Isi Kandungan
ToggleBoon Siew Honda terus menghidupkan semangat gaya dan mobiliti harian dengan pelancaran warna baharu untuk model skuter popular mereka, Honda Vario 160.
Kalau sebelum ini kita dah biasa lihat Vario 160 dalam tona warna yang agak klasik, kini ia tampil lebih ‘hidup’ dan berani dengan tiga pilihan warna baharu – Silver, Merah Matte, dan Kuning.
Sekilas pandang, nampak macam lebih sporty dan moden, sesuai untuk rider yang mahu gaya dan fungsi dalam satu pakej.
Warna Baharu, Gaya Baharu
Tiga warna ini bukan sekadar untuk nampak cantik di jalan – ia melengkapkan karakter Vario 160 sebagai skuter yang ringkas. Tetapi sarat dengan teknologi dan prestasi. Warna kuning mencuri perhatian bagi mereka yang suka tampak lebih menonjol. Manakala merah matte membawa aura premium. Warna perak pula sesuai untuk mereka yang sukakan gaya elegan dan minimalis.
Namun jangan risau, warna-warna terdahulu seperti Biru, Merah, Hijau dan Biru Matte masih ditawarkan untuk mereka yang suka gaya lebih klasik atau gelap. Jadi, banyak pilihan ikut citarasa masing-masing!
Harga & Ketersediaan
Bermula 11 April 2025, model ini akan mula memasuki bilik pameran Honda Impian X dan pengedar sah seluruh negara. Untuk varian warna Kuning, ia ditawarkan pada harga RM10,198.00. Warna Perak dan Merah Matte pula sedikit premium, pada harga RM10,498.00. Manakala warna sedia ada masih mengekalkan harga yang sama – Blue & Red pada RM10,198 dan Green & Matte Blue pada RM10,498.
Nota: Semua harga adalah cadangan harga jualan (RRP) dan belum termasuk cukai jalan, insurans serta pendaftaran.
Apa yang Menjadikan Vario 160 Istimewa?
Di sebalik gayanya yang segar, Vario 160 dikuasakan oleh enjin 157cc eSP+ yang dipadankan dengan sistem PGM-FI. Memberikan prestasi responsif dan penggunaan bahan api yang efisien ia turut disahkan sebagai Energy Efficient Vehicle (EEV).
Sistem keselamatan pun bukan biasa-biasa. Ia dilengkapi dengan ABS, brek cakera depan dan belakang. Serta sijil MyMAP yang menambah keyakinan ketika menunggang. Teknologi Honda Smart Key System pula memudahkan enjin dihidupkan dengan fungsi anti-theft alarm, answer back system, dan suis pintar tanpa kunci.
Lampu LED penuh, port pengecas USB di ruang simpanan depan, serta speedometer digital penuh yang memaparkan maklumat penting. Seperti penggunaan minyak dan jam menjadikan Vario 160 sangat praktikal untuk kegunaan harian. Tambahan lagi, kotak simpanan 18 liter, tayar lebih lebar. Serta rangka ringan eSAF menyempurnakan tunggangan yang stabil dan selesa.
Perlindungan & Jaminan
Boon Siew Honda turut memberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba dahulu – jadi anda boleh tunggang dengan tenang. Untuk info lanjut, layari boonsiewhonda.com.my atau kunjungi Honda Impian X berhampiran. Nak lebih pantas, boleh juga hubungi talian bebas tol 1-800-88-3993.
Dari Boon Siew Honda Malaysia
Baca Juga Boon Siew Honda Perkenal X-ADV 2025, Harga Bawah RM70K
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Panduan Permohonan Bonggol Jalan Di Kawasan Kediaman Anda

Isi Kandungan
ToggleBonggol jalan adalah elemen penting dalam sistem keselamatan jalan raya, direka untuk memastikan kenderaan memperlahankan kelajuan di kawasan tertentu.
Walaupun sering dianggap menyusahkan, ianya mempunyai peranan besar dalam melindungi pengguna jalan raya, pejalan kaki, dan penduduk setempat.
Artikel ini akan membincangkan kepentingan bonggol jalan, undang-undang berkaitan, dan prosedur pembinaan yang sah dan selamat serta cara permohonan.
Kepentingan Bonggol Jalan
Bonggol jalan membantu mengurangkan kelajuan kenderaan secara paksa, terutama di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti kawasan perumahan, sekolah, dan tempat tumpuan awam.
Ini bukan sahaja mengurangkan risiko kemalangan, tetapi juga melindungi nyawa pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
Pembinaan Bonggol Jalan Tidak Sah
Di beberapa kawasan, terdapat individu yang membina bonggol jalan secara persendirian tanpa panduan atau kelulusan yang sah.
Walaupun niat mereka adalah untuk keselamatan, pembinaan secara haram boleh membawa kepada bahaya dan kemalangan.
Bonggol yang tidak menepati spesifikasi boleh merosakkan kenderaan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Akta Pengangkutan Jalan 1987
Pembinaan bonggol jalan tanpa kelulusan adalah satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seksyen 80 akta tersebut menyatakan bahawa sebarang pembinaan bonggol jalan tanpa hak yang sah dan langkah keselamatan yang mencukupi boleh dikenakan denda atau penjara. Oleh itu, penting untuk mematuhi undang-undang dan mendapatkan kelulusan yang betul.
Baca Juga : Panduan Lengkap Tentang Cara Permohonan Lampu Jalan
Prosedur Permohonan Pembinaan Bonggol Jalan
Untuk membina bonggol jalan yang sah, permohonan perlu dibuat kepada Majlis Perbandaran. Permohonan boleh dikemukakan melalui:
- Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
- Persatuan Penduduk / Rukun Tetangga
- Ahli Majlis / ADUN Kawasan / Ahli Parlimen
Permohonan memerlukan prosedur yang lebih spesifik dan melibatkan sokongan yang lebih kuat daripada penduduk setempat.
Untuk membuat permohonan, persatuan penduduk perlu memainkan peranan utama. .
Permohonan haruslah dikemukakan oleh persatuan penduduk dan mesti ditandatangani oleh Pengerusi Persatuan Penduduk. Selain itu, sokongan daripada Ahli Majlis kawasan juga diperlukan untuk memperkuat permohonan tersebut.
Satu aspek penting dalam permohonan adalah sokongan majoriti penduduk. Permohonan ini perlu mendapat sokongan melebihi 80 peratus daripada penduduk kawasan yang terlibat.
Ini memastikan bahawa pembinaanya benar-benar diperlukan dan disetujui oleh majoriti penduduk yang terkesan.
Setelah sokongan majoriti diperoleh, permohonan tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur PBT atau mesyuarat pengurusan tertinggi PBT untuk pertimbangan dan kelulusan.
Proses ini memastikan bahawa setiap permohonan yang diluluskan adalah berdasarkan keperluan sebenar dan telah melalui penilaian yang teliti.
Dengan melibatkan persatuan penduduk dan mendapatkan sokongan majoriti, pembinaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan memenuhi tujuan utamanya untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan perumahan atau lokasi-lokasi yang memerlukan.
Syarat-syarat Permohonan
Beberapa syarat yang dipertimbangkan dalam permohonan pembinaan bonggol jalan termasuk:
- Jalan pintas yang sibuk seperti jalan yang menghubungkan dua taman perumahan.
- Jalan Bandaran (jalan dalam taman perumahan) yang tidak menyambungkan Jalan Negeri / Jalan Persekutuan.
- Berhampiran kawasan tumpuan awam seperti masjid, surau, dewan, taman permainan, sekolah, dll.
- Berdekatan dengan lampu jalan sedia ada.
- Jarak yang sesuai antara bonggol sedia ada.
- Tiada petak parkir di kiri atau kanan jalan.
Reka Bentuk Bonggol Jalan
Reka bentuk bonggol jalan perlu mematuhi Arahan Teknik Jalan JKR (18/97) Basic Guidelines On Pedestrian Facilities.
Ini termasuk spesifikasi ketinggian, lebar, dan bahan yang digunakan untuk memastikan ianya berfungsi dengan baik dan selamat.
Pembinaanya memerlukan pematuhan kepada undang-undang dan spesifikasi yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Dengan mengikuti prosedur yang betul dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa, bonggol jalan boleh dibina dengan berkesan untuk mengurangkan risiko kemalangan dan melindungi nyawa.
Jadilah pemandu yang bijak dan bertanggungjawab dengan mematuhi peraturan jalan raya dan menghargai peranan bonggol dalam keselamatan jalan raya.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Suzuki V-Strom 160 – Touring Ringkas dengan Keupayaan Serba Boleh

Isi Kandungan
ToggleSuzuki baru-baru ini memperkenalkan model terbaharunya, V-Strom 160, di Colombia. Menambah satu lagi ahli dalam keluarga V-Strom yang terkenal. Dengan model seperti V-Strom 250SX, V-Strom 800, dan V-Strom 1050 sudah berada di pasaran.
V-Strom 160 dilihat sebagai pilihan lebih kecil tetapi tetap praktikal. Sesuai untuk penggemar motosikal touring yang mencari sesuatu yang ringan dan mudah dikendalikan.
Model ini sebenarnya berkongsi banyak persamaan dengan Haojue DL160 dari China. Termasuk reka bentuk dan spesifikasi enjin. Bezanya hanyalah pada pilihan warna, menjadikan ia hampir seperti kembar pada model tersebut.

Prestasi dan Keupayaan Teknikal
Dikuasakan oleh enjin satu silinder 162 cc dengan suntikan bahan api dan penyejukan udara. V-Strom 160 menawarkan kuasa maksimum 14.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 14 Nm pada 6,500 rpm.
Enjin ini digandingkan dengan transmisi lima kelajuan yang memberikan pengalaman menunggang yang lancar dan cukup untuk kegunaan harian serta perjalanan touring jarak dekat.
Walaupun lebih sesuai untuk jalan berturap, jarak dari tanah 160 mm dan berat hanya 148 kg memungkinkan motosikal ini meneroka jalan off-road ringan. Suspensi Kayaba yang digunakan hadir dengan pelarasan pra beban pada bahagian belakang. Manakala sistem brek cakera di kedua-dua roda dilengkapi ABS dua saluran untuk keselamatan tambahan.

Reka Bentuk Praktikal
Motosikal ini dilengkapi rim aluminium 17 inci yang direka khas untuk memberikan keseimbangan antara kestabilan dan pengendalian. Dengan tangki bahan api berkapasiti 13 liter, V-Strom 160 mampu menampung perjalanan jarak jauh tanpa perlu berhenti terlalu kerap untuk mengisi minyak.
Selain itu, ia turut hadir dengan meter digital moden dan soket pengecas USB, ciri yang sangat berguna untuk penunggang masa kini.

Pilihan untuk Touring Ringan
Suzuki V-Strom 160 jelas direka untuk memenuhi keperluan mereka yang mahukan motosikal ringan, cekap, dan serba boleh. Dengan spesifikasi yang ringkas tetapi mencukupi, ia sesuai untuk perjalanan harian di bandar mahupun pengembaraan jarak sederhana.
Bagi peminat motosikal yang mencari model touring bajet. V-Strom 160 menawarkan pilihan menarik dengan keseimbangan antara harga, prestasi, dan fungsi. Sekiranya anda baru ingin mencuba dunia touring atau hanya mahukan motosikal ringkas yang tahan lasak, model ini sememangnya patut diberi perhatian.
Dari PaulTan
Baca Juga Tunggang Jarak Jauh – Suzuki V-Strom 250SX
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Koleksi Supercar Selebriti Yang Memukau Tahun 2024

Isi Kandungan
ToggleKoleksi supercar merupakan sebuah topik yang amat teruja untuk dikongsikan lebih lagi jika ia dikumpul oleh selebriti yang kita kagumi. Sesetengah selebriti mengumpul perhiasan mahal, yang lain pakaian pereka fesyen terkemuka, manakala beberapa memilih untuk melabur dalam kenderaan berprestasi tinggi.
Supercar adalah tahap di mana kelajuan dan gaya bertemu, menjadikannya simbol status dan kejayaan yang paling menyerlah. Dari selebriti yang hanya mengumpul kenderaan berwarna hitam kepada bintang yang memiliki sebuah Pagani 1-1, kita akan melihat beberapa koleksi supercar selebriti yang paling memukau pada tahun 2024.

Cristiano Ronaldo
Ronaldo mempunyai koleksi supercar yang anda akan jangkakan dari seseorang yang bernilai $849 juta (RM4.06 bilion). Garaj pemain bola sepak ini merupakan pameran mewah dan berprestasi, dengan pelbagai kenderaan mewah yang laju dan mengagumkan.
Antara jenama kegemarannya termasuk Bugatti, Lamborghini, Ferrari, dan Rolls-Royce. Pengeluar-pengeluar ini tidak menjual produk mereka dengan murah, dan garaj-nya bernilai kira-kira $25 juta (RM120 juta).

