PROTON Raikan Hari Kebangsaan Dengan 14 Kenderaan
PROTON bersama anak syarikatnya, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), sekali lagi mengambil bahagian dalam Perarakan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya semalam.
Sebanyak 14 kenderaan PROTON dan Proton e.MAS menyertai perarakan di bawah Kluster Pemacu Pembangunan Negara, sekali gus memperlihatkan perjalanan jenama automotif nasional itu daripada era enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada teknologi elektrifikasi.
Barisan tersebut diterajui Proton Saga yang cukup sinonim dengan sejarah industri automotif negara, selain All-New Proton X50, Proton S70 2026, Proton X70 serta Proton X90.
Bagi mewakili perkembangan elektrifikasi pula, Proton e.MAS membariskan e.MAS 5, e.MAS 7 dan e.MAS 7 PHEV.

Kesemua kenderaan tampil membawa slogan “Memacu Malaysia”, yang menggambarkan perjalanan PROTON daripada pengeluar kereta nasional kepada jenama yang kini turut memberi tumpuan kepada pembangunan kenderaan elektrik dan hibrid.
e.MAS 7 PHEV Sertai Perarakan Buat Kali Pertama
Penyertaan tahun ini turut menjadi tahun ketiga Proton e.MAS terlibat dalam Perarakan Hari Kebangsaan.
Selepas e.MAS 7 dan e.MAS 5 diperkenalkan kepada orang ramai menerusi perarakan sebelum ini, perhatian kali ini diberikan kepada Proton e.MAS 7 PHEV.
Kehadiran model berkenaan melengkapkan rangkaian kenderaan elektrifikasi atau xEV Proton e.MAS dalam kontinjen Hari Kebangsaan tahun ini.
Menurut PROTON, Proton e.MAS mencatatkan sebanyak 31,504 pendaftaran kumulatif xEV setakat 31 Julai 2026, dengan syarikat mendakwa pencapaian itu menjadikannya jenama EV No. 1 di Malaysia.
Perkembangan jenama itu turut disokong rangkaian 60 pusat jualan, 46 pusat servis dan 10 kemudahan Body & Paint.
Pada masa sama, pengguna Proton e.MAS mempunyai akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan di seluruh negara menerusi ekosistem pengecasan yang tersedia.

Proton Saga dan e.MAS 5 Gambarkan Perubahan Generasi
Menariknya, penyertaan PROTON tahun ini bukan sekadar mempamerkan barisan produk semasa.
Menerusi kempen “Colours of Malaysian Spirit”, Proton e.MAS turut menggunakan warna serta elemen budaya tempatan pada beberapa kenderaan bagi menggambarkan kepelbagaian dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.
Kempen itu turut membawa naratif “Anak e.MAS Malaysia”, yang menggambarkan perubahan keperluan pengguna antara generasi.
Jika Proton Saga pernah menjadi antara kereta pertama bagi ramai rakyat Malaysia sejak beberapa dekad lalu, Proton e.MAS melihat e.MAS 5 sebagai antara model yang berpotensi memainkan peranan sama kepada generasi baharu yang mahu beralih kepada kenderaan elektrik.
Sasarannya termasuk golongan profesional muda, pembeli kereta pertama serta keluarga yang mula mempertimbangkan EV sebagai kenderaan harian.

Walaupun teknologi dan jenis kenderaan berubah, mesej yang cuba dibawa masih sama iaitu menyediakan sebuah kenderaan yang mampu menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan rakyat Malaysia.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Proton e.MAS turut meneruskan kempen “Colours of Malaysian Spirit” menerusi peraduan Malaysia Colour Hunt sehingga 16 September 2026.
Sebanyak 69 pemenang akan menerima PIN tambah nilai Touch ‘n Go eWallet bernilai RM69 setiap seorang.
Baca Juga : PRO-NET Bina Tenaga Kerja Mahir, 37 Juruteknik Proton e.MAS Terima Pensijilan EV Tahap 2
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


