
GWM Malaysia terus memperkukuhkan kehadirannya dalam pasaran tempatan dengan memperkenalkan dua model baharu yang bakal melengkapkan portfolio kenderaan elektrifikasi mereka, iaitu ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV, sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.
Kedua-dua model ini dipamerkan sebagai sebahagian daripada tema utama GWM di KLIMS tahun ini, “For Every User, For Every Journey”, yang menggambarkan komitmen jenama tersebut dalam menawarkan penyelesaian mobiliti yang sesuai untuk pelbagai gaya hidup dan keperluan pengguna Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia, Cui Anqi, landskap mobiliti negara kini semakin pelbagai dengan pengguna membuat pilihan berdasarkan gaya hidup, keutamaan peribadi dan tujuan penggunaan kenderaan.
“ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV mewakili hala tuju baharu bagi portfolio GWM di Malaysia, sekali gus memperkukuhkan kedudukan setiap jenama dalam ekosistem ONE GWM yang semakin berkembang,” katanya.
Menjadi tumpuan utama di ruang pameran GWM ialah ORA 5 HEV, sebuah crossover kompak hibrid yang direka khusus untuk pengguna di kawasan bandar.
Model ini menggunakan sistem hibrid generasi baharu Hi2, yang dibangunkan untuk menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api. Sistem tersebut menghasilkan kuasa maksimum 223 PS dan tork 476 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa hanya 7.7 saat.
Lebih menarik, penggunaan bahan api yang direkodkan hanyalah 4.4 liter bagi setiap 100 kilometer, manakala jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100 kilometer, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
Dari segi dimensi, ORA 5 HEV berukuran 4,471 mm panjang dengan jarak roda 2,720 mm, menawarkan ruang kabin yang luas tanpa mengorbankan kelincahan yang diperlukan dalam persekitaran bandar.
Reka bentuknya turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai “Design of the Year” pada London Design Awards 2025, sekali gus menjadi model produksi pertama di dunia menerima anugerah tersebut.
Selain itu, ORA 5 turut mencatat nama dalam Guinness World Records™ selepas merekodkan penggunaan bahan api terendah bagi SUV hibrid produksi dalam cabaran pemanduan sejauh 3,004 kilometer di China.
Dengan elemen reka bentuk seperti lampu hadapan berbentuk titisan air, lampu belakang tersembunyi dan rim aerodinamik berinspirasikan kelopak bunga, ORA 5 HEV menyasarkan golongan profesional muda, pasangan serta pengguna bandar yang mahukan sebuah SUV kompak yang lebih bergaya dan berkarakter.
Turut membuat penampilan sulung ialah HAVAL H7 Hi4 PHEV, sebuah SUV plug-in hybrid yang menggabungkan karakter lasak SUV off-road dengan teknologi elektrifikasi terkini.
Dikuasakan sistem Hi4 PHEV, model ini menghasilkan sehingga 370 PS dan 750 Nm tork, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.2 saat.
Bateri yang digunakan membolehkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 150 kilometer (CLTC), manakala jarak keseluruhan mencecah lebih 1,000 kilometer.
Dari segi saiz, HAVAL H7 tampil dengan rekaan SUV berkotak yang lebih garang dengan panjang 4,800 mm serta lebar 1,950 mm. Reka bentuk gril hadapan yang besar, lampu utama berbentuk segi empat dan lampu belakang berinspirasikan kristal menyerlahkan imej premium serta lasak.
Bukan sekadar tampil menarik, H7 turut dilengkapi pelbagai ciri yang meningkatkan kemampuan off-road termasuk sudut pendekatan 25 darjah, sudut pelepasan 32 darjah, kedalaman redah air sehingga 580 mm serta sistem kunci diferensial belakang elektronik.
Gabungan teknologi hibrid, prestasi tinggi dan kemampuan merentasi pelbagai permukaan menjadikan HAVAL H7 Hi4 PHEV sebagai pilihan menarik untuk keluarga aktif serta penggemar aktiviti luar yang tidak mahu berkompromi dari segi keselesaan harian.
Selain dua model baharu tersebut, GWM Malaysia turut mempamerkan keseluruhan rangkaian produknya di KLIMS 2026 termasuk HAVAL H6 HEV, WEY G9 Hi4 PHEV, TANK 300 HEV, TANK 500 HEV serta ORA GOOD CAT EV.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah
, berkata ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV bukan sekadar model baharu, tetapi turut mencerminkan hala tuju syarikat dalam membina ekosistem mobiliti yang lebih menyeluruh untuk pasaran Malaysia.Sepanjang KLIMS 2026, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk sesi pandu uji, pameran teknologi, permainan, cabutan bertuah serta tawaran tempahan eksklusif.
Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keupayaan SUV TANK, GWM turut menyediakan laluan halangan khas dari 12 hingga 14 Jun yang membolehkan pengunjung menguji kemampuan sistem pacuan empat roda dan teknologi off-road yang ditawarkan.
KLIMS 2026 berlangsung di MITEC Kuala Lumpur bermula 12 hingga 21 Jun 2026 dan menjadi platform penting bagi GWM mempamerkan visi masa depan mobiliti yang lebih pintar, cekap dan sesuai untuk setiap perjalanan rakyat Malaysia.
Baca Juga : GWM Malaysia Perhebat Operasi Dengan Pengukuhan Struktur Pengurusan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.