Bugatti La Voiture Noire
Menurut khabar angin, Ronaldo dikatakan memiliki satu-satunya Bugatti La Voiture Noire yang pernah dibuat. Supercar ini adalah kemuncak kemewahan dan eksklusiviti, direka sebagai tanda penghormatan kepada Type 57 SC Atlantic.
Walaupun luarannya elegan dan tidak ditelan zaman, di bawah panel hud terdapat enjin W16 berkuasa 8.0 liter yang menakjubkan. Ia mampu menghasilkan 1,479 kuasa kuda dan 1,600 Nm tork dengan kelajuan maksimum 420km/j. 0 ke 100 hanya 2.4 saat sahaja.
Ini tetap menjadi salah satu kereta termahal yang pernah dijual. Harga bagi model 1 dari 1 ini dianggarkan $18.7 juta (RM89.4 juta).

Ferrari Purosangue
Tahun ini, Ronaldo menambah SUV pertama Ferrari ke dalam koleksinya. Kereta biru gelap ini mempunyai interior kulit tan, dan apabila Ronaldo berkongsi pembelian tersebut di Instagram, dia berposing dengan pakaian treking Gucci yang sepadan.
Dikatakan sebagai salah satu SUV yang paling diminati di pasaran, Purosangue mempunyai enjin V-12 6.5 liter dan mampu mencapai 0-97 km/jam dalam masa 3.2 saat. Sebuah Purosangue berharga RM5 juta.

Bugatti Centodieci
Ronaldo adalah salah satu dari hanya 10 orang yang beruntung, berjaya mendapatkan sebuah Bugatti Centodieci. Reka bentuk kereta ini diilhamkan daripada Bugatti Chiron, dan dibuat sebagai penghormatan kepada Bugatti EB 110 yang ikonik.
Centodieci berwarna putih mutiara Ronaldo boleh mencapai 100 km/j dalam 2.4 saat dan mempunyai kelajuan tertinggi 386 km/j. Ronaldo sangat menyukai Bugatti ini sehingga dia menghantarnya ke Pulau Mallorca, Sepanyol ketika dia bercuti bersama keluarganya ke pulau itu.

Ferrari Daytona
Ronaldo pernah dilihat membawa Ferrari-nya yang seperti kapal angkasa untuk mengelilingi Portugal pada Mac 2024. Daytona mempunyai enjin Ferrari yang paling berkuasa, iaitu enjin V-12 6.5 liter natural-aspirated.
Ia memecut dari 0-97 km/jam dalam hanya 2.85 saat dan mempunyai 829 kuasa kuda dan 697 Nm tork. Ia cukup unik, dengan hanya 599 model sahaja dihasilkan, semua telah terjual.

Floyd Mayweather
Dengan nilai bersih $450 juta (RM2.1 billion), juara tinju yang bersara ini suka membuat pembelian yang mewah. Jet peribadinya berharga $50 juta (RM240 juta) dan ramai membandingkannya dengan istana, manakala satu daripada jam tangan dalam koleksinya bernilai $1.4 juta (RM6.69 juta).
Kemudian, ada koleksi supercar-nya yang luar biasa, yang menampilkan beberapa model yang menakjubkan.

Koenigsegg CCXR Trevita
Koenigsegg CCXR Trevita adalah salah sebuah kereta terpantas di planet ini pada suatu ketika, mampu mencapai 399 km/jam (248 mph). Mayweather suatu ketika dulu pernah viral kerana mengisi garajnya dengan supercar berwarna hitam sahaja, namun membuat pengecualian untuk model yang luar biasa ini.
Pengeluar supercar Sweden itu bermatlamat untuk mengubah badan karbon serat hitam tradisional menjadi warna putih berkilauan ‘berkilauan, putih- perak’. Apabila matahari menyinari kereta ini, ia bersinar seolah-olah diliputi oleh jutaan berlian kecil.
Syarikat itu ingin membuat tiga tetapi prosesnya begitu rumit, hanya ada dua yang wujud. Dua barang koleksi ini masing-masing mempunyai enjin V8 4.7 liter yang menghasilkan 1,018 kuasa kuda.

Bugatti Veyron
Seorang paparazi pernah bertanya kepada Mayweather bagaimana keadaan Bugatti barunya, dan dia menjawab seperti hanya seorang jutawan sejati yang boleh. “Yang mana? Saya mempunyai banyak,” katanya.
Salah satu modelnya adalah Bugatti Veyron, dianggap sebagai salah satu supercar yang paling luar biasa yang pernah dihasilkan. Hanya menukar minyak hitam pada raksasa ini akan menelan belanja RM119,000 ($25,000).
Ia mempunyai enjin W16 berkuasa 8.0 liter di bawah hudnya, menghasilkan kuasa 1,001 kuasa kuda yang luar biasa. Kuasa enjinnya yang padu bersama dengan aerodinamiknya bermakna Veyron dapat mencapai kelajuan 402 km/jam (250 mph) dan mencapai 0-97 km/jam dalam hanya 2.5 saat.
Apabila berita mengenai Mayweather telah menjual Veyronnya dengan harga yang lebih tinggi daripada harga belinya tersebar luas, Bugatti telah menyenarai hitam bintang sukan itu.

Lamborghini Urus
Tidak menghairankan ‘Money’ Mayweather memadankan Urusnya dengan rekaan dalaman hijau. Kenderaan ini mempunyai prestasi kuasa yang tinggi, iaitu enjin V8 turbo 4.0 liter. Ia boleh menghasilkan 650 kuasa kuda dan 850 Nm tork.
Ini menjadikan model SUV paling praktikal dan berkuasa pernah dihasilkan Lamborghini. Urus adalah salah satu SUV terpantas di dunia, mampu mencapaii 0-97 km/jam dalam 3.6 saat.
Mayweather adalah peminat pengeluar Itali, dengan sebuah Murciélago, Aventador, dan sebuah Huracán dalam koleksinya juga.

Mercedes-Benz SLR McLaren
Sebagai peminat Mercedes-Benz yang lama, Mayweather mempunyai sebuah Maybach S600, beberapa G-Wagens, dan sebuah SLS AMG di dalam simpanannya. Namun, SLR McLaren-nya adalah salah satu yang paling dikagumi.
Hanya ada 150 yang dihasilkan daripada kolaborasi unik ini antara McLaren dan pengeluar Jerman itu, 25 daripadanya adalah edisi istimewa tambahan. Tentu saja, Mayweather harus mendapatkan salah satu model-model khas ini, yang menonjol dengan hud oren terang.
Dengan enjin V8 super-berkapasiti 5.4 liter, ia boleh mencapai kelajuan tertinggi 336 km/jam (209 mph) dan memecut dari 0-97 km/jam dalam 3.6 saat.

LaFerrari Aperta
Untuk memenuhi syarat untuk membeli Aperta, pelanggan harus memiliki sebuah Ferrari LaFerrari dahulu, dan untungnya Mayweather memilikinya. Dia membelanja dirinya dua buah, satu putih dan satu merah Rosso klasik.
LaFerrari Aperta dikuasakan oleh enjin V12 6.3 liter dipasangkan dengan motor elektrik, menghasilkan 949 kuasa kuda. Ia mempunyai kelajuan tertinggi 349 km/jam (217 mph) dan dapat memacu dari 0-97 km/jam dalam 2.8 saat sahaja.
Harga sebenar bagi memiliki La Ferrari Aperta dikatakan berbeza mengikut senarai pembeli yang dipilih oleh Ferrari, namun anggaran sebuah model Aperta dikatakan $2 juta atau RM9.56 juta.

Lewis Hamilton
Lewis Hamilton mempunyai akses kepada beberapa kereta paling luar biasa di dunia, sama ada di litar atau di luar litar. Hamilton jelas mempunyai keutamaan untuk Ferrari; sesuai dengan penukaran beliau dari Mercedes ke pasukan F1 Scuderia Ferrari untuk musim 2025.
Sebenarnya, beberapa Ferrari dalam koleksinya hanya boleh dibeli oleh pengumpul Ferrari yang diluluskan. Selain Ferrari 599, LaFerrari, dan LaFerrari Aperta, beliau mempunyai beberapa supercar yang membanggakan di dalam garaj-nya.

Pagani Zonda 760 LH
Kereta ini dibuat khas untuk Hamilton, itulah yang dimaksudkan dengan singkatan ‘LH’. Zonda adalah hasil kemewahan dan prestasi, direka mengikut keutamaan unik pemandu F1.
Dengan enjin V12 natural-aspirated, ia memberikan 760 kuasa kuda dan kelajuan tertinggi 354 km/jam (220 mph). Dia bahkan memintanya dicat dengan warna ungu kegemarannya.
Pada tahun 2015, Lewis pernah terlibat kemalangan kecil dengan Zonda terbabit namun masih menyimpannya sehingga hujung 2021. Ia kemudian bertukar pemilik dari UK sebelum viral akibat kemalangan ketika ‘test power’ di dalam sebuah terowong di Wales.
Istimewanya model ini adalah a) Pemilik asal ialah Lewis Hamilton b) Zonda pertama dengan transmisi manual dan c) sebuah model 1 dari 1.

Mercedes-AMG ONE
AMG ONE dianggap sebagai salah satu kereta paling berkuasa Mercedes. Hamilton sebenarnya terlibat dalam proses pembangunannya, mengambil prototaip untuk pandu uji dan menala apa yang perlu.
Ia pada dasarnya adalah sebuah hiperkereta yang sah di jalan raya, teknologinya di-inspirasi oleh kereta lumba Formula 1. Pasukan Formula 1 Mercedes-AMG Petronas menyediakan rangkaian kuasa hibrid, enjin turbo 1.6 liter V6 ditambah beberapa motor elektrik. Ya, enjin hanya berkapasiti 1.6 liter sahaja, hebat, bukan?
Ia boleh mencapai lebih daripada 322 km/jam (200 mph), menghasilkan 1,063 kuasa kuda. Hanya ada 275 buah yang dibuat, satu daripadanya Supercar Blondie Alex Hirschi ada memasarkan di kedai online beliau; SBXCars.com.
Melihat bahawa Hamilton membeli satu untuk bapanya juga, kita hanya boleh berharap dia mendapat diskaun pekerja. Memandangkan sebuah AMG-ONE ini berharga $3.5 juta (RM16.7 juta).

McLaren F1
McLaren F1 juga turut berada dalam koleksi pecinta petrol selain dari Hamilton, termasuk Jay Leno, Elon Musk dan Ralph Lauren. Ia sangat eksklusif, dengan hanya 106 yang pernah dihasilkan.
McLaren sendiri menggambarkannya sebagai salah sebuah ‘supercar terhebat yang pernah dibina’, gelaran yang sesuai untuk kereta jalanan yang terpantas di dunia.
McLaren F1 digerakkan oleh enjin V12 6.1 liter yang berkuasa, menghasilkan 627 kuasa kuda. Kuasa ini memecut F1 dari 0-97 km/jam dalam hanya 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi yang mengagumkan 372 km/jam (231 mph).

Jay Leno
Leno mungkin seorang selebriti pengumpul koleksi supercar yang paling terkenal di dunia. Koleksinya termasuk beberapa spesimen yang susah jumpa, ada juga antaranya yang dia sendiri terlibat dalam reka bentuk.

McLaren P1
Hypercar hibrid ini mempunyai enjin V8 3.8 liter turbo dikombinasikan dengan motor elektrik. P1 berorientasikan prestasi, menghasilkan 903 kuasa kuda dan 900 Nm tork.
Kebolehcapaiannya memecut adalah luar biasa, mencapai 0-97 km/jam dalam 2.8 saat dengan kelajuan tertinggi yang dihadkan secara elektronik kepada 349 km/jam (217 mph).
Dalam pada itu, hanya 375 unit daripada reka bentuk ikonik ini yang dihasilkan, satu daripadanya merupakan milik Leno.

Dodge Viper
Dodge Viper GTS 2013 adalah salah satu keretanya yang lebih murah – relatif. Ia mempunyai enjin V10 8.4 liter yang kuat, menghasilkan 640 kuasa kuda.
Ini adalah Viper generasi kelima, dan Leno memiliki setidaknya dua generasi lain dari kereta Amerika yang ikonik ini. Viper diraikan untuk campuran klasik dengan kemampuan supercar moden, menjadikannya spesimen menonjol dalam koleksinya.
Walaupun ramai selebriti memiliki kereta mewah, hanya pencinta sejati yang bersedia melabur masa dan wang untuk membina koleksi supercar. Koleksi-koleksi ini melebihi sekadar paparan kekayaan, mereka memberikan kita wawasan tentang keutamaan dan keutamaan unik pengumpul kereta di luar sana.
Trend datang dan pergi, sifat mereka yang ‘rare’ dan eksotik memberikan daya tarikan yang abadi pada supercar. Sesetengah selebriti menunjukkan kesetiaan jenama, manakala yang lain memberi keutamaan kepada rasa peribadi atau potensi pelaburan apabila menambah koleksi mereka.
Seiring dengan perkembangan industri supercar yang merangkumi model elektrik dan hibrid, koleksi supercar selebriti dijangka akan menyesuaikan diri, memastikan mereka tetap berada di hadapan inovasi dan kemewahan automotif.
Kredit – SupercarBlondie.com
Baca: Dari Lakaran Ke Realiti! Ferrari Perkenal Model One-Off, Ferrari 812 Competizion
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.