MIAPEX 2026 Kembali Oktober Ini, Gabungkan Industri Automotif, Car Culture dan Peluang Perniagaan
Malaysia International Automotive & Parts Expo (MIAPEX) 2026 bakal kembali untuk edisi keenam pada 23 hingga 25 Oktober 2026 di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines, Seri Kembangan.
Dianjurkan oleh AsiaAuto Venture Sdn Bhd, edisi tahun ini membawa pendekatan lebih luas menerusi konsep “B2B untuk Industri, B2C melalui Pengalaman”, dengan MIAPEX tidak lagi hanya tertumpu kepada pameran alat ganti semata-mata.
Platform Industri dan Peminat Automotif Dalam Satu Acara
Bagi pemain industri, MIAPEX 2026 akan menjadi platform yang menghubungkan pengeluar automotif, pembekal komponen, pengedar, pemilik bengkel, penyedia teknologi, syarikat logistik serta pembeli antarabangsa.
Antara peluang yang ditawarkan termasuk aktiviti mendapatkan sumber produk, business matching, urusan perdagangan, peluang pengedaran serta penerokaan teknologi automotif baharu.
Pada masa sama, acara ini turut dibuka kepada orang ramai menerusi pelbagai aktiviti berorientasikan lifestyle dan car culture, termasuk pameran kereta, pertandingan, jualan produk automotif dan aktiviti keluarga.
Bumper2Bumper Buat Kemunculan Pertama di Malaysia
Antara tarikan utama MIAPEX 2026 ialah Bumper2Bumper International Car Show, yang bakal membuat penampilan pertamanya di Malaysia.
Acara itu akan disertai Asia International Automotive Salon Expo (AIAS 2026) yang menampilkan kereta pameran, projek modifikasi serta elemen gaya hidup automotif.
Turut dijadualkan ialah Malaysia Toy Car Expo yang menghimpunkan Tamiya Mini 4WD, kereta RC, model die-cast dan aktiviti kart untuk kanak-kanak.
Bagi mereka yang mahu menguji kemahiran pula, pertandingan Raja & Ratu Tukar Tayar 2026 kembali membuka cabaran kepada orang ramai untuk mencatat masa terpantas dalam aktiviti menukar tayar.
Pengunjung yang mendaftar juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai sehingga RM20,000, selain jualan produk automotif dengan diskaun sehingga 70 peratus.
Baca Juga: Red Bull KTM Raih Podium MX2 di GP Turkiye!
Penyertaan Antarabangsa Dari Pelbagai Negara
Dari sudut B2B, MIAPEX 2026 dijangka menerima penyertaan industri dari beberapa negara termasuk Jepun, China, Singapura, Thailand, Chinese Taipei, Jerman, Austria dan Indonesia.
Penganjur menyasarkan acara ini sebagai medium yang boleh mempertemukan syarikat tempatan dengan pemain antarabangsa, sekali gus membuka peluang perdagangan dan kerjasama baharu dalam pasaran ASEAN.
Kemudahan business matching turut disediakan bagi membantu pengeluar, pembekal, pengedar dan pembeli industri mengenal pasti rakan perniagaan, peluang pengedaran dan sumber produk baharu secara terus.
Antara teknologi yang bakal diberi perhatian termasuk peralatan diagnostik, penyelesaian bengkel, teknologi kenderaan elektrik (EV) serta inovasi automotif terkini.
Persidangan Logistik dan Program Untuk Bengkel
Berlangsung serentak dengan MIAPEX ialah ASEAN Logistics & Transportation Conference 2026, yang menghimpunkan pengendali logistik, syarikat pengangkutan, pengurus fleet, syarikat teknologi serta pemimpin industri.
Persidangan tersebut merangkumi beberapa segmen termasuk Government Track, Technology Track, Business Track dan Leadership Forum, dengan topik seperti penggunaan Artificial Intelligence (AI), pendigitalan, logistik rentas sempadan ASEAN dan transformasi industri.
Turut berlangsung ialah Asia Automotive Repair Expert (AARE) Convention 2026, yang memberi fokus kepada pemilik bengkel, juruteknik serta pakar pembaikan kenderaan.
Program ini memberi pendedahan mengenai pembaikan EV dan kenderaan hibrid, perkembangan teknologi automotif serta transformasi bengkel bagi menghadapi perubahan industri pada masa hadapan.
Kemasukan Percuma Sepanjang Tiga Hari
MIAPEX 2026 akan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di MIECC, The Mines, Seri Kembangan, Selangor.
Kemasukan kepada orang ramai adalah percuma, dengan pengunjung digalakkan membuat pendaftaran awal sebelum hadir.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!




