Land Rover Defender Trophy Edition: Semangat Kembara Era Camel Trophy Kembali
Land Rover sekali lagi mengangkat warisan kembara ekstremnya menerusi pelancaran Defender Trophy Edition.
Model edisi khas yang memberi penghormatan kepada jentera legenda Camel Trophy ikon kereta 4×4 era 1980-an dan 1990-an.

Inspirasi Retro, Sentuhan Moden
Berasaskan model Defender 110, versi Trophy Edition ini tampil eksklusif dengan pilihan warna ikonik Deep Sandglow Yellow atau Keswick Green.
Model ini tampil menyerlah bersama padanan bonet, bumbung dan lengkung tayar berwarna hitam.
Sentuhan klasik diteruskan ke bahagian dalam dengan kemasan kulit hitam serta panel papan pemuka yang dicat sepadan dengan warna luaran.

Aksesori Off-Road Serba Lengkap
Bagi mereka yang benar-benar serius mengenai “offroad”, Land Rover turut menawarkan Trophy Edition Accessory Pack bernilai £4,995 yang merangkumi:
Rak bumbung gaya ekspedisi
Pannier luar untuk simpanan tambahan
Snorkel udara
Tangga bumbung
Pelapik lumpur
Turut ditawarkan ialah filem pelindung badan dengan kemasan matte untuk meningkatkan ketahanan cat dalam persekitaran lasak.

Tanpa Nama Camel, Tetapi Ruhnya Tetap Hidup
Walaupun tiada sebarang penjenamaan rasmi Camel Trophy pada model ini dipercayai disebabkan sensitiviti terhadap penajaan tembakau Defender Trophy Edition jelas menjiwai roh pengembaraan dan ketahanan yang sinonim dengan perlumbaan tersebut.
Warna kuning khas itu sendiri dipilih sebagai simbol kepada jentera Defender yang digunakan dalam acara-acara “Trophy-style” antarabangsa.

Penampilan Perdana di Goodwood
Defender Trophy Edition dijadual membuat kemunculan umum di Goodwood Festival of Speed dari 10 hingga 13 Julai ini.
Harga permulaan ditetapkan pada £89,810, satu angka yang jauh lebih berpatutan berbanding model Defender klasik Camel Trophy hasil restorasi Land Rover Classic yang pernah dijual pada harga mencecah £195,000 dan habis terjual hanya dalam tempoh tiga hari.
Model edisi khas ini tidak ditawarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dan pelancarannya terhad kepada pasaran terpilih seperti UK dan Eropah.
Namun begitu, peminat Defender tempatan pastinya tetap teruja melihat bagaimana DNA pengembaraan klasik ini diterjemahkan semula dalam bentuk moden.
Baca Juga : Land Rover Range Rover Sport SV Edition One 2024, Gabungan Utiliti dan Kuasa
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.