BYD Shenzhen Siap Beroperasi, Dorong Industri Automotif China ke Pasaran Global
Industri automotif China melakar sejarah baru apabila kapal pengangkut kereta terbesar di dunia, BYD Shenzhen, selesai proses undocking pada 15 Januari di Yangzhou, wilayah Jiangsu, China.
Dengan kapasiti luar biasa sebanyak 9,200 kenderaan, kapal ini menjadi simbol inovasi dan keupayaan BYD dalam memperkukuh kedudukannya di pasaran antarabangsa.
Simbol Teknologi Mesra Alam
Proses undocking menandakan kapal tersebut telah selesai pembinaannya dan kini bersedia untuk beroperasi di lautan.
Kapal jenis roll-on/roll-off (ro-ro) ini menawarkan teknologi terkini yang menjadikannya kapal pengangkut automotif paling mesra alam di dunia.
Kapal ini juga dilengkapi kuasa dwi-bahan api LNG dan pek bateri kotak BYD yang inovatif.
Pencapaian Kapal BYD
BYD Shenzhen merupakan kapal keempat dalam BYD, yang sebelumnya terdiri daripada BYD Explorer No.1, BYD Hefei, dan BYD Changzhou.
Setiap kapal membawa keunikan tersendiri, mencerminkan kemajuan BYD dalam sektor automotif dan maritim:
- BYD Explorer No.1 – Kapal pertama dalam armada ini, mula beroperasi pada Januari 2024.
- BYD Hefei – Kapal ro-ro dwi-bahan api dengan kapasiti 7,000 kenderaan, dinamakan sempena bandar Hefei, pusat pengeluaran utama BYD. Kapal ini memulakan pelayaran pada 7 Januari dan menghantar hampir 5,000 kenderaan elektrik baharu (NEV) ke Eropah.
- BYD Changzhou – Kapal kedua yang dimiliki sepenuhnya oleh BYD. Memulakan operasi pada Disember lalu dengan kapasiti 7,000 kenderaan, di mana 5,000 NEV dihantar ke Eropah dalam pelayaran sulungnya.

Kehebatan Spesifikasi BYD Shenzhen
BYD Shenzhen dinamakan sempena bandar pengeluaran utama BYD, menambah keupayaan luar biasa kepada armada ini.
Kapal ini mempunyai panjang keseluruhan 219 meter, lebar 37.7 meter, dan kelajuan reka bentuk 18.5 knot.
Teknologi canggih seperti penjana aci dan sistem bahan api bersih menjadikannya kapal paling mesra alam dalam kategori ini.
Peranan Strategik untuk Pasaran Global
Kemunculan BYD Shenzhen bukan sahaja meningkatkan keupayaan logistik BYD tetapi juga memberikan dorongan kepada jenama automotif China untuk berkembang di peringkat antarabangsa.
Dengan permintaan global terhadap kenderaan elektrik semakin meningkat, kapal ini memainkan peranan penting dalam memastikan penghantaran kenderaan dilakukan dengan cepat dan efisien.
Masa Depan Pengangkutan Automotif
Dengan armada yang semakin berkembang, BYD membuktikan bahawa mereka bukan sahaja pengeluar kenderaan elektrik terkemuka, tetapi juga pelopor dalam memastikan rantaian bekalan global yang mesra alam dan berkesan.
Kapal BYD Shenzhen kini bersedia untuk mengubah landskap logistik automotif global, satu langkah besar ke arah masa depan yang lebih lestari.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca juga : BYD SEAL Performance Day – Pemanduan Dinamik Mobiliti Elektrik
Porsche 911 GT3 Baharu, Harga Bermula RM2.29 Juta

Porsche 911 GT3, Ikon Litar dan Jalan Raya
Porsche Malaysia melalui Sime Darby Auto Performance (SDAP) secara rasmi memperkenalkan model baharu 911 GT3 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, menandakan kehadiran semula ikon jentera berprestasi ini di Malaysia. Pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran Jörg Bergmeister, Duta Jenama Porsche yang juga legenda perlumbaan dunia.
Buat julung kalinya, pasaran tempatan menerima dua versi serentak iaitu 911 GT3 dengan GT Wing serta 911 GT3 dengan Touring Package bagi mereka yang lebih menggemari gaya klasik dan kemasan elegan. Kedua-dua varian boleh dipadankan dengan pakej khas seperti Weissach Package dan Leichtbau Package, memberikan pelanggan ruang luas untuk pengkhususan mengikut cita rasa serta gaya pemanduan masing-masing.
Kuasa NA 4.0 Liter Flat-Six
Jantung utama Porsche 911 GT3 kekal pada enjin 4.0 liter enam silinder naturally aspirated (NA) yang kini menghasilkan 375 kW (510 PS) dengan tork 450 Nm. Sistem ekzos turut direka semula mengikut piawaian pelepasan moden tanpa mengorbankan karakter bunyi ikonik boxer engine.
Dipadankan dengan transmisi PDK 7-kelajuan atau manual GT 6-kelajuan dengan nisbah akhir yang 8% lebih pendek berbanding model sebelumnya, Porsche 911 GT3 mampu memecut 0-100 km/j dalam 3.4 saat (PDK) dengan kelajuan maksimum 311 km/j. Versi manual pula mencatat 3.9 saat dengan kelajuan puncak 313 km/j.
Rekaan Baharu dengan Fokus Aerodinamik
Dari segi visual, Porsche 911 GT3 tampil dengan rekaan hadapan dan belakang yang diperhalusi. Difuser, spoiler lip serta sirip udara di bawah badan membantu menghasilkan daya tekan (downforce) yang lebih stabil. Varian Touring pula mengekalkan garis rekaan klasik tanpa sayap, sebaliknya menggunakan spoiler boleh laras dengan Gurney flap.
Porsche turut memperkenalkan suspensi gandar hadapan double-wishbone dengan lengan teardrop profile yang meningkatkan kestabilan, selain mengurangkan pitching ketika membrek. Inspirasi ini diambil terus daripada 911 GT3 RS.
Fokus Ringan dan Ketepatan Pemanduan
Konsep lightweight design menjadi teras pembangunan model baharu ini. Rim aluminium ringan standard mengurangkan berat tidak berspring sebanyak 1.5 kg, manakala rim magnesium dalam Weissach Package dan Leichtbau Package menjimatkan sehingga 9 kg lagi. Bateri lithium-ion ringan turut membantu menjadikan berat keseluruhan serendah 1,420 kg.
“Suspensi yang lebih harmoni menjadikan kereta ini lebih stabil di atas litar mahupun jalan biasa. Sistem anti-dive baharu juga memberi kestabilan ketika membrek pada kelajuan tinggi,” jelas Jörg Bergmeister.
Porsche 911 GT3 Touring Package: Elegan dengan Sentuhan Praktikal
Touring Package yang kembali sejak 2017 kini tersedia sejak pelancaran. Ia mengetengahkan logo “911 GT3 Touring” pada gril belakang, serta pilihan sistem tempat duduk belakang opsyenal pertama kali dalam sejarah GT3. Bahagian dalaman dibalut kulit dengan suasana sporty klasik, sesuai untuk pemanduan harian mahupun jalan berliku.
Menurut Walter Röhrl, lagenda rali dan duta Porsche, “Nisbah gear lebih pendek dan talaan stereng lebih baik memberi keyakinan tinggi, terutama di jalan kampung yang berliku.”
Kokpit Digital dan Opsyen Litar
Bahagian kabin menampilkan kokpit dua tempat duduk standard dengan rekaan digital terkini, termasuk mod paparan “Track Screen” yang memaparkan hanya data penting seperti tekanan tayar, suhu minyak, serta shift flash pada takometer 9,000 rpm. Pilihan kerusi sports bucket seat CFRP dengan fungsi lipat turut memudahkan akses ke tempat duduk belakang (Touring).
Untuk pemandu litar, Clubsport Package ditawarkan tanpa kos tambahan. Ia termasuk roll cage besi, tali pinggang 6-poin, dan alat pemadam api.
Eksklusif: Jam Kronograf GT3
Pemilik 911 GT3 dan GT3 Touring turut berpeluang memiliki jam chronograph eksklusif hasil rekaan Porsche Design, lengkap dengan pergerakan mekanikal COSC-certified WERK 01.200 serta rotor menyerupai rim GT3. Tali jam pula diperbuat daripada kulit dalaman Porsche sebenar.
Harga Porsche 911 GT3
Porsche 911 GT3 dan 911 GT3 Touring kini boleh didapati di Malaysia pada harga bermula RM2,290,000. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi Pusat Porsche terdekat.
Baca Juga : Porsche 911 Turbo S Baharu, 711 PS, T-Hybrid Twin-Turbo
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Ducati Panigale V4 R 2026 Baharu Dengan 236hp, 205mph & Teknologi MotoGP

Ducati Panigale V4 R 2026 : 236hp, kotak gear ala MotoGP, dan aero jentera perlumbaan
Ducati sekali lagi menggegarkan dunia dengan pengenalan Panigale V4 R 2026. Jika 996R menandakan lahirnya enjin Testastretta 133hp, tetapi kali ini angka kuasa ini melonjak hampir dua kali ganda.
