Maksud Sebenar Di Sebalik Logo Perodua?
lebih tiga dekad dalam industri automotif negara, Perodua cukup sinonim dengan penghasilan kenderaan kompak yang menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Bermula dengan pengenalan Kancil pada 1994, pengeluar kereta nasional kedua negara itu terus berkembang dengan memperkenalkan pelbagai model popular termasuk Rusa, Kembara, Kenari, Kelisa, Viva dan Myvi.
Namun, di sebalik populariti jenama berkenaan, mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa logo Perodua yang menghiasi kenderaannya mempunyai maksud tersendiri.
Perkara itu antara informasi menarik yang dipaparkan di Muzium Automobil Nasional Malaysia, Sepang, yang turut mengetengahkan sejarah penubuhan Perodua serta evolusi logo korporatnya sejak 1993.

Tiga Generasi Logo Perodua
Berdasarkan maklumat yang dipamerkan, Perodua telah melalui tiga perubahan logo sejak penubuhannya.
Logo generasi pertama yang digunakan dari 1993 hingga 1998 menampilkan rekaan berbentuk segi empat dengan gabungan warna hijau dan merah, selain tulisan PERODUA berwarna hitam.
Pada 1998, logo berkenaan diberi wajah baharu dengan penggunaan bentuk bujur yang masih mengekalkan gabungan warna asal.
Rekaan generasi kedua itu digunakan sehingga 2007 sebelum digantikan dengan logo generasi ketiga yang mempunyai penampilan lebih moden, termasuk kemasan tiga dimensi dan bingkai berwarna perak.
Walaupun mengalami beberapa perubahan, identiti utama logo Perodua yang menggunakan gabungan warna hijau dan merah masih dikekalkan sehingga kini.

Maksud Di Sebalik Warna dan Rekaan
Menurut penerangan di muzium berkenaan, motif utama logo Perodua menyerupai huruf ‘P’ yang membahagikan bentuk bujur kepada dua bahagian.
Bahagian kiri yang berwarna hijau melambangkan keindahan alam, manakala bahagian kanan berwarna merah pula mewakili semangat rakyat Malaysia.
Menariknya, terdapat satu garisan yang melintang pada permukaan logo berkenaan dan dikenali sebagai Future Horizon atau Horizon Masa Depan.
Garisan itu diibaratkan seperti sebuah lebuh raya yang menuju ke masa hadapan, manakala kedudukannya yang melintasi huruf ‘P’ melambangkan usaha mencari serta menghadapi cabaran baharu.
Justeru, rekaan logo Perodua bukan sekadar lambang pengenalan jenama, tetapi turut membawa maksud yang berkait rapat dengan identiti Malaysia dan hala tuju masa depannya.

Bermula Dengan Kancil Pada 1994
Mengimbas kembali sejarah penubuhannya, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) ditubuhkan pada 1993 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia.
Matlamat asal penubuhannya adalah untuk menghasilkan kenderaan kompak yang mampu dimiliki dan dipercayai untuk kegunaan rakyat Malaysia.
Setahun selepas penubuhannya, Perodua memperkenalkan Kancil sebagai model pertama pada 1994, sekali gus membuka laluan kepada penghasilan pelbagai model lain.

Antaranya termasuk Rusa yang dilancarkan pada 1996, Kembara (1998), Kenari (2000), Kelisa (2001), Myvi generasi pertama (2005) dan Viva (2007)
Selepas lebih tiga dekad, Perodua terus menjadi antara nama penting dalam industri automotif tempatan.
Bagi pengunjung Muzium Automobil Nasional Malaysia di Sepang, pameran berkenaan memberikan peluang untuk mengenali sejarah Perodua dengan lebih dekat, termasuk memahami maksud di sebalik logo yang selama ini cukup biasa dilihat di jalan raya.
Siapa sangka, gabungan dua warna dan satu garisan pada logo tersebut sebenarnya membawa maksud yang lebih mendalam daripada sekadar identiti sebuah pengeluar kereta nasional.
Baca Juga : Senarai Tekanan Angin Tayar (PSI) Perodua & Proton Malaysia 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


