Automotif

Ford Ranger Platinum & Sport Baharu Rasmi Dilancarkan, Harga Bermula RM145,888

Share

Ford Ranger Platinum Kini Lebih Mewah, Ranger Sport Lebih Bergaya

Sime Darby Auto ConneXion-Ford memperluaskan pilihan rangkaian Ford Ranger di Malaysia menerusi pengenalan Ranger Platinum dan Ranger Sport baharu, masing-masing menyasarkan pengguna yang mahukan sebuah trak pikap yang tampak mewah.

Ranger Platinum kini menjadi pilihan utama dalam rangkaian trak pikap Ford, manakala Ranger Sport ditawarkan sebagai model lebih versatil untuk kegunaan harian, dan juga sebagai sebuah kenderaan untuk keluarga serta untuk aktiviti hujung minggu.

Ranger Platinum Kini Dengan Enjin V6

Tarikan utama Ford Ranger Platinum baharu ialah penggunaan enjin diesel turbo V6 3.0 liter yang menghasilkan 250 PS pada 3250 rpm

dan tork maksimum 600 Nm pada 1,750 rpm.

Kuasa enjin pula disalurkan melalui transmisi automatik 10 kelajuan, sekali gus menawarkan lebih prestasi untuk perjalanan jarak jauh atau melalui laluan mencabar seperti “offroad”.

Dari sudut penampilan, varian ini menerima gril eksklusif Platinum, rim aloi bersaiz 20 inci serta Flexible Rack System yang membolehkan pengguna menguruskan muatan dengan lebih mudah.

Ford turut memperkenalkan warna Acacia Green yang memberikan identiti lebih eksklusif kepada model berkenaan. Pilihan warna lain yang ditawarkan ialah Meteor Grey dan Absolute Black.

Kabin Ford Ranger Lebih Mewah

Bahagian kabin Ranger Platinum menerima tempat duduk balutan kulit dengan corak berjahit serta logo khas Platinum.

Tempat duduk hadapan turut dilengkapi fungsi pemanas dan pengudaraan, manakala sistem audio Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara disediakan bagi meningkatkan keselesaan sepanjang perjalanan.

Kelengkapan lain termasuk skrin infotainmen bersaiz 12 inci, panel meter digital 12.4 inci, pengecasan tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Ford Ranger Platinum 3.0L V6 ditawarkan pada harga RM205,888 atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia.

Ford Ranger Sport Tawar 2 Pilihan Enjin

Bagi pengguna yang mahukan penampilan lebih sporty pada harga lebih rendah, Ford menawarkan Ranger Sport dalam dua pilihan enjin.

Ranger Sport 3.0L menggunakan enjin diesel turbo V6 bersama sistem pacuan empat roda sepenuh masa. Ranger Sport 2.0L pula menggunakan enjin diesel turbo empat silinder bersama sistem pacuan empat roda separuh masa.

Kedua-duanya menggunakan transmisi automatik 10 kelajuan.

Ranger Sport turut tampil dengan gril berwarna hitam, kemasan badan lebih agresif dan rim aloi 18 inci. Bahagian kabin menerima tempat duduk dua tona serta panel meter digital bagi memberikan suasana lebih moden.

Pilihan warna untuk Ranger Sport merangkumi Absolute Black, Lightning Blue, Meteor Grey dan Arctic White bagi versi 2.0L. Warna Command Grey pula ditawarkan khusus untuk varian 3.0L.

Harga Rasmi Ford Ranger

Ford Ranger Sport 2.0L ditawarkan pada harga RM145,888, manakala Ranger Sport 3.0L berharga RM159,888 atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia.

Sebagai promosi pelancaran sehingga 31 Ogos 2026, pembelian Ranger Sport 2.0L disertakan kamera papan pemuka Ford HD1080p. Pelanggan Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L pula menerima Pelan Servis Lanjutan Asas selama dua tahun.

Rangkaian Ford Ranger baharu kini boleh ditempah menerusi 33 pusat jualan dan servis Ford di seluruh negara.

Baca Juga : Cara Penjagaan Bateri Kereta Supaya Tahan Lebih Lama

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi