Honda terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran kenderaan elektrik serantau dengan pelancaran rasmi model Honda e:N1 di Thailand.
Ditawarkan pada harga 1,199,000 Baht (anggaran sekitar RM157,000), SUV elektrik ini merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dari China dan digelar sebagai versi elektrik penuh kepada Honda HR-V.
Kredit Foto : Website bims45.motorshow.in.th
Dimensi dan Saiz Badan
Dari segi dimensi, Honda e:N1 menampilkan ukuran yang hampir setara dengan HR-V petrol generasi terkini, namun sedikit lebih panjang dan rendah.
Ia berukuran panjang 4,390 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,560 mm, dengan jarak antara roda 2,610 mm.
Prestasi dan Jarak Pemanduan
Dikuasakan oleh motor elektrik jenis AC synchronous dengan kuasa maksimum 204 PS dan tork 310 Nm, e:N1 menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 68.8 kWh yang mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 500 kilometer mengikut standard NEDC.
Sistem pacuan roda hadapan ini menyokong pengecasan pantas DC 78 kW (0–80% dalam masa 40 minit) serta pengecasan AC 7 kW.
Ads
Rekaan Luaran Moden dan Elegan
Rekaan luarannya mencerminkan pendekatan moden Honda, dengan lampu LED penuh, gril tertutup, dan rim aloi 18 inci.
Bahagian hadapan juga menempatkan port pengecas dengan paparan status pengecasan.
Terdapat dua pilihan warna ditawarkan iaitu Premium Sunlight White Pearl dan Crystal Black Pearl.
Kredit Foto : Website bims45.motorshow.in.th
Ciri Dalaman dan Teknologi Hiburan
Bahagian dalaman pula diserlahkan dengan paparan sentuh 15.1 inci, pencahayaan ambien biru, serta sistem kawalan pendingin hawa dwi-zon.
Ads
Ia turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta fungsi pengecasan telefon pintar tanpa wayar.
Tempat duduk boleh dilipat dalam konfigurasi Utility atau Long Mode untuk ruang kargo maksimum.
Kredit Foto : Website bims45.motorshow.in.th
Sistem Keselamatan Menyeluruh
Dari aspek keselamatan, e:N1 hadir dengan pakej lengkap Honda SENSING termasuk sistem brek kecemasan, amaran keluar lorong, kawalan kelajuan adaptif, serta kamera undur pelbagai sudut.
Tambahan lagi, ia dilengkapi enam beg udara, sensor parkir, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta ISOFIX untuk keselamatan kanak-kanak.
Ads
Jaminan Komprehensif
Jaminan yang ditawarkan turut mengagumkan – 5 tahun atau 140,000 km untuk kenderaan (termasuk lanjutan), 5 tahun tanpa had batuan untuk sistem motor, dan 10 tahun tanpa had untuk bateri voltan tinggi.
Kredit Foto : Website bims45.motorshow.in.th
Gabungan Teknologi dan Gaya
Pelancaran ini menjadikan Honda e:N1 salah satu pilihan menarik dalam pasaran SUV elektrik ASEAN.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Toyota akhirnya membuka tirai jentera baharu mereka untuk musim Supercars 2026 dengan sebuah Toyota GR Supra V8 yang dijangka bakal mengubah landskap perlumbaan touring paling berprestij di Australia.
Model ini membuat kemunculan rasmi di acara pelancaran Bathurst 1000 di Sydney, mengesahkan desas-desus yang berlegar sejak prototaip tanah liat dipamerkan pada 2024.
Kredit Foto : Website supercars
Toyota GR Supra : Dari Ikon Jalan Raya ke Litar Perlumbaan
Supra bukanlah nama asing dalam dunia jentera prestasi.Model versi perlumbaan ini telah lama bertarung di Jepun melalui siri SUPER GT, tetapi versi khas Supercars yang digelar “Supracar” menandakan kali pertama ia berentap secara rasmi di bawah regulasi Gen3 di Australia.
Lebih menarik, kereta ini dibangunkan dengan asas pacuan belakang tulen, seiring DNA asal Supra.
