Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan pelancaran Triton AT Premium yang menyaksikan peningkatan pada beberapa bahagian dan kini boleh didapati dalam kuantiti terhad.
Triton AT Premium ini tampil eksklusif dalam warna White Diamond, dengan rekaan bampar depan yang lebih sporty, pelekat badan yang menarik, dan tayar Yokohama Geolander AT G015 berukuran 18 inci. Ia juga dilengkapi dengan sports bar dan visor bagi memberikan kesan yang lebih memukau.
Peningkatan pada model ini tidak terhenti pada rekaan luaran, malah merangkumi plat sisi pintu yang bercahaya dan perehat kepala yang baharu. Meskipun enjin tetap tidak berubah, Triton AT Premium tetap mempamerkan enjin diesel turbo MIVEC 2.4 liter dengan kuasa sebanyak 181 PS dan tork sebanyak 430 Nm. Enjin ini turut dilengkapi dengan teknologi Variable Valve Timing (VVT).
Dari segi keselamatan, Triton AT Premium menampilkan ciri-ciri seperti sistem brek ABS, Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Kawalan Cengkaman (TC), Peringatan Waktu Berehat, Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan Bantuan Kestabilan Trailer (TSA).
Bagi peminat yang ingin memiliki Triton AT Premium ini, model naik taraf ini boleh diperolehi dengan harga jualan bermula dari RM135,900.
MMM juga akan mengadakan kempen jelajah Roar of a Champion bermula 27 Januari. Kempen ini akan berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang di beberapa pusat pameran berikut:
- 27 Januari – Lajina Motors Sdn Bhd (Kuala Terengganu)
- 3 Februari – Okuan Motors Sdn Bhd (Kuantan)
- 4 Februari – Auto Raya Timur Sdn Bhd (Temerloh)
- 17 Februari – EON Auto Mart Sdn Bhd (Johor Bahru)
- 18 Februari – MM Supreme Sdn Bhd (Johor Bahru)
- 24 Februari – Sing Kwung Jidosha Sdn Bhd (Melaka)
- 25 Februari – Ban Lee Heng Motor (Nilai) Sdn Bhd (Nilai)
Selain peluang untuk melihat Triton AT Premium, pelanggan juga berkesempatan untuk menyaksikan replika jentera Triton yang menjadi juara Asia Cross Country Rally 2022. Bagi mereka yang membuat tempahan kereta Mitsubishi baharu, hadiah eksklusif berupa beg Thous Winds turut akan diberikan.
Baca: Mitsubishi Lancar Model Baharu. XForce, Pesaing Baru SUV Kelas B
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.