Automotif

MG ZS Hybrid+ Dipertontonkan di KLIMS 2026, Tempahan Awal Kini Dibuka

Share

MG ZS Hybrid+ Tiba di Malaysia, SUV Hibrid B-Segmen Dengan Jarak Gerak Sehingga 870KM

SAIC Motor Malaysia secara rasmi mempamerkan spesifikasi bagi SUV kompak terbaharu mereka, MG ZS, sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung di MITEC dari 12 hingga 21 Jun ini.

Model yang bakal dipasang secara tempatan (CKD) itu ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu MG ZS LUX Hybrid+ dan MG ZS LUX Turbo, dengan varian turbo dijadualkan diperkenalkan pada peringkat seterusnya.

Menurut Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi, kehadiran kedua-dua varian tersebut membolehkan MG memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat dalam pasaran automotif tempatan.

Beliau berkata, setiap model yang dibawa masuk ke Malaysia dipilih berdasarkan kehendak pengguna masa kini yang mahukan gabungan teknologi moden, kecekapan dan nilai yang kompetitif.

MG ZS Hybrid+ SUV B-Segmen Terbesar Dalam Kelas

Dari segi dimensi, MG ZS tampil sebagai antara SUV B-segmen paling besar dalam kategorinya dengan ukuran 4,430 mm panjang dan 1,818 mm lebar.

Rekaan luaran menampilkan identiti moden MG menerusi lampu hadapan Connected Hunter Eyes, gril hadapan berkemasan hitam, garisan badan aerodinamik, spoiler belakang serta rim aloi 18 inci yang menyerlahkan karakter sporty.

Di ruang kabin, MG ZS menawarkan suasana yang lebih lapang dengan penggunaan material premium, ruang kepala dan kaki yang lebih luas serta pelbagai ruang simpanan pintar.

SUV ini turut menawarkan ruang kargo berkapasiti 443 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.

Bahagian kokpit pula dilengkapi paparan infotainmen terapung bersaiz 12.3 inci bersama kluster instrumen digital yang memaparkan maklumat pemanduan secara jelas dan mudah diakses.

MG ZS Hybrid+ Kuasa Hibrid Dengan Prestasi Mengagumkan

Varian MG ZS Hybrid+ digerakkan oleh gabungan enjin petrol 1.5 liter aspirasi semula jadi dan motor elektrik berkuasa 100kW yang disokong bateri NCM berkapasiti 1.83kWh.

Gabungan sistem tersebut menghasilkan kuasa maksimum 158kW bersama tork setinggi 465Nm, menjadikannya antara SUV hibrid B-segmen paling berkuasa ketika ini.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi hibrid tiga kelajuan yang direka untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih lancar dan responsif, tanpa memerlukan pengecasan luaran seperti model plug-in hybrid.

MG mendakwa pecutan 0 hingga 100 km/j mampu dicapai dalam masa hanya 8.7 saat, sekali gus menjadikannya antara SUV hibrid terpantas dalam segmennya.

Dengan tangki bahan api 41 liter, model ini juga mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 870 kilometer bagi satu isian penuh.

Lengkap Dengan ADAS dan Fungsi Pintar

Semua model MG ZS hadir dengan sistem keselamatan aktif MG PILOT yang merangkumi pelbagai fungsi bantuan pemandu ADAS Tahap 2.5 bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan ketika memandu.

Turut ditawarkan ialah sistem sambungan pintar MG iSMART yang membolehkan pengguna mengakses serta mengawal beberapa fungsi kenderaan menerusi aplikasi telefon pintar termasuk fungsi kemasukan tanpa kunci.

MG ZS akan ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu merah, perak, hitam dan putih dengan padanan kabin serba hitam.

Spesifikasi penuh serta harga rasmi model ini akan diumumkan semasa pelancaran rasmi kelak.

Bagi pelanggan yang membuat tempahan awal dengan bayaran hanya RM99 sepanjang tempoh promosi, mereka akan menerima rebat bernilai RM3,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.

IM6 Buat Kemunculan Sulung di Malaysia

Selain MG ZS, KLIMS 2026 turut menyaksikan kemunculan pertama jenama premium baharu SAIC Motor, iaitu IM (Intelligence in Motion), yang memfokuskan kepada mobiliti pintar dan mewah.

Model yang menjadi tumpuan ialah IM6, sebuah SUV elektrik segmen D yang menggabungkan teknologi canggih, prestasi tinggi dan kemewahan moden.

Dengan ukuran 4,904 mm panjang dan 1,988 mm lebar, IM6 menawarkan ruang kabin yang luas dan premium lengkap dengan bumbung kaca panoramik, tempat duduk berinspirasikan kulit premium serta pelbagai ciri pintar.

Dari aspek prestasi, IM6 mampu menghasilkan kuasa sehingga 572kW dan tork 802Nm dengan jarak pemanduan sehingga 600 kilometer mengikut standard WLTP.

Pelbagai Model Dipamerkan di KLIMS 2026

Selain MG ZS dan IM6, SAIC Motor Malaysia turut mempamerkan beberapa model lain termasuk:

  • MG HS Hybrid+
  • MG QS
  • MGS5 EV
  • MG Cyberster

Bagi pelanggan yang menempah MGS5 EV sepanjang KLIMS 2026, mereka akan menikmati rebat segera RM7,000, pengecas dinding 7kW percuma bernilai RM2,000 serta kredit pengecasan tambahan RM1,000.

Model MGS5 EV kini ditawarkan pada harga bermula RM116,900.

Melalui barisan produk yang merangkumi model petrol, hibrid dan kenderaan elektrik premium, penyertaan SAIC Motor Malaysia di KLIMS 2026 memperlihatkan hala tuju syarikat yang semakin agresif dalam memperkukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran automotif tempatan.

Baca Juga : MG ZS Hybrid+ Baharu dan IM6 Bakal Jadi Tumpuan di KLIMS 2026

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi