Pusingan pertama Vios Challenge 2025 di Sepang baru saja tamat, dan kalau ada satu cerita besar yang tak boleh kita abaikan. Memang jelas, pelumba muda sekarang makin ‘buas’, menggugat dominasi otai-otai berpengalaman!
Sebanyak 36 pelumba dari Malaysia, Thailand dan Singapura berentap dalam tiga kelas berbeza. Super Sporting (pro), Sporting (amatur), dan Rookie (bakat muda bawah program Toyota GAZOO Racing Malaysia). Tapi, mata semua lebih tertumpu pada kebangkitan ‘budak-budak baru’ yang menyerlah.
Sporting Class – ‘Young Guns’ Tawan Litar
Dalam Race 2 Sporting Class, permulaan memberangsangkan dari Dato’ Ken Foo, hero Kulim Topwheels, berjaya lead dari petak pertama. Tapi sayangnya, ‘kisah dongeng’ Foo hanya bertahan 3 lap saja sebelum diserang bertubi-tubi oleh sekumpulan pelumba muda.
Antaranya Elson Lew (BAE Racing by ES Yang). Brandon Ho (Axle Sports). Mika Hakimi (S&D Tama Motorsports). Adam Mikail (G-Mart Motorsport), dan Raja Amirul Syauqat (TD Racing).
Lap ketiga, Brandon Ho berjaya potong Foo, tapi nasib tak menyebelahi dia lama sebab terlibat dalam drama lima kereta. Menyebabkan dia jatuh ke tengah-tengah kelompok.
Foo sempat ambil semula kedudukan sekejap, tapi bila masuk lap kelapan, Elson Lew dan Taj Izrin Aiman datang memintas macam roket!
Akhirnya, Lew kekal steady sampai ke garisan penamat untuk menang, cuma 1.9 saat di depan Taj Izrin. Monai dari Thailand pula dapat rezeki podium ketiga selepas Brandon Ho dikenakan penalti selepas perlumbaan.
“Saya cuma fokus jaga konsistensi dan tunggu lawan buat silap,” kata Lew dengan senyuman puas.
Bagi Taj Izrin, ini permulaan yang luar biasa. Dua podium terus dalam debutnya di perlumbaan satu model kereta!
Ads
“Saya agak gugup masa mula-mula, tapi saya pesan kat diri sendiri — ada 20 lap nak kejar balik. Alhamdulillah, menjadi,” kata Taj Izrin.
Super Sporting Class – Mitchell Cheah Buktikan Masih Berbisa
Dalam kelas pro pula, persaingan tak kurang panas. Mitchell Cheah dari Prima Pearl TD Racing, bekas juara Super Sporting, bangkit penuh bergaya untuk menang Race 2. Dia berjaya tewaskan Nabil Azlan (Wheelcorp) di tempat kedua. Manakala Eddie Lew (Laser Motor Racing) bawa pulang tempat ketiga.
Skrip di Super Sporting hampir sama macam di Sporting Class. Otai-otai yang pegang awal perlumbaan akhirnya terpaksa akur dengan tekanan anak-anak muda. Dua kali perlumbaan digantung (Full Course Yellow), Cheah dan Nabil ambil peluang keemasan untuk potong veteran di depan.
“Kami laju masa latihan dan kelayakan, tapi Race 1 saya ada masalah teknikal,” cerita Cheah. “Race 2 kami dah perbaiki, dari petak kelapan panjat sampai menang. Tapi masih panjang lagi musim ni, saya kena terus konsisten.”
Ads
Rookie Class – Ian James Tak Bagi Peluang
Dalam kelas Rookie, Ian James, bekas pelumba simulator, buat semua orang kagum bila dia ‘leading’ dari mula sampai habis, menang dengan jarak lebih 13 saat! Aydan Khaliq (18 tahun) kekal konsisten di tempat kedua. Manakala Genevieve Ooi satu-satunya gadis dalam kelas ni, bangkit semula untuk dapat podium ketiga selepas prestasi kurang memberangsangkan di Race 1.
“Saya cuma fokus untuk kekal konsisten dan jaga kereta sampai ke garisan penamat,” kata Ian, yang berusia 22 tahun.
Bagi Genevieve pula, hasil Race 2 ni sangat bermakna, membuktikan dia bukan sekadar pelengkap grid.
“Saya tekad nak pandu bersih dari mula sampai habis. Nasib baik saya dapat elak drama depan mata dan manfaatkan peluang,” katanya ceria.
Samsung Electronics Co., Ltd. mengumumkan peluasan kerjasama strategik dengan Toyota Motor untuk terus memacu transformasi digital di pusat jualan kenderaan mereka. Langkah ini hadir selepas kejayaan projek besar-besaran yang telah melibatkan lebih 1,250 pengedar Toyota di 40 negara Eropah, selesai pada awal tahun 2025.
Transformasi Digital Pengalaman Pelanggan
Era di mana pembeli kereta semakin banyak bergerak antara carian atas talian dan kunjungan fizikal, kerjasama ini bertujuan menyatukan perjalanan pelanggan secara lebih lancar. Toyota kini menggunakan teknologi Samsung Smart Signage untuk mengubah pusat jualan tradisional menjadi ruang interaktif dengan suasana digital moden.
Menurut Hoon Chung, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pasukan Perniagaan Enterprise, Visual Display (VD) Business Samsung Electronics:
“Trend digitalisasi pusat jualan automotif semakin pesat. Melalui kerjasama ini, kami komited untuk memberikan penyelesaian inovatif yang memperkayakan pengalaman pembelian kenderaan pelanggan Toyota di seluruh dunia.”
23,000 Paparan Digital Dipasang
Setakat ini, Samsung telah memasang lebih 23,000 unit Smart Signage di rangkaian pengedar Toyota di Eropah, Timur Tengah dan Negara-Negara Komanwel (CIS). Ia merupakan salah satu projek paparan komersial terbesar pernah dilaksanakan Samsung.
Antara produk yang dipasang termasuk skrin sentuh interaktif dan paparan LED dalaman di pelbagai lokasi strategik seperti kaunter penerimaan tetamu, ruang konsultasi, zon pameran kenderaan dan juga ruang rehat pelanggan. Barisan produk seperti QMC Series dengan resolusi 4K UHD, panel tanpa silau dan pensijilan EPEAT Silver memberi bukan sahaja kualiti visual terbaik, malah juga prestasi mesra alam.
Pelanggan kini boleh meneliti model, membandingkan spesifikasi serta meneroka tawaran semasa secara langsung melalui skrin digital ini. Antara ciri yang menonjol ialah keupayaan sentuhan masa nyata yang membolehkan pengunjung membina konfigurasi kenderaan idaman mereka dengan lebih pantas dan efisien.
Pengurusan Jarak Jauh Dengan Tahap Keselamatan Tinggi
Setiap paparan digital Toyota ini dikawal melalui sistem MagicINFO™, iaitu platform pengurusan peranti jarak jauh all-in-one milik Samsung. Dengan papan pemuka berpusat, pasukan Toyota boleh memantau prestasi skrin, menyelesaikan masalah serta mengawal operasi tanpa perlu ke lokasi fizikal.
Lebih penting, MagicINFO hadir dengan piawaian keselamatan antarabangsa seperti ISO/IEC 27001:2022 dan ISO/IEC 27701:2019 yang diperakui oleh British Standards Institution (BSI), memastikan pengurusan data pelanggan dan operasi digital adalah selamat serta berfokus kepada privasi.
Dirk Christiaens, Pengurus Transformasi Perniagaan dan Pengalaman Jenama Toyota Motor Eropah menambah:
“Samsung Smart Signage benar-benar menambah nilai pada setiap tahap perjalanan pelanggan. Dengan MagicINFO, kami boleh berkomunikasi secara konsisten dan interaktif, sekaligus meningkatkan keterlibatan pelanggan.”
Samsung Kukuhkan Dominasi Pasaran Global
Mengikut laporan terkini Omdia, pasaran global paparan digital dijangka mencecah USD 12.6 bilion menjelang 2029. Samsung sendiri mencatatkan rekod 38.8% penguasaan pasaran paparan komersial global pada S2 2025, mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dunia selama 17 tahun berturut-turut.
Dengan interaksi lebih pintar, visual lebih menarik serta sokongan pengurusan jarak jauh yang selamat, pelanggan kini menikmati pengalaman pembelian kereta yang lebih peribadi, moden dan lancar.
SUV elektrik hibrid yang dinantikan ramai, GWM HAVAL H6 HEV, kini secara rasminya dibuka untuk tempahan di Malaysia.
GWM Malaysia akan memperkenalkan varian Ultra yang berciri premium untuk pasaran tempatan dengan anggaran harga kurang daripada RM145,000 (OTR) tanpa insurans.
Model baharu ini menawarkan pilihan yang lebih mewah kepada pengguna dalam kategori SUV segmen-C.
Tawaran Eksklusif
Pelanggan yang membuat tempahan awal untuk GWM HAVAL H6 HEV sebelum pelancaran rasmi akan menikmati ganjaran hebat, termasuk:
– Nilai eksklusif RM3,000 dengan yuran tempahan RM1,000*.
– Waranti enjin selama 10 tahun atau 1,000,000 km** (mana-mana yang terdahulu).
– Waranti sistem HEV selama 8 tahun atau 1,000,000 km**, termasuk ‘Dedicated Hybrid Transmission’ (DHT), Bateri Voltan Tinggi, Kabel, serta Unit Kawalan Transmisi.
Ganjaran ini terhad kepada pemilik pertama dengan pendaftaran persendirian sahaja.
Rekod Jualan
Sebagai ‘Jenama SUV Terlaris di China’ selama 12 tahun berturut-turut, SUV berorientasikan keluarga dan bersaiz sederhana ini telah mencatatkan rekod jualan global yang unggul sebanyak 4 juta unit.
GWM HAVAL H6 HEV dikuasakan oleh teknologi DHT terkini yang menggabungkan kuasa petrol dan elektrik yang efisien, menjadikannya pilihan yang tepat dan mesra alam berbanding kenderaan konvensional.
Tahap Kecanggihan
SUV ini juga menawarkan penjimatan bahan api yang efisien, serta merupakan pilihan ideal untuk pemanduan seisi keluarga dengan ciri-ciri seperti ruang kaki belakang yang luas, but berkapasiti besar, dan tempat duduk berventilasi yang memberikan keselesaan maksimum kepada pemandu dan penumpang hadapan.
Dilengkapi dengan sistem L2 ADAS, GWM HAVAL H6 HEV meningkatkan keyakinan dan mutu pengalaman pemanduan. Sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) pertama daripada GWM Malaysia. SUV ini diyakini mampu menjadi pilihan terbaik dalam segmen-C untuk keluarga di Malaysia.
GWM HAVAL H6 HEV kini telah tersedia di bilik-bilik pameran GWM seluruh negara. “GWM sentiasa komited untuk memperkenalkan pelbagai kenderaan inovatif dan diiktiraf mengikut keperluan dan permintaan tempatan,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia. “Model ini bakal menjadi pilihan SUV yang unggul dalam kalangan rakyat Malaysia dengan ciri-cirinya yang praktikal dan berteknologi tinggi.”
Road Show Terhampir
Sepanjang bulan September ini, GWM Malaysia akan mengadakan lima acara ‘roadshow’ di pusat membeli-belah terpilih di seluruh negara untuk mempamerkan GWM HAVAL H6 HEV:
Tarikh & Lokasi Roadshow:
– 2 – 8 September 2024: Aeon Seremban 2, Seremban
– 18 – 22 September 2024: Toppen Shopping Centre, Johor
– 18 – 22 September 2024: Gurney Plaza, Penang
– 20 – 22 September 2024: Vivacity Megamall, Sarawak
– 24 – 29 September 2024: Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur
Sepanjang acara ini, orang ramai berpeluang meneroka reka bentuk dan ciri-ciri praktikal SUV ini. Para pembeli yang berminat boleh merebut peluang untuk menempah GWM HAVAL H6 HEV dan menikmati segala faedah eksklusif yang ditawarkan semasa tempoh pra-pelancaran.
Layari [GWM Malaysia](https://www.gwm.com.my/) hari ini untuk mengetahui pengedar sah GWM yang berdekatan dengan anda.
Suzuki Malaysia Sdn. Bhd., dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 bertempat di Dataran Ilmu, Stadium Selayang.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, disertai tetamu kehormat lain.
Bertemakan “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah,” ini merupakan kali kedua kempen dianjurkan oleh Suzuki Malaysia dan kali kelapan oleh AFY Mobility Industries (AMI). Fokus utama adalah meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal, pemandu kenderaan, serta masyarakat secara keseluruhan.
Kemalangan Jalan Raya – Statistik Membimbangkan
Dalam ucapannya, Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah menekankan isu serius berkaitan statistik kemalangan jalan raya. Beliau menyatakan, sehingga November 2024, sebanyak 5,939 kematian direkodkan daripada 585,729 kes kemalangan.
Lebih mengejutkan, 67% atau 4,014 kematian melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal. Kebanyakan mangsa adalah belia berusia antara 16 hingga 35 tahun. Ini menjadikan kumpulan ini paling terkesan akibat tragedi di jalan raya.
Beliau juga menekankan kepentingan memiliki lesen memandu yang sah sebagai langkah asas keselamatan. “Memiliki lesen yang sah bukan sekadar keperluan undang-undang, tetapi asas utama untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” tegas beliau.
Aktiviti Kempen yang Menarik
Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan bermaklumat kepada orang ramai. Antaranya:
Pemeriksaan motosikal percuma dengan ‘16-point check’ oleh mekanik Suzuki.
Penukaran 400 unit topi keledar baharu untuk penunggang motosikal.
Pengagihan topi keledar kanak-kanak, simbol usaha melindungi penumpang muda.
Pameran motosikal serta aksesori keselamatan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia, Yang Berbahagia En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, menegaskan komitmen Suzuki Malaysia untuk terus menyokong inisiatif keselamatan jalan raya demi kesejahteraan masyarakat.
Simbolik Perasmian Kempen
Majlis gimik perasmian dilengkapkan dengan pukulan gong oleh Datuk Haji Hasbi, disertai Encik Yap Kiew San, Pengerusi MMSDA, serta En. Ahmad Faez. Langkah ini menjadi simbolik komitmen padu semua pihak terhadap kempen yang dijalankan.
Harapan Menuju Jalan Raya Lebih Selamat
Kempen ini bukan sahaja menyediakan aktiviti mendidik, malah diharap dapat menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan jalan raya. Dengan kolaborasi pelbagai pihak, usaha seperti ini penting untuk membentuk budaya jalan raya yang lebih bertanggungjawab dan selamat di Malaysia.
Langkah keselamatan bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi satu usaha bersama. Marilah kita “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah” demi masa depan yang lebih cerah dan selamat.
Yamaha Y15ZR 2025 Tampil Dengan Tiga Warna Baharu Harga - RM8,998
Yamaha Motor (Malaysia) mengumumkan kemas kini terbaharu bagi model popularnya, Yamaha Y15ZR, yang kini...