Ads

Kawasaki KLE500 Rasmi Dilancar, Harga Bermula RM32,900!

Kawasaki KLE500 Perkukuh Segmen Adventure, Harga Bermula RM32,900

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) memperkukuhkan penawaran dalam segmen motosikal adventure menerusi pelancaran rasmi Kawasaki KLE500, sebuah model middleweight yang direka untuk memenuhi keperluan penunggang moden yang mahukan keseimbangan antara penggunaan harian, pengembaraan jarak jauh dan keupayaan meredah laluan off-road.

Ditawarkan pada harga yang disyorkan RM32,900, tidak termasuk insurans dan cukai jalan, KLE500 menyertai barisan model adventure Kawasaki yang semakin berkembang di Malaysia.

Model ini dibangunkan bagi memenuhi permintaan penunggang yang inginkan sebuah motosikal serba boleh, mampu memberikan keselesaan ketika digunakan di bandar, namun pada masa sama cukup berkeupayaan untuk menakluki laluan mencabar pada hujung minggu.

 

Kawasaki KLE500 Rasmi Dilancar, Harga Bermula RM32,900!

KLE500 Hadir Dengan Enjin 451cc Parallel-Twin

Nadi penggerak KLE500 ialah enjin 451cc parallel-twin yang menawarkan penghantaran kuasa yang lancar dan responsif dalam pelbagai keadaan tunggangan. Karakter enjin ini sesuai untuk perjalanan harian mahupun jelajah jarak jauh, di samping memberikan keyakinan apabila memasuki laluan yang lebih teknikal.

Bagi melengkapkan karakter adventure, KLE500 dipadankan dengan “long-travel suspension” yang direka untuk menyerap hentakan dengan lebih efektif ketika melalui permukaan jalan tidak rata.

Sama ada menunggang di lebuh raya, jalan kampung atau laluan berbatu, kombinasi casis dan suspensi ini memberikan keseimbangan antara kestabilan serta keselesaan.

Kawasaki KLE500 Rasmi Dilancar, Harga Bermula RM32,900!

Ads

Ciri Praktikal Untuk Semua Keadaan Jalan

Kawasaki turut mengekalkan konfigurasi roda yang menjadi pilihan kebanyakan motosikal adventure menerusi penggunaan rim jejari bersaiz 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Saiz roda ini membantu meningkatkan kestabilan ketika meredah denai tanah, laluan berbatu dan permukaan tidak berturap, selain menawarkan kawalan yang lebih baik ketika menempuh halangan.

Dari aspek keselamatan, KLE500 dilengkapi sistem ”Selectable ABS”. Kawasaki KLE500 menyesuaikan tetapan sistem brek mengikut jenis permukaan jalan. Ciri ini memberikan lebih keyakinan ketika melalui laluan off-road tanpa menjejaskan keselamatan ketika menunggang di atas jalan raya.

Reka bentuk luaran pula jelas memperlihatkan identiti sebuah motosikal adventure moden dengan inspirasi jentera rali. Posisi tunggangan yang tegak bukan sahaja meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh, malah memudahkan penunggang mengawal motosikal ketika melalui laluan mencabar.

Turut melengkapkan pakej keseluruhan ialah pelindung angin yang boleh dilaraskan kepada tiga kedudukan bagi mengurangkan tekanan angin ketika menunggang pada kelajuan tinggi. Tangki bahan api berkapasiti 16 liter pula menawarkan jarak tunggangan yang lebih jauh, menjadikan KLE500 pilihan sesuai untuk aktiviti touring mahupun ekspedisi merentas negeri.

Baca Juga: Penggunaan “Dummy Buckle” dan Kesannya Terhadap Keselamatan Pengguna Kenderaan

Ads

 

Kawasaki KLE500 Rasmi Dilancar, Harga Bermula RM32,900!

Promosi Eksklusif Buat 60 Pembeli Terawal

Bersempena pelancaran digital Kawasaki KLE500 yang bermula pada 3 Ogos 2026, MODENAS turut memperkenalkan promosi istimewa kepada 60 pelanggan pertama yang membeli model ini di pengedar sah Kawasaki di seluruh negara sepanjang tempoh 3 hingga 31 Ogos 2026.

Pembeli yang layak akan menerima Pakej Kawasaki Megatrail Adventure, yang merangkumi penyertaan percuma ke program Kawasaki Megatrail Fun Ride selama dua hari satu malam, jersi KLE500 Adventure edisi terhad, Sijil Pemilik Eksklusif KLE500 serta beg pelana (saddle bag) KLE Adventure edisi terhad.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lebih bermakna kepada pelanggan, bukan sekadar menawarkan sebuah motosikal baharu.

Ads

 

Kawasaki KLE500 Rasmi Dilancar, Harga Bermula RM32,900!

Megatrail Jadi Pentas Uji Keupayaan KLE500

Program Kawasaki Megatrail Fun Ride akan berlangsung pada 26 September 2026 di Dataran Amanjaya Lawin, Gerik, Perak, melibatkan laluan off-road sejauh 150 kilometer yang merentasi denai hutan, kawasan berbukit, laluan berbatu serta sungai.

Acara ini memberi peluang kepada pemilik KLE500 menguji sendiri keupayaan motosikal mereka dalam persekitaran sebenar yang menjadi habitat sebuah jentera adventure. Sepanjang program berlangsung, peserta turut disediakan makanan, tapak perkhemahan, panduan laluan, bantuan teknikal, khidmat menyelamat motosikal, sokongan kecemasan perubatan serta hentian mengisi bahan api.

Selain pengalaman menunggang yang lebih mencabar, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM40,000, termasuk sebuah motosikal Kawasaki baharu.

Dengan gabungan prestasi enjin 451cc, ciri-ciri yang memfokuskan keselesaan dan keupayaan merentas pelbagai permukaan jalan serta pengalaman pemilikan yang diperkaya melalui program Megatrail, Kawasaki KLE500 dilihat sebagai satu lagi pilihan menarik dalam segmen adventure kelas pertengahan di Malaysia.

Model ini bukan sahaja menawarkan sebuah motosikal yang bersedia untuk perjalanan harian, malah mampu memenuhi impian penunggang yang ingin meneroka destinasi baharu di luar jalan berturap.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Menarik di Roda Panas

Thunder Motorcycles Sasar Peminat Bobber Malaysia

Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026 Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...