Automotif

Kilang Tayar Goodyear Bakal Tutup, 550 Pekerja Terjejas

Share

Syarikat pengeluar tayar terkemuka dunia, Goodyear, yang telah lama beroperasi di Malaysia, dilaporkan akan menutup kilangnya di Shah Alam, Selangor. Penutupan ini dijangka akan bermula pada 30 Jun dan selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, menurut kenyataan dalaman yang tersebar luas di media sosial.

Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madaran, mengesahkan bahawa penutupan kilang tersebut adalah sebahagian daripada langkah yang diambil dalam program transformasi, Goodyear Forward. Tujuannya adalah untuk mengoptimalkan operasi syarikat ke arah mencapai pengurangan kos operasi sebanyak USD 1 bilion menjelang 2025 dan memastikan Goodyear kekal sebagai antara jenama pengeluar tayar utama dunia.

Walau bagaimanapun, penutupan kilang ini tidak dapat dielakkan dan ia akan menyebabkan sekitar 550 pekerja kilang di Malaysia terjejas. Nathaniel menegaskan bahawa keputusan ini bukanlah satu perkara yang mudah, namun ia diperlukan untuk memastikan kepentingan jangka panjang perniagaan dan pelanggan Goodyear dapat dipelihara.

Kredit Foto: FB Sahabat Shah Alam

Goodyear telah beroperasi di Malaysia sejak era Tanah Melayu, dengan kilang di Shah Alam memulakan operasinya pada tahun 1972. Syarikat ini juga memasuki pasaran negara ini sejak sebelum merdeka pada tahun 1929. Pada tahun 1985, Goodyear menjadi pembekal tayar kepada kereta nasional pertama negara, Proton Saga.

Walaupun kilang di Shah Alam akan ditutup, Goodyear akan terus beroperasi di pasaran tempatan melalui Goodyear Malaysia. Produk-produk yang dijual akan dibawa masuk dari kilang-kilang lain di Thailand, Indonesia, China, dan Taiwan.

Bagi pekerja yang terjejas, Goodyear berkomitmen untuk melayani mereka dengan cara yang terhormat dan telus sepanjang proses penutupan kilang ini berjalan. Nathaniel mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja yang telah memberikan yang terbaik kepada kilang ini dan untuk kesinambungan kejayaan Goodyear.

Keputusan penutupan kilang Goodyear di Shah Alam ini membawa implikasi yang signifikan kepada pekerja, industri automotif tempatan, dan komuniti setempat.

Baca: Tayar Haus Secara Tidak Sekata? Mungkin Puncanya Sebab Kerosakan Pada ‘Lower Arm’!

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan