Automotif

Kia PV7 Tampil Sebagai PBV Elektrik Baharu!

Share

Kia PV7 Tampil Sebagai PBV Elektrik Baharu, Tawar Jarak Sehingga 480 KM

Kia terus memperluaskan strategi kenderaan elektriknya dengan memperkenalkan Kia PV7, model kedua dalam rangkaian khusus Platform Beyond Vehicle atau PBV selepas PV5.

Diperkenalkan di IAA Transportation 2026 di Hannover, Jerman, PV7 dibangunkan sebagai kenderaan elektrik serba guna yang bukan sahaja menyasarkan kegunaan penumpang, malah sektor komersial seperti penghantaran, logistik, perkhidmatan shuttle dan pengurusan fleet.

Berbanding PV5, Kia PV7 membawa dimensi lebih besar dengan penekanan terhadap kapasiti, fleksibiliti serta keupayaan membawa muatan yang lebih tinggi. Ia ditawarkan dalam dua konfigurasi utama iaitu PV7 Passenger dan PV7 Cargo.

Dibina Atas Platform E-GMP.S

Kia PV7 menggunakan seni bina E-GMP.S yang dibangunkan khusus untuk rangkaian PBV Kia. Platform ini membolehkan Kia menghasilkan pelbagai konfigurasi badan, sistem pemacu serta model conversion mengikut keperluan pengguna. Pendekatan tersebut turut digabungkan dengan konsep Flexible Body System, sekali gus membolehkan PV7 diadaptasi untuk pelbagai kegunaan komersial.

Dari segi dimensi, PV7 mempunyai panjang sekitar 5,350 mm

, lebar 1,995 mm dan jarak roda 3,500 mm, menjadikannya sebuah van yang cukup besar untuk kegunaan perniagaan mahupun membawa penumpang.

Dua Pilihan Bateri, Jarak Sehingga 480 KM

Bagi sistem kuasa, Kia menawarkan PV7 dengan pilihan bateri 71.5 kWh atau 96.2 kWh jenis nickel cobalt manganese (NCM). Motor elektriknya mampu menghasilkan kuasa sehingga 200 kW, bersamaan kira-kira 272 PS, bersama tork maksimum 420 Nm yang dihantar ke roda hadapan.

Menurut Kia, varian Long Range Cargo disasarkan mampu mencapai jarak perjalanan melebihi 460 km, manakala versi Passenger pula sehingga sekitar 480 km mengikut kitaran WLTP, bergantung kepada pasaran serta spesifikasi akhir.

Sistem elektrik 800V turut membolehkan pengecasan pantas DC dari 10 hingga 80 peratus dalam lingkungan pertengahan 20 minit menggunakan pengecas sehingga 350 kW.

Menariknya, PV7 turut mempunyai dua port pengecasan bagi memudahkan operasi fleet, termasuk satu port AC/DC di bahagian hadapan serta satu lagi port AC di belakang.

PV7 Cargo Fokus Kepada Kapasiti

Bagi varian Cargo, Kia memberi tumpuan besar terhadap aspek praktikaliti. PV7 Cargo versi Long menawarkan ruang kargo sehingga 6.1 meter padu, sementara varian High Roof meningkatkan angka tersebut kepada sekitar 8.0 meter padu. Kapasiti muatan maksimum pula mencecah sekitar 1,165 kg bagi versi Long dan sehingga 1,200 kg untuk Cargo High Roof.

Kia turut mereka lantai ruang kargo pada ketinggian hanya 550 mm dari permukaan jalan, bertujuan memudahkan proses keluar masuk barangan serta mengurangkan beban fizikal ketika aktiviti loading dan unloading. Pilihan pintu belakang pula merangkumi rekaan twin-swing

atau tailgate jenis lift-up, bergantung kepada keperluan operasi.

Passenger Sehingga Sembilan Tempat Duduk

Versi PV7 Passenger pula dibangunkan untuk kegunaan seperti perkhidmatan shuttle, rental, pelancongan dan kegunaan keluarga.

Ia tersedia dalam konfigurasi 7 tempat duduk dan 9 tempat duduk, dengan barisan tempat duduk yang boleh disusun mengikut keperluan.

Versi tujuh tempat duduk turut menawarkan tempat duduk jenis Long-Rail Easy Remove Seats, membolehkan ruang dalaman diubah dengan lebih fleksibel.

Kelengkapan lain termasuk ruang simpanan, USB-C sehingga 100W serta kawalan pendingin hawa berasingan untuk penumpang belakang.

Kabin Ala ‘Mobile Workspace’

Bahagian dalaman PV7 direka dengan pendekatan yang berbeza antara Cargo dan Passenger. PV7 Cargo menggunakan konsep Mobile Workspace, dengan dashboard dan konsol tengah direka untuk memberikan ruang penyimpanan serta kemudahan kepada pemandu yang kerap keluar masuk kenderaan sepanjang hari.

Sementara itu, PV7 Passenger lebih menekankan aspek keselesaan, ruang kabin terbuka dan suasana ala lounge. Kedua-duanya menggunakan paparan utama 12.9 inci dan 14.6 inci, manakala sistem infotainmen Pleos Connect berasaskan Android Automotive OS menyediakan fungsi navigasi, aplikasi, OTA update dan beberapa connected services.

Kia turut memperkenalkan Gleo AI, sistem pembantu suara berasaskan AI yang membolehkan beberapa fungsi kenderaan, navigasi dan komunikasi dikawal menerusi arahan suara.

Baca Juga: MIAPEX 2026 Kembali 23-25 Oktober Ini!

ADAS Lengkap Untuk Kegunaan Harian

Dari aspek keselamatan, PV7 dilengkapi tujuh beg udara termasuk beg udara penumpang yang dipasang pada bahagian bumbung. Antara sistem bantuan pemanduan yang ditawarkan termasuk Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist 2.0, Navigation-based Smart Cruise Control dan Highway Driving Assist 2.0

.

Turut tersedia ialah Remote Smart Parking Assist, Rear View Monitor dan Surround View Monitor bergantung kepada pasaran serta varian.

Bakal Ditawarkan Mulai 2027

Kia merancang untuk memperkenalkan PV7 Passenger dan Cargo di Korea Selatan serta Eropah pada pertengahan 2027, sebelum diperluaskan ke pasaran lain.

Lebih menarik, pengeluar itu turut merancang sehingga 23 variasi PV7, termasuk Cargo Compact, Long, High Roof, Passenger Compact dan Long serta versi Chassis Cab untuk kegunaan conversion khas.

Dengan PV7, Kia jelas tidak melihat EV sekadar sebagai alternatif kepada kereta penumpang biasa. Model ini menunjukkan bagaimana platform elektrik boleh dibangunkan menjadi sebuah kenderaan yang lebih modular dan berorientasikan perniagaan, khususnya ketika sektor fleet serta last-mile delivery semakin bergerak ke arah elektrifikasi.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Zack Danny