Kredit Foto : Website supercars
Enjin V8 Baharu yang Disesuaikan dengan Gen3
Mengikut piawaian Gen3, Toyota memilih untuk membekalkan GR Supra Supercar dengan enjin 5.2 liter V8 quad-cam. Toyota GR Supra V8 ini direka khas bagi memastikan ia menepati peraturan kapasiti antara 5.2 hingga 5.7 liter, sekaligus memberi keseimbangan antara kuasa maksimum dan ketahanan untuk perlumbaan jarak jauh.
Ujian awal telah dijalankan di fasiliti Altona, Melbourne dengan Neil Crompton memegang stereng, manakala program ujian penuh seluruh Australia dijadualkan bermula tidak lama lagi. Penonton juga berpeluang melihatnya lebih dekat pada Bathurst 1000 bulan depan.
Kredit Foto : Website supercars
Toyota Gazoo Racing – Visi & Warisan
Menurut Sean Hanley, Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Francais Toyota Australia:
“Hari ini cukup bersejarah untuk Toyota, GR dan juga arena Supercars. Ia adalah hasil bertahun-tahun perancangan serta dedikasi pasukan kami. GR Supra ini akan menjadi tambahan yang sangat mengujakan di atas grid.”
Hanley turut menekankan bahawa penglibatan Toyota dalam perlumbaan adalah sebahagian daripada pembangunan kenderaan jalanan mereka. Sejak penyertaan antarabangsa pertama pada Mobilgas Round Australia Rally 1957, sukan permotoran sentiasa menjadi nadi kepada jenama Toyota.
Kredit Foto : Website supercars
Kerjasama dengan Pasukan Tempatan
Untuk musim debut 2026, Toyota akan bekerjasama dengan dua nama besar Supercars – Walkinshaw Andretti United (WAU) dan Brad Jones Racing (BJR). WAU, yang kini bersama Ford, akan menurunkan dua unit Supra, manakala BJR yang berpindah dari Chevrolet akan mengendalikan empat unit tambahan. Secara keseluruhan, enam buah GR Supra akan menghiasi grid.
Tiga Pengeluar, Pertama Kali Sejak 2019
Dengan kemasukan Toyota, Supercars bakal menyaksikan persaingan tiga pengeluar serentak buat pertama kali sejak 2019, menyertai Ford Mustang dan Chevrolet Camaro. Ini bukan sahaja menambah warna dalam saingan, malah menjanjikan pertempuran yang lebih sengit dan menarik untuk peminat.
Kredit Foto : Website supercars
Menanti Deruman Pertama
Pelancaran Toyota GR Supra V8 Supercars ini jelas memberi isyarat bahawa Toyota serius untuk mencabar dominasi sedia ada. Dari Bathurst hingga ke Adelaide, “Supracar” dijangka menjadi tumpuan bukan sahaja kerana kuasa V8 yang menggema, tetapi juga kerana ia membawa kembali semangat legenda Supra ke gelanggang perlumbaan paling ikonik Australia.
Pengembara tempatan, Jack Voon Kuet Fei nekad untuk memulakan misi keliling dunia secara solo dengan sebuah Perodua Kenari yang berusia 20 tahun. Menyimpan impian ini sejak kecil, Jack memulakan perjalanan epiknya di Bandar Kuantan pada Rabu kelmarin.
“Misi solo ini telah menjadi fokus saya selama lima tahun ini,” kata Jack, yang merupakan anak kelahiran Sarawak. “Saat kecil, saya selalu membayangkan betapa luasnya dunia ini, tapi pengetahuan tentang negara-negara luar hanya saya dapat melalui TV, majalah, dan surat kabar. Dari situlah muncul keinginan untuk mengelilingi dunia, tapi saya sedar bahawa ini sesuatu yang mencabar.”
Upacara pelepasan diuruskan oleh Persatuan Eksplorasi dan Kembara Malaysia bersama Persatuan Perdagangan dan Pelaburan Guanxi Pahang turut di iringi oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man.
Jack bergambar di Menara 188 Kuantan, Pahang pada Rabu – 1 Mei
Cabaran Sebelum Pengembaraan
Jack mengakui, dia hampir menyerah diri untuk mewujudkan impian itu kerana kesibukan kerja. “Ketika saya memasuki usia 40-an, saya merasa ‘patah hati’ kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan. Jadi saya fikir, saya harus merealisasikan apa yang selama ini saya impikan, iaitu keluar dan melihat dunia serta mengenali lebih banyak budaya di negara lain.
