Proton S70 yang dilancarkan pada November 2023, dilihat mencapai data jualan yang memberangsangkan dengan lebih dari 10,000 unit sudah terjual. Namun, apa yang istimewanya segmen sedan dari Proton kali ini?
Dalam artikel ini kami akan rungkaikan pengalaman jujur kami memandu dan menguji S70 di sekitar Lembah Klang. Perkara yang ingin dikongsikan ini bukanlah ‘satu saiz untuk semua’, mungkin ada perkara yang pembaca kurang berkenan dan mungkin ada yang pembaca gemar. Jadi tepuk dada, semak akaun bank dan tanya pasangan/rakan.
Reka Bentuk yang Lebih Mewah dan Moden
Satu perkara yang pasti akan menarik perhatian ramai adalah reka bentuk. Proton S70 diperkenalkan melalui empat varian iaitu, Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Namun perbezaan bagi kesemua ini tidaklah jauh beza. Sebagai contoh, Executive dan Premium hadir dengan rim saiz 16 manakala dua lagi rim saiz 17.
Kelainan lain terletak pada komponen kosmetik dan pencahayaan seperti bar lampu belakang, penggunaan lampu depan ,sunroof ,kit badan dan lain-lain.
Secara keseluruhan, Proton S70 tampak lebih berjiwa muda – namun tidak terlalu muda. Pendapat kami, lingkungan umur yang nampak normal memandu S70 (berdasarkan rekaan) adalah umur 25 tahun ke atas.
Prestasi Enjin yang Ditingkatkan
Proton S70 dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan efisien. Proton menawarkan enjin 1.5 liter turbocharged – sama seperti model X50 dan X70. Enjin ini mampu memberikan keseimbangan antara kuasa dan penjimatan bahan api. Tangki penuh (50 liter) boleh jalan hingga 660 kilometer! Kuasa maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 150HP, 226 Nm tork – transmisi Dual Clutch 7 kelajuan.
Bayangkan enjin 1.5L turbo diletakkan pada kereta Sedan, memang berdesup laju. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 210 km/j bergantung kepada keadaan cuaca, jalan, trafik, angin ,suhu ,kapasiti bahan api ,muatan dan mod pemanduan – Eco, Comfort, Sport.
Ads
Teknologi, Pengendalian dan Keselamatan Terkini
Dalam era di mana teknologi memainkan peranan penting dalam pengalaman pemanduan, Proton S70 lengkap dengan pelbagai ciri teknologi terkini. Sistem infotainment lebih canggih dengan skrin lebih besar (12.3 inci), sistem navigasi, arahan suara, keterhubungan telefon pintar, cas tanpa wayar, 5 slot USB, boleh hidupkan enjin dari jarak jauh dan pelbagai lagi perincian yang menyenangkan pengguna.
Dari segi pengendalian, S70 lulus jangkaan kami dengan cemerlang. Kami pandu uji di kawasan berliku dengan selekoh yang sempit, ternyata S70 mampu memberi pengendalian yang sangat bagus. Di bawah 40 km/j, model ini masih mampu untuk membalas selekoh tanpa rasa membuang atau tidak stabil. Syabas Proton!
Pada kelajuan tinggi pula, gegaran dan body-roll kereta sangat minimum. Sehingga satu tahap anda terasa seperti meluncur pada kelajuan sederhana. Jadi fokus dan risiko perlu diambil kira dan sentiasa patuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Pusingan radius stereng juga lebih panjang jika dibandingkan dengan model terdahulu – Proton Preve.
Selain itu, ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan elektronik, dan enam beg udara akan meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang. Secara keseluruhan, ada 15 perincian keselamatan pada model S70 ini. Sebab itu ianya lulus ujian keselamatan ASEAN NCAP dengan skor lima bintang.
Ruang Dalaman yang Lebih Luas dan Selesa
Salah satu kekuatan utama Proton S70 adalah ruang dalaman. Dengan penekanan kepada keselesaan, tempat duduk direka lebih ergonomik dengan bahan berkualiti tinggi. Setiap sudut dalaman telah diberi fungsi tertentu yang sudah semestinya memberi kesenangan kepada pengguna.
Ads
Seperti ruang simpan barang di bawah panel tengah & arm rest, penghawa dingin penumpang belakang, susunan sistem infotainment, tempat letak telefon pintar dan bermacam lagi. Sunroof pula hanya terdapat pada varian Flagship X sahaja.
Selain itu, ruang but yang lebih besar juga dapat menyediakan lebih banyak ruang untuk barangan, sesuai untuk keluarga atau mereka yang sering melakukan perjalanan jauh.
Dari segi kesenian, pada panel pintu terdapat corak benang putih yang direka bagi menambah karakter dan suasana premium kepada model ini.
Harga yang Berpatutan
Walaupun Proton S70 menawarkan pelbagai ciri dan teknologi terkini, ia masih lagi dijual dalam lingkungan harga yang berpatutan.
Bagi senarai harga, kami lampirkan di bawah ini mengikut versi S70:
Ads
Executive – RM73,800
Premium – RM79,800
Flagship – RM89,800
Flagship X – RM94,800
*Senarai harga tidak termasuk insurans
Kesimpulannya, model S70 adalah suatu nafas segar dan baru dari Proton kepada rakyat Malaysia. Pelbagai pendekatan yang cuba dibawa oleh Proton untuk memenuhi respon dan permintaan dari pengguna kereta di Malaysia. Justeru kami harap lebih ramai yang bangga dan memberi peluang kedua untuk Proton memenangi hati anda semula.
Apabila bercakap tentang minivan mewah yang sesuai untuk keluarga, dua nama yang sering bermain di minda pastinya Toyota Alphard atau Toyota Vellfire. Menerusi artikel kali ini, kita akan meneroka model Toyota Vellfire 2.5L 2023 yang menawarkan campuran unik antara kemewahan dan pemanduan yang lebih sporty.
Peningkatan Casis dan Penampilan Premium
Berbanding Toyota Alphard, Vellfire menonjol dengan penekanan kepada pemanduan yang lebih sporty. Salah satu perkara yang mencetuskan perbezaan adalah pendakap hadapan yang lebih kuat yang membantu meningkatkan ketegaran casis. Ini memberikan pemanduan yang lebih dinamik dan sporty, menjadikan Vellfire pilihan menarik untuk mereka yang mencari lebih dari sekadar keselesaan.
Vellfire juga menerima kemasan jet-black plating pada bahagian luaran, memberikan penampilan yang lebih premium dan elegan. Ini adalah minivan yang mampu menarik perhatian di mana sahaja anda pergi.
Prestasi Kuasa yang Cukup
Vellfire 2.5L 2023 dikuasakan enjin Nadi 2.5 liter (kod 2AR-FE) yang menghasilkan 182 PS pada 6,000 rpm dan daya kilas sebanyak 235 Nm pada 4,100 rpm.
Walaupun mungkin tidak sekuat Alphard, namun ia masih memberikan prestasi yang cukup memadai untuk kegunaan harian. Dengan transmisi Super CVT-i 7 kelajuan dan Sports Sequential Shiftmatic, anda boleh menikmati pengalaman pemanduan yang responsif.
Kredit Foto: Toyota
Kemewahan dalam Kabin
Kabin Vellfire tidak kurang dalam hal kemewahan. Ia menampilkan skrin kluster digital 12.3 inci untuk maklumat pemandu dan skrin Display Audio 14 inci untuk sistem hiburan dan navigasi. Tambahan lagi, terdapat sokongan Apple CarPlay dan Android Auto untuk keselarasan dengan peranti mudah alih anda.
Anda juga akan menikmati sistem audio JBL dengan 15 pembesar suara untuk kualiti bunyi yang memukau. Sistem pencahayaan ambien 64 warna mencipta suasana yang selesa, manakala cermin pandang belakang digital membantu dalam pemanduan yang selamat.
Keselesaan dan Kelebihan Tempat Duduk
Tempat duduk pemandu Vellfire boleh diatur dalam 8 tahap, manakala penumpang depan menikmati 4 tahap larasan, pemanasan, dan pengudaraan. Bagi baris kedua, tempat duduk Executive Power Seat dilengkapi dengan ciri Ottoman, Recline, fungsi pemanasan, dan pengudaraan. Semua ini memastikan bahawa penumpang mendapat keselesaan maksimum sepanjang perjalanan.
Kredit Foto: Toyota
Kemudahan Keselamatan Canggih
Dalam aspek keselamatan, Vellfire tidak menghampakan. Ia dilengkapi dengan 6 beg udara, sistem keselamatan seperti ABS, EBD, VSC, EPB, Brake Hold, Bantuan Mula Mendaki (HAC), Sistem pemantauan titik buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan Sistem pemantauan tekanan tayar (TPSM).
Toyota Safety Sense (TSS) adalah perincian tambahan yang merangkumi Sistem pra-pelanggaran (PCS), Amaran Keluar Lorong (LDA), Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Papan Tanda Jalan (RSA), serta Sistem Suluhan Tinggi Adaptif (AHS).
Harga yang Kompetitif
Toyota Vellfire 2.5L 2023 ditawarkan dengan harga yang lebih mesra keluarga, iaitu RM438,000. Ini adalah nilai yang sangat baik untuk minivan dengan kemewahan dan prestasi yang ditawarkannya.
Dalam dunia minivan, Toyota Vellfire 2.5L 2023 muncul sebagai penawaran yang menarik. Dengan peningkatan casis dan penampilan premium, ia menawarkan pemanduan yang lebih sporty berbanding dengan saudaranya Alphard. Untuk keluarga yang mencari kombinasi antara keselesaan dan prestasi, Vellfire adalah satu pilihan yang sukar untuk diatasi.
1 of 8
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download seeNI sekarang!
Xiaomi, nama yang tidak asing lagi dalam arena teknologi, kini telah memperluaskan sayapnya ke dunia automotif dengan pelancaran kereta elektrik pertama mereka, SU7. Langkah ini menandakan kehadiran baru yang berani dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) di China.
Direka dengan bentuk yang menawan, mirip Porsche Taycan, dan dilengkapi dengan harga yang lebih rendah daripada model elektrik lain, Xiaomi SU7 pastinya akan menimbulkan saingan sengit di pasaran China. Menampilkan tiga pilihan versi – Standard, Pro, dan Max, harga yang ditawarkan sangat menarik perhatian:
– Standard – 215,900 yuan (RM142,000)
– Pro – 245,900 yuan (RM162,000)
– Max – 299,900 yuan (RM197,000)
Kredit: Xiaomi
Lei Jun, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Xiaomi, menjelaskan bahawa SU7 dijual dengan harga yang lebih murah, kira-kira 30,000 yuan (RM19,000) berbanding Tesla Model 3 yang kini dijual pada harga 245,900 yuan di China. Beliau juga menekankan bahawa SU7 mampu menyaingi Tesla dari segi jarak perjalanan.
SU7 mampu menempuh jarak sehingga hampir 700km, sedangkan Tesla Model 3 hanya mampu mencapai 567km. Ini menunjukkan komitmen Xiaomi dalam memberikan produk yang berdaya saing tinggi, tidak hanya dari segi harga tetapi juga prestasi.
Pelancaran ini merupakan satu langkah penting bagi visi pengasas Xiaomi, yang sebelum ini mengumumkan penglibatan syarikat dalam bidang EV pada tahun 2021 dan berjanji untuk melabur AS$10 bilion dalam perniagaan kenderaan mereka.
Kredit: Xiaomi
Dengan membentuk perkongsian pembuatan dengan BAIC Group, syarikat kereta milik kerajaan, Xiaomi menunjukkan tekadnya untuk menakluki pasaran automotif dengan kuasa teknologi dan inovasi.
Sejak pengumuman pelancaran pada bulan Disember yang lalu, Xiaomi menerima sambutan hangat dari pengguna. Tempahan untuk SU7 dibuka pada jam 10 malam waktu Beijing, dan dalam tempoh 27 minit pertama, syarikat telah menerima 50,000 tempahan.
Ini menunjukkan minat yang tinggi dalam produk baru ini dan memberikan petunjuk yang kuat bahawa Xiaomi bakal menjadi pemain utama dalam industri EV China yang pesat berkembang.
Formula 1 Tiga Tempat Duduk merupakan inovasi yang membolehkan peminat merasai keseronokan melengkapkan satu pusingan litar Formula 1 sebenar. Pengalaman luar biasa ini membolehkan peminat merasai sendiri kelajuan, pecutan, dan selekoh litar, ketika duduk di belakang pemandu profesional.
Apakah Formula 1 Tiga Tempat Duduk?
Formula 1 Tiga Tempat Duduk ialah versi modifikasi daripada kereta Formula 1 klasik, direka untuk menampung dua penumpang selain pemandu. Kenderaan ini dicipta khas untuk memberi pengalaman yang tulen sambil mengekalkan piawaian keselamatan yang diperlukan untuk menampung penumpang.
Sebelum ini, kereta dua tempat duduk digunakan, dengan penumpang duduk terus di belakang pemandu. Konfigurasi ini tidak optimum kerana pandangan penumpang terhalang oleh rollbar. Kini, penyelesaian ini telah diperbaiki dengan beralih kepada petak penumpang tiga tempat duduk.
