Mforce Moto Xperience Adventure Day 2026 Bakal Gegarkan Sepang, Tawar Cabaran Off-Road dan Pelancaran Motosikal Baharu
Peminat motosikal adventure dan aktiviti off-road bakal berpeluang menguji kemahiran tunggangan masing-masing menerusi Mforce Moto Xperience Adventure Day 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 13 Disember depan.
Acara anjuran Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. dengan kerjasama RodaRoda itu akan diadakan di Sepang Bay 13 Off-Road Ranch, Selangor, dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabaran halangan, tunggangan merentas denai, sesi pandu uji motosikal serta pelancaran beberapa model baharu.
Lebih menarik, kemasukan ke acara selama dua hari ini adalah percuma kepada orang ramai, manakala bayaran pendaftaran hanya dikenakan kepada peserta yang ingin menyertai aktiviti tertentu.
Penganjur menyasarkan acara berkenaan sebagai platform menghimpunkan komuniti penunggang motosikal, khususnya peminat segmen adventure, selain memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman tunggangan dalam pelbagai keadaan permukaan jalan.
Mforce Moto Xperience Adventure Day 2026 : Adventure Challenge Uji Kemahiran Penunggang
Antara tarikan utama pada hari pertama, 12 Disember (Sabtu), ialah pertandingan Adventure Challenge yang bakal menguji keupayaan peserta mengendalikan motosikal di laluan berhalangan sepanjang dua kilometer.
Peserta perlu mengharungi pelbagai cabaran yang direka bagi menguji kemahiran kawalan motosikal, keseimbangan dan ketepatan tunggangan.
Pemenang akan ditentukan berdasarkan catatan masa terpantas dengan jumlah penalti paling rendah.
Bagaimanapun, penyertaan bagi kategori ini hanya dibuka kepada pemilik motosikal daripada jenama yang diedarkan oleh Mforce.
Pada hari sama, Mforce turut dijadualkan memperkenalkan beberapa model motosikal baharu pada jam 12.30 tengah hari.
Pelancaran itu bakal memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat model terkini yang akan memasuki pasaran tempatan.

Follow-the-Trail Tawar Pengembaraan Sejauh 100 Kilometer
Aktiviti diteruskan pada 13 Disember (Ahad) menerusi program Follow-the-Trail (FTT), iaitu tunggangan berkumpulan sejauh 100 kilometer yang merangkumi pelbagai jenis permukaan.
Laluan berkenaan melibatkan jalan berturap, jalan berbatu kerikil, laluan tidak berturap serta denai tanah yang memberikan pengalaman tunggangan lebih mencabar.
Berbeza dengan Adventure Challenge, aktiviti FTT tidak berbentuk pertandingan, sebaliknya lebih menumpukan kepada pengalaman tunggangan dan semangat berkomuniti.
Tunggangan akan diketuai oleh ketua kumpulan serta dibantu marshal sepanjang perjalanan bagi memastikan kelancaran aktiviti.
Penyertaan dibuka kepada semua pemilik motosikal adventure, termasuk penunggang baharu yang mahu mencuba pengalaman off-road buat kali pertama.
Sesi Test Ride Motosikal dan ATV Turut Disediakan
Selain cabaran tunggangan, pengunjung juga berpeluang mencuba beberapa model motosikal dan ATV terpilih yang diedarkan oleh Mforce.
Sesi test ride sepanjang dua hari itu turut merangkumi pengalaman tunggangan off-road, sekali gus membolehkan pengunjung menilai sendiri keupayaan dan karakter motosikal dalam keadaan laluan berbeza.
Acara berkenaan juga akan menampilkan pameran motosikal, gerai jualan, makanan dan minuman serta pentas acara secara langsung.
Pengunjung turut boleh menyaksikan aksi peserta Adventure Challenge dari kawasan utama acara.
Bagi penunggang cilik pula, kategori Kids Motocross disediakan khusus untuk kanak-kanak yang memiliki motosikal motocross sendiri.
Mereka berpeluang merasai pengalaman menunggang di laluan off-road khas yang disediakan penganjur.
Yuran Penyertaan Bermula RM10
Bagi mereka yang berminat menyertai aktiviti berbayar, kadar pendaftaran adalah seperti berikut:
| Kategori | Yuran |
|---|---|
| Adventure Challenge + Follow-the-Trail (FTT) | RM80 |
| Follow-the-Trail (FTT) sahaja | RM50 |
| Kids Motocross | RM10 |
Pendaftaran kini dibuka sehingga 30 November 2026, tertakluk kepada kekosongan slot penyertaan.
Baca Juga : Mforce Serah Enam Motosikal Kepada JSPT PDRM Untuk Program Proof of Concept
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