“Sejak dari itu, saya mula menabung dan selama empat tahun, saya hanya fokus bekerja tanpa menghabiskan waktu bersama rakan-rakan.”
Mengenai pilihan jenteranya, pengembara ini menjelaskan Perodua Kenari dipilih kerana faktor ekonomi dan keselamatan. “Kenderaan ini sudah disiapkan dengan sempurna, termasuk pemulihan enjin, cat baharu, dan dilengkapi dengan beberapa peralatan ‘survival’ seperti panel solar dan bateri tambahan.
Bahagian dalaman Perodua Kenari Pengembara Jack yang akan melalui 100 buah negara
Bagi saya, kenderaan ini adalah pilihan yang paling sesuai. Sebabnya, risiko lebih rendah jika dibandingkan dengan kereta 4×4 atau modifikasi yang ketara apabila memasuki negara lain.”
Perjalanan ini dirancang untuk merangkumi jarak sekitar 200,000 kilometer, melintasi lebih dari 100 negara, dan dianggarkan akan mengambil masa hingga tiga tahun. “Jika semuanya berjalan lancar, saya harap dapat kembali ke tanah air pada Mei 2027,” ulas Jack.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, telah mengumumkan bahawa pertimbangan mengenai subsidi bersasar, yang sedang dibincangkan di peringkat kerajaan, akan menjurus kepada bantuan dalam bentuk pindahan tunai bulanan.
Menurut Rafizi, inisiatif ini merupakan sesuatu yang baru dan belum pernah ditawarkan kepada rakyat sebelum ini. Beliau menyatakan bahawa cadangan ini sedang dibincangkan di peringkat kerajaan dan akan diputuskan tidak lama lagi.
“Inisiatif yang sedang dibincangkan adalah mengenai bantuan pindahan tunai secara bulanan. Sebelum ini, bantuan diberikan dalam bentuk tiga atau empat bulan sekali, melalui e-wallet dan lain-lain. Melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kita ingin melakukan reformasi dalam bantuan sosial rakyat untuk jangka masa yang lebih panjang,” kata Rafizi semasa Sesi Townhall Bersama Menteri Ekonomi Berkenaan PADU di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Sabtu.
Kredit Foto: Sabah Post
Rafizi juga menekankan bahawa kerajaan tidak boleh menunda tarikh pendaftaran PADU kerana perlu mematuhi jadual piawaian yang telah ditetapkan. Beliau juga berkongsi bahawa kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar ditangguhkan adalah sekurang-kurangnya RM2 bilion sebulan.
“Kos ini sangat tinggi dan sepatutnya lebih baik jika RM2 bilion itu disalurkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan dalam Belanjawan 2024 bahawa kita akan melakukan penstrukturan semula subsidi pukal ke arah subsidi bersasar. Jika kita terus menunda pelaksanaan ini, ia bermakna kita akan terus menolak garis masa ke belakang,” jelasnya.
Rafizi juga menegaskan bahawa tumpuan kerajaan bukan sekadar menjaga harga barang, tetapi juga menangani kos sara hidup dengan meningkatkan pendapatan bulanan isi keluarga.
Kredit Foto: Sinar Harian
“Kita sedang cuba muktamadkan kenaikan gaji untuk penjawat awam dan mengenalkan Dasar Gaji Progresif bagi sektor swasta untuk meningkatkan pendapatan. Bagi keluarga yang masih memerlukan bantuan walaupun gaji telah naik, kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberikan bantuan tambahan melalui pindahan tunai bulanan sebanyak RM300 atau RM400, bergantung kepada keadaan,” tambah Rafizi.
Inisiatif ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan bagi keluarga yang memerlukan dan memberi sokongan yang lebih tepat kepada golongan yang memerlukan bantuan sosial.
YZR-M1 V4 Muncul Buat Kali Pertama di San Marino GP
Yamaha Motor Co., Ltd. melakar sejarah baharu apabila memperkenalkan jentera prototaip YZR-M1 dengan enjin V4...