Ferrari F1 – 3 tempat duduk
Lembaran Teknikal Formula 1 Tiga Tempat Duduk
Berdasarkan kereta Formula 1 generasi lama, varian tiga tempat duduk ini mampu memberikan emosi yang hebat kepada peminat, terima kasih kepada lembaran teknikal yang mengagumkan:
– Enjin: Kereta tiga tempat duduk dilengkapi dengan enjin V8 3.5-liter yang berkuasa. Serupa dengan yang digunakan dalam kereta Formula 1 sebenar. Enjin ini boleh menjana kuasa sekitar 700 kuasa kuda, menjamin prestasi yang luar biasa;
– Kelajuan Maksimum: Kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh kereta ini adalah sekitar 300 km/j, bergantung kepada litar dan keadaan cuaca. Ini membolehkan penumpang merasai adrenalin kelajuan ekstrem dalam persekitaran yang terkawal;
– Pecutan: Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dapat dicapai dalam masa kira-kira 2.5 saat. Menawarkan lonjakan yang sukar ditandingi oleh pengalaman automotif lain;
– Casis dan Keselamatan: Kerangka dibina daripada gentian karbon, menjamin gabungan ringan dan kekuatan. Kereta dilengkapi dengan sangkar roll dan sistem keselamatan canggih untuk melindungi penumpang sekiranya berlaku kemalangan;
– Konfigurasi Tempat Duduk: Dua tempat duduk penumpang diletakkan satu di belakang yang lain, dengan pemandu di hadapan. Konfigurasi ini membolehkan penumpang mendapat pandangan jelas litar dan merasai sensasi pemandu.
Ferrari F1 – 3 tempat duduk
Di Mana Hendak Mencuba Formula 1 Tiga Tempat Duduk?
Formula 1 Tiga Tempat Duduk boleh dilakukan di pelbagai litar di seluruh dunia, menawarkan pengalaman yang unik ini. Beberapa tempat terkenal termasuk:
– Monza, Itali: Dikenali sebagai “Temple of Speed”, Monza adalah salah satu litar Formula 1 yang paling bersejarah. Di sini, peserta boleh merasai keseronokan litar ikonik;
– Silverstone, UK: Silverstone adalah satu lagi litar legenda, sering menjadi tuan rumah Grand Prix British. Pengalaman di sini diperkaya oleh sejarah dan suasana unik tempat ini;
– Yas Marina, Abu Dhabi: Litar moden ini, terkenal dengan Grand Prix Abu Dhabi, menawarkan gabungan bahagian pantas dan selekoh teknikal, ideal untuk menikmati sepenuhnya pengalaman F1 Tiga Tempat Duduk;
– Litar Spa-Francorchamps, Belgium: Spa terkenal dengan selekoh mencabar dan perubahan ketinggiannya, menjadikan pengalaman di sini amat mendebarkan;
– Paul Ricard, Perancis: Terletak di selatan Perancis, litar ini dikenali dengan trek yang serba boleh dan menjadi kegemaran pasukan Formula 1 untuk ujian.
Acara Promosi Ferrari di Fiorano
Ferrari menawarkan peluang istimewa untuk merasai F1 Tiga Tempat Duduk di litar Fiorano mereka sendiri, berhampiran ibu pejabat di Maranello. Semasa acara promosi eksklusif, peserta boleh merasai keseronokan satu pusingan litar Ferrari Tiga Tempat Duduk.
Dikendalikan di bawah bimbingan pemandu profesional. Dalam kes ini, penumpang bertuah akan menaiki casis F2002, yang dipadankan dengan enjin V10 yang berkuasa sekitar 800 kuasa kuda.
Charles Leclerc (kanan) & Arthur Leclerc (Kiri) di hadapan kereta Ferrari F1-tiga tempat duduk
F1 Tiga Tempat Duduk merupakan peluang unik bagi peminat untuk merasai sensasi seorang pemandu F1 dari dekat. Dengan enjin berkuasa, kelajuan yang mendebarkan dan keseronokan litar legenda.
Pengalaman ini adalah satu kemestian bagi sesiapa yang ingin merasai adrenalin kategori tertinggi perlumbaan kereta. Sama ada anda seorang peminat tegar F1 atau sekadar mencari pengembaraan baru, F1 Tiga Tempat Duduk menjanjikan kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Adrian Short Terajui Cycle & Carriage Malaysia Sebagai CEO Baharu
Cycle & Carriage Malaysia telah mengumumkan pelantikan Encik Adrian Short sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)...