Ferrari kembali dengan inovasi luar biasa dalam dunia enjin prestasi tinggi. Jika selama ini enjin V-12 dikenali dengan saiznya yang panjang dan garang. Ferrari kini sedang mengubah persepsi itu dengan memperkenalkan rekaan piston berbentuk pil. Sistem rod penyambung (connecting rod) baharu yang menjadikan enjin ini lebih padat tanpa mengorbankan prestasi.
Piston Berbentuk Pil – Kecil Tapi Berkuasa
Sebenarnya, konsep piston berbentuk oval atau bujur bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia automotif. Honda pernah menggunakan reka bentuk serupa dalam enjin V-4 mereka yang dilengkapi dengan dua rod penyambung bagi setiap piston serta kepala silinder lapan injap.
Namun, Ferrari telah mengambil pendekatan yang berbeza dengan membangunkan rekaan yang lebih radikal pada enjin V-12 mereka.
Dalam paten yang ditemui oleh AutoGuide, Ferrari menggunakan piston berbentuk pil yang diposisikan secara melintang berbanding reka bentuk Honda yang lebih menegak. Dengan pendekatan ini, piston dapat disusun lebih rapat antara satu sama lain berbanding enjin konvensional yang menggunakan piston bulat. Menjadikan enjin lebih pendek tanpa mengurangkan jumlah sesaran (displacement) yang sama.
Sistem Rotasi yang Lebih Padat
Selain piston unik, Ferrari juga merombak rekaan sistem putaran enjin mereka. Dalam enjin V-12 biasa, piston pada kedua-dua belah bank berkongsi journal aci engkol (crankshaft) tetapi dengan sedikit jarak peralihan, menyebabkan enjin menjadi lebih panjang.
Namun, dalam reka bentuk baharu ini, piston di sebelah kiri dipasang pada penutup yang disambungkan ke rod penyambung sebelah kanan, dengan rod penyambung yang lebih pendek.
Hasilnya, silinder yang bertentangan menjadi sejajar dan bukannya terpisah beberapa milimeter seperti enjin V-12 konvensional. Ini bukan sahaja membantu mengurangkan panjang enjin, tetapi juga menjadikan sistem putaran lebih ringan dengan komponen yang lebih sedikit dan kecil. Ini secara tidak langsung meningkatkan keupayaan enjin untuk mencapai putaran tinggi (high RPM) dengan lebih cekap.
Kurang Geseran, Lebih Prestasi
Ferrari turut menambah baik kecekapan enjin dengan mengurangkan geseran antara piston dan dinding silinder. Piston direka dengan ‘cavities’ atau lekukan khas pada bahagian skirt untuk mengurangkan rintangan pergerakan. Ini memberikan kelebihan besar dalam prestasi, terutamanya ketika enjin beroperasi pada kelajuan tinggi.
Dengan enjin V-12 yang lebih padat, Ferrari kini mempunyai lebih banyak fleksibiliti dalam reka bentuk kenderaan mereka. Ini membolehkan ruang tambahan untuk komponen hibrid, seperti motor elektrik yang boleh diletakkan di antara enjin dan transmisi.
Lebih menarik, dengan reka bentuk piston bujur ini, terdapat potensi untuk menambah lebih banyak injap kemasukan dan ekzos. Sekaligus meningkatkan kecekapan aliran udara dan prestasi keseluruhan.
Masa Depan Enjin V-12 Ferrari?
Adakah Ferrari akan benar-benar mengeluarkan enjin ini dalam model produksinya? Itu masih menjadi tanda tanya. Ada kemungkinan mereka hanya mahu mematenkan teknologi ini untuk menghalang pesaing daripada menirunya tanpa membayar royalti. Namun, jika enjin ini direalisasikan, ia akan menjadi satu revolusi dalam dunia enjin V-12 yang selama ini lebih banyak berevolusi daripada mengalami perubahan drastik.
Dengan peraturan emisi yang semakin ketat, Ferrari perlu mencari jalan untuk memastikan enjin V-12 ikonik mereka terus relevan. Jika inovasi ini dapat membantu mereka memenuhi standard peraturan yang semakin mencabar, kita mungkin akan melihat satu era baharu untuk enjin Ferrari—lebih kecil, lebih cekap, tetapi masih mengekalkan bunyi dan prestasi yang menjadi kebanggaan jenama Kuda Jingkrak ini.
Dari Motor1
Baca Juga Ferrari 900, Satu-Satunya Motosikal Daripada Jenama Ferrari
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.