Automotif

Penggunaan “Dummy Buckle” dan Kesannya Terhadap Keselamatan Pengguna Kenderaan

Share

Dummy Buckle Semakin Popular, Tetapi Adakah Ia Selamat?

Penggunaan Dummy Buckle semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna kenderaan di Malaysia. Walaupun kelihatan seperti aksesori kecil, penggunaannya sebenarnya mampu memberi implikasi besar terhadap keselamatan pemandu dan penumpang.

Kebanyakan pengguna mengakui aksesori ini digunakan bagi mematikan bunyi amaran tali pinggang keledar tanpa perlu memakai tali pinggang keledar sebenar. Di pasaran, terdapat dua jenis Dummy Buckle yang sering dijual, iaitu jenis klip besi yang hanya berfungsi menyahaktifkan penggera serta jenis penyambung yang membolehkan tali pinggang dipasang pada aksesori tersebut.

Alasan Pengguna Menggunakan Aksesori Ini

Hasil pemantauan pihak berkuasa mendapati kebanyakan individu yang menggunakan Dummy Buckle memilih jenis klip besi kerana lebih murah dan mudah diperoleh. Antara alasan yang sering diberikan ialah bunyi amaran tali pinggang dianggap mengganggu, selain mendakwa tali pinggang keledar mengalami kerosakan.

Ada juga individu memberi alasan hanya menggunakan kenderaan dalam jarak yang dekat seperti, menghantar anak sekolah, pergi ke kedai runcit ataupun ke masjid. Namun demikian soal keselamatan tidak boleh dikompromi dalam situasi ini.

Namun begitu, alasan tersebut tidak mengubah hakikat bahawa penggunaan aksesori ini mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan yang tinggi. Malah, lebih 50 kes berkaitan penggunaan Dummy Buckle telah dikesan oleh pihak berkuasa.

Baca Juga : Polis Itali Guna Lamborghini Huracán Hantar Buah Pinggang Sejauh 700KM

 

Bunyi Amaran Direka Untuk Menyelamatkan Nyawa

Ramai menganggap bunyi amaran tali pinggang keledar sebagai gangguan ketika memandu. Hakikatnya, sistem tersebut dibangunkan sebagai ciri keselamatan bagi mengingatkan pemandu dan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar dengan betul.

Mengabaikan amaran tersebut bukan sahaja meningkatkan risiko kecederaan ketika kemalangan, malah boleh menyebabkan sistem keselamatan kenderaan gagal berfungsi.

Penggunaan Dummy Buckle Boleh Menjejaskan Sistem Keselamatan

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), penggunaan Dummy Buckle boleh mengganggu operasi beberapa sistem keselamatan penting dalam sesebuah kenderaan.

Antara komponen yang berpotensi terjejas ialah sistem beg udara (airbag), yang bergantung kepada maklumat daripada penderia tali pinggang keledar bagi menentukan tahap dan masa pengembangannya ketika berlaku pelanggaran.

Apabila Dummy Buckle dipasang tanpa tali pinggang dipakai, sistem mungkin mengesan seolah-olah pengguna telah memakai tali pinggang dengan sempurna. Keadaan ini boleh menyebabkan beg udara mengembang pada mod yang tidak sesuai atau gagal memberikan perlindungan optimum semasa kemalangan.

Ujian Perlanggaran Membuktikan Kelemahannya

MIROS PC3 Melaka turut menjalankan ujian perlanggaran menggunakan aksesori tersebut. Hasil ujian menunjukkan Dummy Buckle tercabut ketika impak walaupun pada kelajuan sekitar 64 km/j.

Jika aksesori itu gagal bertahan pada kelajuan ujian standard, risiko yang dihadapi sudah tentu lebih tinggi sekiranya kemalangan berlaku pada kelajuan yang lebih tinggi di jalan raya.

Situasi ini membuktikan bahawa Dummy Buckle bukanlah pengganti kepada tali pinggang keledar sebenar dan tidak direka untuk menahan daya hentaman ketika kemalangan.

Dummy Buckle Murah Dibeli, Mahal Harganya

Walaupun aksesori ini boleh diperoleh dengan harga serendah RM2, nilai tersebut tidak setimpal dengan risiko yang bakal ditanggung.

Ironinya, pengguna sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membeli kenderaan yang dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan moden, namun memilih untuk memintas salah satu sistem keselamatan paling asas hanya kerana mahu mengelakkan bunyi amaran.

Keputusan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut meningkatkan risiko kepada penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Keselamatan Tidak Wajar Dikompromi

Penggunaan Dummy Buckle bukan sekadar melanggar peraturan jalan raya, malah boleh mengurangkan keberkesanan sistem keselamatan yang direka untuk menyelamatkan nyawa.

Pihak berkuasa bersama MIROS terus menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan aksesori ini dalam apa jua keadaan.

Memakai tali pinggang keledar dengan betul hanya mengambil masa beberapa saat, namun tindakan tersebut mampu menjadi faktor yang membezakan antara kecederaan ringan dan kehilangan nyawa ketika berlaku kemalangan.

Keselamatan di jalan raya bermula daripada sikap setiap pengguna. Jangan biarkan aksesori bernilai beberapa ringgit menjadi punca penyesalan sepanjang hayat.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Anda Juga Mungkin Berminat Dengan Artikel Ini :Suzuki Fronx dan Jimny Kini Ditawarkan Melalui Langganan FLUX

Related Post
Published by
Izzat Danial A Shabri