baca Juga : PROTON Teruskan Ekspedisi 10,000 sMILEs ke Brunei
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