Kuasa Maksimum Lebih 230hp
Enjin Desmosedici Stradale 998cc (dibezakan daripada versi 1,103cc biasa kerana peraturan WSBK) kini menghasilkan:
215hp dalam konfigurasi jalanan dengan ekzos standard Euro 5+
231.8hp (235hp) dengan ekzos titanium Akrapovič trackk-only
235.7hp (239hp) apabila dipadankan dengan minyak pelincir Shell Advance spesifikasi Ducati
Kelajuan maksimum motosikal ini boleh mencecah 205.4mph (330km/j), menjadikannya antara motosikal produksi terpantas pernah dihasilkan.
Peningkatan enjin dan tork
Untuk mencapai kuasa tersebut sambil mengekalkan piawaian Euro 5+:
Inlet baharu dengan penyuntik bahan api bawah throttle
Piston lebih ringan, rod penyambung shot-peened, serta aci sesondol ekzos baharu
Trumpet intake dan sistem ekzos direka semula
Hasilnya: +4hp purata sepanjang rev range, tork meningkat 3% (maksimum 114Nm pada 12,000rpm), dengan lonjakan 7% pada rpm rendah. Crankshaft lebih berat pula membantu traksi, namun mengekalkan kelincahan kerana counter-rotating.
Kotak Gear Spesifikasi Perlumbaan Pertama Di Dunia
Inovasi besar Panigale V4 R 2026 ialah Ducati Racing Gearbox (DRG):
Neutral kini di bawah gear 1, bukan di antara gear 1 dan 2.
Menghapuskan risiko tersalah neutral ketika membrek untuk selekoh gear rendah.
Neutral hanya boleh diakses melalui tuil khas di bar kanan, meniru sistem jentera MotoGP.
Aero Dan Casis Ala MotoGP
Aerodinamik dipertingkat dengan:
‘Corner sidepods’ – menghasilkan kesan ground-effect ketika jentera rebah di selekoh.
Winglet lebih besar – menambah 6kg downforce pada 186mph.
Ram air intake lebih panjang (+70mm), memberi tambahan 1.3hp pada kelajuan tinggi.
Casis pula kini menggunakan double-sided swingarm pertama sejak 999R (2007):
37% kurang rigid, 3.27kg lebih ringan
Fork Öhlins NPX25/30, penyerap hentak belakang TTX36, steering damper SD20 baharu
Brek Brembo Hypure dengan cakera 330mm, boleh dinaik taraf ke 338.5mm Pro atau GP4 Pro+
Berat keseluruhan: 186.5kg sahaja.
Elektronik Generasi Baharu
Sistem elektronik Ducati kini ditambah dengan Ducati Vehicle Observer perisian yang mensimulasikan data daripada 70 sensor. Ia mengawal:
Cornering traction control
Slide & wheelie control
Launch control
Engine brake control
Turut dilengkapkan: lima mod tunggangan, cornering ABS dengan fungsi Race Brake Control, serta empat mod kuasa.
Harga Dan Ketersediaan
Dengan harga homologasi WSBK dihadkan pada €44,000, Panigale V4 R 2026 dianggap “murah” untuk tahap teknologi sekelas MotoGP.
Model ini akan memasuki pasaran Eropah pada November 2025, diikuti Amerika Syarikat sebulan kemudian.
Walaupun perjanjian “gentlemen’s agreement” mengehadkan kelajuan kepada 300km/j sejak 1999, Ducati jelas melangkaui sempadan itu. Dengan output lebih 235hp dan kelajuan melebihi 330km/j, Panigale V4 R 2026 bukan sekadar calon kejuaraan WSBK ia juga salah satu superbike paling ekstrem yang pernah ditawarkan kepada orang awam.
Baca Juga : Ducati V21L Perkenal Bateri Solid-State
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Vespa Sprint Tech 2025, Skuter Premium untuk Gaya Hidup Moden

Legasi Bertemu Inovasi
Didi Group bersama Vespa melancarkan model baharu yang dinanti-nantikan iaitu Vespa Sprint Tech 2025.
Model ini memperlihatkan bagaimana warisan ikonik Vespa terus disemarakkan dengan sentuhan teknologi moden, melahirkan sebuah skuter yang bukan sahaja bergaya, malah penuh dengan kecanggihan.
Gabungan reka bentuk klasik dan teknologi canggih ini menjadikan Sprint Tech 2025 sebagai simbol keanggunan masa depan dalam dunia permotoran dua roda.
Reka Bentuk: Garapan Identiti dan Keunikan Tersendiri
Reka bentuk New Vespa Sprint Tech memancarkan semangat moden yang unik, menyerlahkan sisi berani dan sofistikated menerusi pilihan warna baharu – hitam, kelabu suam dan fluo-hijau.
Bahagian sisi pelindung kaki (leg shield) kini dilengkapi lampu baharu yang bukan sahaja menambah elemen visual yang futuristik, malah berfungsi secara automatik apabila fungsi “Bike Finder” diaktifkan atau semasa enjin dihidupkan, menjadikannya lebih mudah dikesan dalam kelompok kenderaan lain.
Paparan Muka Baharu TFT: Revolusi Panel Instrumen
Salah satu pembaharuan paling ketara pada Sprint Tech 2025 adalah papan pemuka TFT bersaiz 5 inci penuh warna.
Panel ini hadir dengan mod siang dan malam yang memudahkan pembacaan dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Menerusi sambungan Vespa MIA dan aplikasi Vespa App, pengguna boleh menyambung skuter dengan telefon pintar untuk mengakses pelbagai fungsi secara selamat dan intuitif.
Antara fungsi yang dipaparkan termasuklah panggilan masuk dan tidak dijawab, notifikasi mesej dan media sosial, pengurusan muzik, serta sistem navigasi GPS secara “turn-by-turn”.
Semua maklumat ini ditampilkan secara terus pada skrin skuter tanpa perlu menyentuh telefon.
Navigasi Terbina: Kelancaran Ke Destinasi
Buat pertama kalinya, sistem navigasi terbina diperkenalkan dalam rangkaian Sprint.
Apabila destinasi ditetapkan dalam aplikasi MIA, semua maklumat perjalanan seperti masa dan jarak ke destinasi, laluan semasa dan laluan alternatif akan terpapar pada papan pemuka.
Pengguna juga boleh memilih destinasi terdahulu dengan mudah serta mengawal permulaan dan pemberhentian navigasi secara langsung dari skuter.
Sistem Tanpa Kunci (Keyless): Praktikaliti Bergaya
Sprint Tech 2025 turut menampilkan sistem keyless eksklusif.
Satu ciri yang memudahkan pengguna untuk membuka, mengunci dan menghidupkan kenderaan tanpa perlu mengeluarkan kunci fizikal.
Melalui butang khusus pada alat kawalan elektronik, pengguna boleh membuka ruang simpanan bawah tempat duduk serta mengaktifkan fungsi Bike Finder dari jarak jauh.
Lampu isyarat berkelip secara serentak memudahkan pengecaman skuter di kawasan parkir.
Spesifikasi Teknikal: Gabungan Kuasa dan Kecekapan
Enjin dan Prestasi:
Sprint Tech 2025 dikuasakan oleh enjin 3-injap 4-lejang silinder tunggal i-get berserta sistem penyejukan udara.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 8.9 kW @ 7,250 rpm dan tork 12.7 Nm @ 5,750 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT automatik untuk tunggangan lancar.
Ciri Suspensi dan Brek:
Suspensi hadapan menggunakan lengan tunggal dengan gegelung heliks dan penyerap hentakan hidraulik tunggal.
Manakala suspensi belakang pula boleh dilaras prabeban (4 posisi).
Sistem brek didatangkan dalam dua pilihan:
Single ABS: cakera depan 200 mm & brek dram belakang 140 mm
Double ABS: cakera depan dan belakang 200 mm, kedua-duanya dengan sistem ABS
Roda dan Tayar:
Dilengkapi tayar tubeless bersaiz 12 inci – hadapan 110/70 dan belakang 120/70 untuk kestabilan dan cengkaman yang lebih baik.
Dimensi dan Kapasiti:
Panjang: 1,870 mm
Lebar: 735 mm (Single ABS) / 750 mm (Double ABS)
Jarak roda: 1,340 mm
Kapasiti tangki bahan api: 8.0 ± 0.5 liter
Harga dan Ketersediaan
Vespa Sprint Tech 150cc ditawarkan pada harga jualan RM22,900 dan boleh didapati di semua pengedar sah Vespa di seluruh negara.
Dengan kuasa enjin yang cekap dan teknologi pintar, Sprint Tech 2025 bukan sekadar skuter ia adalah gaya hidup bergerak ke hadapan.
Baca Juga : Vespa GTS 300 Classic – Kehebatan Tanpa Henti!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.