
CFMOTO Malaysia terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran motosikal tempatan menerusi pembukaan rasmi CFMOTO Flagship Store G.C. Ann Motor Enterprise Sdn. Bhd. di Kuala Selangor.
Pembukaan pusat pameran baharu ini bukan sekadar menambah jumlah rangkaian pengedar CFMOTO di Malaysia, malah menjadi satu lagi langkah penting dalam memperluas akses pelanggan kepada jualan, servis selepas jualan dan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh.
Majlis perasmian tersebut turut disempurnakan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Noorazley Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, bersama barisan pengurusan G.C. Ann Motor Enterprise Sdn. Bhd., CFMOTO Malaysia, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. serta wakil daripada Zhejiang CFMOTO Power Co., Ltd. dari China.
Perjalanan G.C. Ann Motor Enterprise bermula sejak tahun 1999 di Kuala Selangor di bawah kepimpinan Encik Gan Chee Ann.
Daripada sebuah bengkel motosikal kecil yang memberi tumpuan kepada khidmat pembaikan mampu milik untuk komuniti setempat, syarikat ini terus berkembang sehingga menjadi antara nama yang dipercayai dalam industri jualan dan servis motosikal di kawasan berkenaan.
Sepanjang lebih 25 tahun beroperasi, G.C. Ann Motor Enterprise bukan sahaja menawarkan jualan motosikal, malah turut menyediakan kemudahan pembiayaan yang fleksibel, servis penyelenggaraan profesional serta program tukar beli untuk pelanggan.
Hubungan G.C. Ann Motor Enterprise bersama Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. diperkukuh pada tahun 2023, sekali gus membuka ruang kepada fasa baharu perkembangan perniagaan syarikat tersebut.
CFMOTO Flagship Store G.C. Ann Motor Enterprise kini menjadi lokasi keempat CFMOTO Flagship Store di Selangor dan yang ke-11 di Malaysia.
Pembukaan CFMOTO Flagship Store ini menggambarkan komitmen CFMOTO Malaysia dalam memperluas rangkaian pengedar premium jenama ini dan lebih menarik pusat pameran baharu ini menawarkan servis lengkap kepada pelanggan, merangkumi jualan motosikal, khidmat selepas jualan dan sokongan pemilikan dalam satu lokasi.
Bagi jenama seperti CFMOTO yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat motosikal tempatan, kemudahan seperti ini penting untuk memastikan pelanggan bukan sahaja mudah untuk mendapatkan motosikal ini, tetapi turut yakin dengan sokongan selepas jualan.
Untuk rekod, CFMOTO diasaskan pada tahun 1989 dan kini mempunyai rangkaian lebih 3,000 rakan niaga di peringkat global. Jenama ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan motosikal, ATV, UTV, enjin, alat ganti, aksesori serta teknologi kuasa sukan bermotor.
Dengan pendekatan “Experience More Together”, CFMOTO terus meletakkan dirinya sebagai antara jenama powersports global yang semakin berkembang, termasuk dalam pasaran Malaysia.
Baca Juga : CFMOTO 750SR-S Dilancar di Malaysia, Enjin 749cc 4 Silinder
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.