Bagi peminat kereta klasik dan filem aksi 80-an, lampu pop-up atau lampu tersembunyi adalah satu elemen ikonik. Adegan seorang watak melompat masuk ke dalam kereta sport, menghidupkan enjin, dan lampu pop-up terbuka dengan penuh dramatik—memang cukup memberi nostalgia. Tapi kenapa teknologi ini semakin lenyap dari dunia automotif?

Asal-Usul Lampu Pop-Up
Lampu pop-up pertama kali muncul pada tahun 1936 melalui model Cord 810. Ketika itu, teknologi lampu kereta masih dalam peringkat awal. Lampu tersembunyi ini dikawal secara manual menggunakan engkol di bawah papan pemuka. Ia bukan sahaja memberikan rupa yang lebih aerodinamik, tetapi juga melindungi lampu dari cuaca buruk.
Pada tahun 1938, General Motors memperkenalkan inovasi dengan konsep Y-Job. Di mana lampu pop-up tidak lagi memerlukan kawalan manual tetapi menggunakan mekanisme penutup berbentuk ‘kelopak mata’ yang membuka dan menutup secara automatik.
Fenomena lampu pop-up semakin popular selepas Perang Dunia Kedua, terutama pada era 50-an dan 60-an. Ini apabila peraturan automotif menetapkan ketinggian minimum lampu depan. Bagi pereka kereta yang mahukan rekaan hadapan lebih rendah dan aerodinamik, lampu pop-up menjadi penyelesaian ideal.
Selain faktor estetika, lampu pop-up juga mempunyai fungsi tambahan. Sebagai contoh, Oldsmobile Toronado menggunakan lampu pop-up untuk membantu sistem penyejukan enjin dengan meningkatkan aliran udara ke radiator apabila diperlukan.
Era Keemasan dan Kejatuhan Lampu Pop-Up
Pada era 70-an hingga 90-an, lampu pop-up menjadi sinonim dengan kereta sport dan mewah seperti Ferrari, Lamborghini, Mazda RX-7 dan Chevrolet Corvette. Namun, tidak semua orang menyukai ciri ini. Pada tahun 1991, kolumnis automotif Brooks Peterson mengkritik rekaan lampu pop-up yang dikatakan merosakkan aerodinamik kereta apabila ia terbuka.
Menjelang awal 2000-an, teknologi lampu hadapan semakin maju, dan pop-up mula hilang dari pasaran. Salah satu model terakhir yang menggunakannya ialah Chevrolet Corvette C5 pada tahun 2004. Jadi, kenapa ia dihentikan?
Kenapa Lampu Pop-Up Tidak Lagi Digunakan?
Terdapat beberapa sebab utama kenapa lampu pop-up semakin dilupakan:
- Perubahan Peraturan Automotif – Pada penghujung abad ke-20, peraturan mengenai saiz dan bentuk lampu hadapan menjadi lebih fleksibel. Pereka tidak lagi perlu menyembunyikan lampu untuk mendapatkan rupa aerodinamik yang kemas.
- Isu Ketahanan dan Penyelenggaraan – Mekanisme lampu pop-up cenderung mengalami masalah mekanikal. Situasi di mana satu lampu berfungsi manakala yang lain tersekat dalam keadaan terbuka atau tertutup bukanlah perkara luar biasa, menjadikannya kurang praktikal untuk jangka panjang.
- Keselamatan Pejalan Kaki – Pada tahun 1998, Kesatuan Eropah memperkenalkan peraturan keselamatan yang mengehadkan saiz objek yang menonjol dari badan kereta. Ini bagi mengurangkan kecederaan kepada pejalan kaki dalam kemalangan. Lampu pop-up menjadi mangsa peraturan ini kerana ia boleh meningkatkan risiko kecederaan akibat impak langsung.
Walaupun teknologi ini tidak diharamkan sepenuhnya, kos tinggi untuk mematuhi pelbagai piawaian keselamatan menjadikan pengeluar kereta enggan menggunakannya lagi.
Kesimpulan
Bagi peminat kereta klasik, lampu pop-up tetap mempunyai daya tarikan tersendiri. Walaupun ia mungkin tidak lagi menghiasi model moden, kita masih boleh menikmatinya dalam filem aksi 80-an atau melalui koleksi kereta klasik. Jadi, jika anda merindui lampu pop-up, mungkin sudah tiba masanya untuk mencari sebuah Mazda RX-7 atau Honda NSX untuk dijadikan koleksi!
Dari Mental Floss
Baca Juga Kenapa Lampu Belakang Kereta Berwarna Merah?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.