Automotif

Lamborghini Temerario 2025 – Kuasa V-8 dan Hibrid

Share

Selepas sedekad Lamborghini Huracán menguasai dunia supercar, pengeluar kereta mewah dari Itali, Sant’Agata Bolognese, kini memperkenalkan penggantinya, Lamborghini Temerario. 

Berbeza dengan model terdahulu seperti Huracán dan Gallardo yang menggunakan enjin V-10, Temerario hadir dengan kuasa baharu menerusi gabungan enjin V-8 yang dipadankan dengan tiga motor elektrik. 

Dengan gabungan kuasa hibrid yang moden ini, Lamborghini Temerario juga memperkenalkan rekaan baharu yang menitikberatkan aerodinamik dan kesesuaian penggunaan harian. 

Kehadiran Temerario juga menandakan bahawa seluruh barisan kenderaan Lamborghini kini beralih kepada teknologi hibrid.

Temerario

Nadi kepada Lamborghini Temerario ialah enjin V-8 4.0 liter twin-turbocharged dengan konfigurasi hot-vee, di mana turbo diletakkan di dalam bentuk V yang dibentuk oleh bank silinder. 

Enjin V-8 ini mampu menghasilkan 789 kuasa kuda pada 9000 – 9750 rpm dan tork maksimum 730 Nm pada 4000 – 7000 rpm. Enjin ini mampu mencapai kelajuan rev sehingga 10,000 rpm. Dengan tekanan boost turbo maksimum sebanyak 36.3 psi. 

Kuasa daripada enjin V-8 ini disalurkan melalui transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang dipasang secara melintang di belakang enjin.

Lamborghini berjaya mengurangkan berat transmisi ini dengan menggunakan aci berongga tambahan. Ia dikatakan lebih ringan daripada unit klac berkembar tujuh kelajuan pada Huracán. Sambil menawarkan pertukaran gear yang lebih pantas.

3 Motor Elektrik

Dengan tambahan tiga motor elektrik, output keseluruhan Temerario meningkat kepada 907 kuasa kuda. Dua motor elektrik yang disejukkan dengan minyak memberi kuasa kepada gandar depan. Menjadikan Temerario sebagai kereta pacuan semua roda apabila diperlukan. 

Lamborghini mendakwa bahawa sistem gandar depan ini hanya seberat 73 kg, dan motor depan ini juga boleh menggerakkan Temerario sepenuhnya dalam mod elektrik. 

Motor elektrik ketiga yang terletak di antara enjin V-8 dan kotak gear berfungsi sebagai “pengisi jurang tork” untuk melicinkan pertukaran gear, menghapuskan kesan turbo lag, dan meningkatkan respons apabila memecut dari keadaan statik.

Kuasa untuk motor elektrik ini datang dari bateri lithium-ion 3.8 kWh, yang diletakkan dalam terowong tengah untuk mengoptimumkan pengagihan berat dan mengekalkan pusat graviti yang rendah. 

Pengecas onboard boleh mengisi semula bateri dalam masa 30 minit pada kapasiti sehingga 7 kW, atau bateri boleh dicas semula melalui brek regeneratif atau langsung oleh enjin pembakaran dalaman.

Rekaan Berteraskan Aerodinamik

Lamborghini Temerario mengekalkan identiti Lamborghini dengan bentuk baji ikonik dan perincian tajam, walaupun sedikit lebih panjang lima inci berbanding Huracán. Unsur heksagon yang menjadi gaya terkini Lamborghini jelas kelihatan, terutamanya pada lampu nyalaan siang yang terletak di bampar bawah dan saluran udara untuk menyejukkan brek.

Supercar untuk Penggunaan Harian

Bahagian dalaman Lamborghini Temerario mencerminkan motif luaran dengan ventilasi udara berbentuk heksagon dan roda stereng yang diilhamkan daripada sukan permotoran. Kabin lebih mesra pengguna berbanding model Lamborghini terdahulu, dengan tempat duduk yang boleh dilaras dalam 18 cara, dipanaskan, dan dilengkapi pengudaraan. 

Sistem infotainment pula menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta dilengkapi dengan kamera dalaman untuk merakam pengalaman pemanduan.

Walaupun Temerario hadir dengan dua warna cat baharu, Blu Marinus dan Verde Mercurius, Lamborghini mengatakan bahawa lebih daripada 400 warna dan livery khas akan ditawarkan melalui bahagian penyesuaian Ad Personam syarikat. 

Tiga reka bentuk roda yang berbeza ditawarkan. Semuanya berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang. Serta dilengkapi dengan tayar Bridgestone Potenza Sport atau Potenza Race. 

Trim gentian karbon boleh dipilih untuk bahagian dalam dan luar. Manakala tempat duduk boleh ditentukan dalam pelbagai warna dan dengan empat corak jahitan yang berbeza.

Lamborghini juga mencipta pakej Alleggerita. Pilihan ringan yang mengurangkan berat sehingga 25 kg. Pakej yang difokuskan pada trek ini juga dilengkapi dengan spoiler belakang yang direka semula untuk menambah downforce.

Lamborghini belum mengumumkan butiran harga dan belum mengatakan bila jualan Temerario akan bermula. Kami menjangkakan Temerario 2025 akan bermula sekitar RM1.27 juta ($290,000) dan akan dijual pada awal 2025.

Dari Car And Driver

Baca Juga Lamborghini Urus SE – Super SUV Plug-in Hybrid Pertama di Dunia!

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan