Model Paling Berprestasi Dalam Sejarah RTR
RTR Vehicles memperkenalkan Mustang RTR Spec 5 2026, model paling berkuasa pernah dihasilkan sepanjang sejarah jenama tersebut. Dihasilkan terhad kepada hanya 50 unit di seluruh dunia, model ini melambangkan sepenuhnya falsafah Ready to Rock™ yang menjadi identiti RTR sejak lebih 15 tahun lalu.
Enjin V8 Supercharged Melebihi 870hp
Mustang RTR Spec 5 dipacu oleh enjin V8 5.0 liter yang digandingkan dengan sistem Whipple Supercharger 3.0L Stage 2. Gabungan ini menghasilkan lebih 870 kuasa kuda dan tork 660 lb-ft, cukup untuk meletakkannya dalam kelas tersendiri.
Untuk memastikan prestasi kekal konsisten, Mustang RTR Spec 5 dilengkapi dengan penyejuk antara perlumbaan (HD Race Intercooler), manakala sistem ekzos aktif RTR by Borla yang ditala Vaughn Gittin Jr. memberikan deruman garang sepadan dengan tenaganya. Pilihan transmisi sama ada manual 6-kelajuan atau automatik 10-kelajuan membolehkan pemandu merasai kawalan mengikut citarasa masing-masing.
Rekaan Widebody Menyeluruh Mustang RTR Spec 5
Tidak seperti kit “fender flare” tambahan, sistem widebody Spec 5 2026 direka secara menyeluruh bagi tampak sempurna dengan bentuk badan Mustang. Setiap panel dibentuk rapi tanpa sebarang skru kelihatan, seolah-olah ia dipasang terus dari kilang.
Komponen utama termasuk fender, bampar, panel sisi dan panel belakang gentian komposit dengan saluran udara penyejuk tayar, disertai bahagian gentian karbon pada splitter hadapan, wake tower, serta panel bawah. Penutup tangki bahan api direka khas dengan mekanisme unik yang mengekalkan fungsi asal tetapi tampil lebih premium.
Casis, Rim dan Brek Prestasi Tinggi
RTR turut melengkapkan Spec 5 dengan suspensi boleh laras RTR Tactical Performance yang membolehkan talaan dibuat untuk pemanduan jalan raya atau litar. Rim RTR Aero 5 Evo bersaiz 20 inci yang ditempa khas dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S (305/30R20 hadapan dan 315/30R20 belakang) untuk tahap cengkaman maksimum.
Bagi sistem membrek, ia dilengkapi cakera dua keping dengan angkup Brembo 6 piston di hadapan dan 4 piston di belakang, memberikan keyakinan tinggi walaupun dipandu secara agresif.
Kabin Eksklusif dengan Sentuhan Drift
Bahagian dalaman Mustang RTR Spec 5 menampilkan kerusi sukan RECARO berbalut kulit RTR, tombol gear prestasi, karpet lantai eksklusif serta emblem nombor siri lengkap dengan tandatangan Vaughn Gittin Jr. RTR turut menyertakan sistem Electronic Drift Brake yang dibangunkan bersama Ford, memberikan pengalaman lebih dekat dengan DNA perlumbaan Formula Drift.
Anggaran Harga
Harga asas Mustang RTR Spec 5 2026 bermula dari USD159,999 (sekitar RM755,000) termasuk model asas Mustang GT 401A dengan Performance Package.
Pelanggan boleh memilih daripada pelbagai pilihan warna standard, atau menambah pakej warna premium (+USD7,500) serta paint-to-sample (+USD15,000) untuk hasil lebih eksklusif. Setiap pembeli akan menerima sijil ketulenan, render digital kereta mengikut warna pilihan, dan waranti 3 tahun/36,000 batu.
Baca Juga : Ford Mustang GTD Catat Rekod di Nürburgring!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.