Parkir ‘Emas’ Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Bandar Raya Shah Alam

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini memperkenalkan inisiatif parkir percuma.

Inisiatif ini khas untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menetap di kawasan pentadbirannya.

Dianggarkan lebih 20,000 warga emas di Shah Alam layak memohon program digelar ‘Golden Parking’ ini.

Inisiatif ini diperkenalkan bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun Shah Alam sebagai bandar raya.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim, menyifatkan inisiatif bermula awal Mei 2025 ini sebagai salah satu cara MBSA “memulangkan semula” hasil kutipan cukai kepada golongan warga emas selaku pembayar cukai.

Pada masa sama, langkah ini diambil bagi menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya yang lebih inklusif serta menghargai jasa komuniti berusia emas.

Ads

Syarat Kelayakan & Cara Permohonan

Sudah tentu, tidak semua individu berusia automatik layak menerima kemudahan ini.

MBSA menetapkan beberapa syarat kelayakan utama sebelum warga emas boleh menikmati pas parkir percuma ini:

  • Umur: Pemohon mestilah berumur 60 tahun ke atas.

  • Pembayar Cukai MBSA: Pemohon merupakan pembayar cukai taksiran MBSA (contohnya pemilik harta yang membayar cukai pintu di Shah Alam).

  • Kenderaan Sendiri: Kenderaan hendaklah berdaftar atas nama pemohon sendiri (bukan milik anak atau pihak lain).

  • Satu Kereta Sahaja: Setiap pemohon hanya boleh mendaftarkan satu kereta sahaja di bawah inisiatif ini.

Parkir Percuma MBSA Khas Untuk Warga Emas
Kredit Foto : Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam

Bagi proses permohonan, terdapat dua kaedah utama yang disediakan.

Bagi warga emas atau ahli keluarga yang celik teknologi, permohonan boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Mereka boleh memohon menerusi aplikasi telefon pintar Smart Selangor Parking atau Flexi Parking iaitu sistem e-parkir digital yang digunakan di Selangor.

Ads

Pendaftaran kenderaan melalui aplikasi tersebut akan memberikan pengecualian automatik di petak parkir MBSA kepada kenderaan yang didaftarkan.

Tempoh sah adalah selama dua tahun dari tarikh kelulusan.

Selepas tempoh dua tahun itu, pemohon perlu memperbaharui permohonan sekiranya masih ingin meneruskan kemudahan tersebut.

MBSA turut menyediakan borang permohonan secara manual.

Ads

Borang ini boleh dimuat turun melalui portal rasmi MBSA, dan setelah dilengkapkan, pemohon boleh menyerahkannya di kaunter sementara MBSA di Wisma MBSA (Seksyen 14, Shah Alam) atau menghantarnya melalui emel yang disediakan.

Pautan muat turun borang serta syarat terperinci juga disediakan melalui kod QR pada poster dan laman web MBSA.

Perlu diingat, keistimewaan parkir percuma ini hanya terpakai di petak letak kereta awam milik MBSA sahaja.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Baca Juga : Bila Anda Perlu Tukar Minyak Hitam Kereta?

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI