Nissan baru-baru ini mengumumkan pelan transformasi besar-besaran yang bakal mengubah hala tuju jenama itu dalam usaha untuk kembali mencatat keuntungan menjelang tahun 2026. Antara berita yang menarik perhatian peminat automotif—khususnya peminat tegar Nissan ialah pengesahan bahawa model Skyline baharu sedang dibangunkan.
Ya, Skyline akan kembali. Tapi sebelum anda membayangkan kemunculan semula GT-R R34 dengan lampu bulat ikonik dan deruman enjin RB26DETT, mari kita perjelaskan sedikit. Skyline sekarang bukan lagi GT-R seperti zaman dahulu. Sejak generasi ke-10 Skyline tamat pada 2001, GT-R dan Skyline telah membawa haluan masing-masing.
Skyline Baharu = Infiniti Baharu?
Bagi peminat yang mengikuti perkembangan Nissan sejak dulu, mereka tahu Skyline moden sebenarnya muncul dalam bentuk Infiniti G35, dan seterusnya Q50 di pasaran Amerika Syarikat.
Ia bukan lagi coupe prestasi tinggi, sebaliknya sebuah sedan premium dengan enjin V6, disasarkan untuk menyaingi BMW dan Mercedes dalam segmen mewah.
Jadi apabila Nissan mengesahkan Skyline baharu, ia secara tak langsung memberi gambaran bahawa akan ada pengganti kepada Infiniti Q50 yang kini sudah agak berusia (diperkenalkan pada 2015).
Model Red Sport 400 dengan enjin 3.0L V6 twin-turbo masih garang, tetapi sudah tiba masa untuk versi baharu yang lebih moden dan relevan.
Pelan Re:Nissan – Kurangkan Kos, Cepatkan Proses
Skyline baharu ini akan jadi antara model pertama yang dibangunkan di bawah strategi baharu Nissan yang dinamakan Re:Nissan. Pelan ini bukan sahaja menyaksikan pengurangan jumlah kilang dan tenaga kerja secara besar-besaran (11,000 lagi pekerja akan dikurangkan). Ia juga melibatkan pemasangan jumlah platform kenderaan daripada 13 kepada hanya 7 menjelang 2035.
Yang paling menarik, Nissan berhasrat mempercepatkan tempoh pembangunan model baharu kepada 37 bulan untuk model pertama dalam satu barisan. Seterusnya, 30 bulan untuk varian berikutnya—sejajar dengan standard pengeluar terbaik dunia.
SUV Infiniti Baharu – Adakah Ini “Skyline” Versi Baharu?
Selain Skyline, Nissan juga mendedahkan bahawa sebuah SUV segmen C bersaiz sederhana. Serta sebuah SUV kompak baharu untuk jenama Infiniti turut dalam perancangan. Apa yang menarik, model Infiniti SUV ini dikatakan mungkin membawa nama Skyline juga. Seperti yang pernah berlaku sebelum ini di Jepun dengan model FX dan QX70 yang dijual sebagai “Skyline Crossover”.
Spekulasi bahawa Skyline akan berubah daripada sedan kepada SUV juga bukan perkara baru. Dan dengan hala tuju pasaran hari ini yang lebih cenderung kepada SUV. Tidak mustahil Skyline baharu akan menyertai gelombang itu.
Era Baharu Nissan Di Bawah CEO Baharu
Dengan perubahan besar ini dan pelantikan CEO baharu, Makoto Uchida digantikan oleh José Román Espinosa. Kita boleh menjangkakan hala tuju yang lebih berani dalam pembangunan model-model yang mampu membangkitkan kembali imej jenama Nissan—termasuklah Skyline yang ikonik.
Walau apa pun bentuknya nanti—sedan, coupe atau SUV—nama Skyline tetap membawa sejarah yang panjang. Dan kalau Nissan mainkan kadnya dengan betul, Skyline baharu ini mungkin jadi titik kebangkitan semula jenama yang pernah dominan suatu ketika dahulu.
Dari Car Buzz
Baca Juga Nissan R32 Skyline Elektrik Debut Di Tokyo Auto Salon 2025
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.