Malaysia dipilih sebagai lokasi pelancaran antarabangsa pertama bagi BYD SEAL 6 EV, sedan elektrik segmen-C terbaharu yang diperkenalkan oleh BYD Sime Motors. Kehadiran model ini bukan sekadar melengkapkan barisan produk BYD, sebaliknya menjadi penanda aras baharu dalam landskap sedan elektrik di pasaran tempatan.
Rekaan Moden, Teknologi Terkini
SEAL 6 EV dibangunkan dengan kombinasi keselesaan premium, kejuruteraan terkini dan gaya moden. Lebih menarik, ia merupakan model pertama BYD yang hadir dengan sistem suspensi baharuDual Ball-joint MacPherson Strut bersama suspensi belakang Rear Multi-Link. Tambahan pula, ia dilengkapi pacuan roda belakang (RWD), satu ciri yang jarang ditawarkan dalam segmennya.
Dengan badan terbesar dalam kelas sedan segmen-C di Malaysia, jejari pusingan hanya 5.5 meter serta 24 ruang simpanan pintar, SEAL 6 EV direka bukan sahaja untuk gaya tetapi juga praktikaliti harian.
Kuasa dan Prestasi
Di bawah bonet, SEAL 6 EV menawarkan output 160 kW (214 hp) dengan tork 330 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam 7.5 saat. Pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan mengikut keperluan, sama ada untuk keselesaan di bandar atau kawalan dinamik di lebuh raya.
Menurut Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara:
Ads
“BYD SEAL 6 EV menetapkan penanda aras baharu bagi sedan elektrik di Malaysia yang menggabungkan reka bentuk menarik, inovasi moden dan kepraktisan untuk kegunaan harian. Dengan rangkaian cawangan kami yang semakin meluas, kami yakin model ini akan mempercepatkan penerimaan pengangkutan elektrik di negara ini.”
Sementara itu, Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia menegaskan:
“BYD SEAL 6 EV direka untuk menjadi pilihan mampu milik tanpa mengorbankan teknologi pintar dan jarak gerak yang jauh. Ia adalah keseimbangan antara nilai dan inovasi yang mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada EV.”
Varian & Harga
BYD SEAL 6 EV hadir dalam dua pilihan:
Ads
Dinamik – RM100,000
Premium – RM115,800
Pilihan warna termasuk Arctic White, Harbour Grey dan Misty Blue, dengan kemasan dalaman gabungan hitam dan kelabu.
Pakej Pelancaran & Waranti
Bagi 800 pelanggan pertama, Sime Motors menawarkan pakej eksklusif bernilai sehingga RM6,000:
Pengecas dinding percuma bernilai RM3,288
Rebat tunai sehingga RM3,000 atau Pakej Sime Platinum 4+ untuk penghuni kediaman bertingkat (pengecasan pintu ke pintu, cucian kereta dan servis penyelamat EV)
Selain itu, setiap pembelian disertakan dengan:
Ads
Penyesuai V2L
Kabel pengecas Type 2 dengan plag 3-pin
Waranti komprehensif: 6 tahun/150,000 km untuk kenderaan, 8 tahun/160,000 km untuk unit pacuan dan bateri bilah voltan tinggi.
Komitmen Jangka Panjang
Sejak memasuki pasaran Malaysia, BYD Sime Motors telah mencatat jualan lebih 20,000 unit dengan 37 cawangan yang beroperasi kini. Syarikat ini menyasarkan untuk mencapai 50 cawangan menjelang 2026, bagi memastikan pelanggan mendapat akses mudah kepada jualan, servis dan penyelesaian pengecasan.
Pelancaran BYD SEAL 6 EV jelas menunjukkan komitmen BYD dalam mendorong transformasi mobiliti bersih, pintar dan mampan di Malaysia sekaligus membuka lembaran baharu untuk sedan elektrik segmen-C di negara ini.
Kalendar MotoGP 2024 telah dikemas kini dengan pengurangan dari 22 pusingan kepada 21 pusingan berikutan pembatalan perlumbaan di Argentina.
Acara di Termas de Rio Hondo yang sepatutnya berlangsung pada 5-7 April sebagai pusingan ketiga musim ini, telah dibatalkan disebabkan oleh langkah penjimatan kos oleh kerajaan.
MotoGP India yang sebelum ini dibatalkan, dijangka akan kembali pada awal 2025. Tempat India diambil alih oleh MotoGP Kazakhstan yang ditangguhkan tetapi akhirnya dibatalkan.
Sebagai gantinya, pusingan kedua di Misano, dinamakan Emilia-Romagna MotoGP, akan diadakan. Ini bermakna dua pusingan berturut-turut akan diadakan di Misano.
Barisan penunggang MotoGP 2024
Musim ini akan mengekalkan pendekatan berasaskan wilayah, mengelompokkan perlumbaan mengikut geografi. Terdapat 10 pusingan sebelum rehat musim panas, dan 11 pusingan selepasnya.
Qatar kembali sebagai pembuka musim pada 10 Mac, sebelum siri ini menuju ke Portugal dua minggu kemudian untuk pusingan kedua. Portugal dan India masih tertakluk kepada kontrak sebelum dapat disahkan.
Silverstone akan menjadi tuan rumah perlumbaan pertama selepas rehat musim panas. Terdapat dua siri tiga perlumbaan berturut-turut dalam separuh kedua 2024 – Emilia-Romagna, Indonesia, Jepun dan kemudian Australia, Thailand, Malaysia. Musim ini akan berakhir pada 17 November di Valencia.
Max Verstappen kembali menunjukkan kelas sebenar apabila berjaya merangkul kemenangan sulung musim 2025 di Grand Prix Jepun. Sekali gus mencatat kemenangan keempat berturut-turut di Litar Suzuka. Juara dunia empat kali itu menewaskan duo McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri, dalam perlumbaan yang penuh aksi dan strategi yang mencabar.
Sorotan Perlumbaan GP Jepun
Bermula dari petak utama, Verstappen tidak membuang masa untuk mengukuhkan kedudukan di hadapan. Namun segalanya menjadi lebih mendebarkan semasa fasa hentian pit apabila hentian Red Bull sedikit perlahan.
Perkara tersebut memberi ruang kepada Norris untuk mencuba potongan di pintu keluar pit. Kedua-dua kereta bersaing sengit, dan Norris terpaksa mengambil laluan rumput untuk mengelak perlanggaran.
Kedua-duanya sempat meluahkan rasa tak puas hati menerusi radio pasukan, tetapi para steward memutuskan tiada siasatan lanjut diperlukan.
Selepas insiden itu, Verstappen mula membina jurang semula. Tetapi pecutan Piastri di 10 pusingan terakhir memberi tekanan berganda kepada Norris yang akhirnya terpaksa memecut untuk kekal di tempat kedua. Secara tak langsung juga mula merapatkan jurang dengan Verstappen di depan. Namun, Verstappen kekal tenang dan konsisten hingga ke garisan penamat untuk menang kali ke-64 dalam kerjaya F1-nya.
Penamat Grid Hadapan
Piastri, yang menyambut ulang tahun ke-24 pada hari perlumbaan, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas gagal membuat serangan akhir terhadap rakan sepasukannya. Di belakang mereka, Charles Leclerc mengekalkan konsistensi Ferrari dengan kedudukan keempat.
Manakala duo Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli, menamatkan saingan di tempat kelima dan keenam. Antonelli juga sempat mendahului perlumbaan seketika hasil strategi pit yang bijak.
Lewis Hamilton menyumbang mata tambahan buat Ferrari di tempat ketujuh. Diikuti pendatang baharu, Isack Hadjar, yang berjaya meraih mata pertamanya untuk Racing Bulls di tempat kelapan. Alex Albon (Williams) dan Ollie Bearman (Haas) melengkapkan kelompok 10 teratas.
10 Grid Terakhir
Di luar kelompok mata, Fernando Alonso menamatkan perlumbaan walaupun gagal meraih sebarang mata. Satu pencapaian kecil selepas dua pusingan pembukaan yang mengecewakan.
Yuki Tsunoda, yang buat pertama kali berlumba untuk Red Bull di tanah air sendiri, menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan turut dipilih sebagai Driver of the Day oleh peminat walaupun tidak meraih sebarang mata.
Barisan pelumba lain seperti Pierre Gasly, Carlos Sainz, dan Liam Lawson turut menamatkan perlumbaan.
Verstappen kini hanya satu mata di belakang Norris dalam kejuaraan dunia, dengan Piastri melonjak ke tangga ketiga mengatasi Russell.
Seterusnya, Formula 1 akan terus ke Bahrain untuk perlumbaan kedua dalam tiga minggu berturut-turut. Dengan momentum kemenangan di tangan, mampukah Verstappen terus mendominasi? Atau McLaren bakal membalas? Nantikan di Sakhir minggu depan!
Auto Bavaria, sebagai pengedar bertauliah utama BMW Group Malaysia, mengukuhkan posisinya di dalam industri automotif dengan perasmian bilik pameran baharunya yang terletak di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Pelancaran bilik pameran ini memperlihatkan evolusi dan kemajuan dalam memberikan pengalaman unik kepada pelanggan, melalui peningkatan fasiliti dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan pelanggan.
Bilik pameran yang terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur ini meliputi ruang bagunan dua tingkat seluas 35,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan konsep reka bentuk yang kontemporari, bilik pameran ini menyediakan platform ideal bagi penggemar dan pelanggan BMW serta MINI untuk meneroka dan mengalami kesempurnaan jenama dalam keselesaan dan gaya yang tiada tandingannya.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan di BMW Group Malaysia, menekankan “Pembaharuan Auto Bavaria CSL mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia untuk memajukan mobiliti individu premium melalui penambahbaikan dan peningkatan yang berterusan. Komitmen ini termasuklah penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan kemudahan bilik pameran, serta penambahan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik. Auto Bavaria CSL memperlihatkan dedikasi kami untuk menawarkan pengalaman mewah kepada pelanggan dalam perjalanan pemilikan premium mereka, serta mengukuhkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memberikan Sheer Driving Pleasure.”
Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria, menzahirkan kegembiraan beliau terhadap pembaharuan ini, “Dengan transformasi bilik pameran terkini ini, kami amat teruja untuk mengalu-alukan kehadiran pelanggan ke ruang pengedar yang telah dinaik taraf, dalam memberikan pengalaman pemilikan premium kepada mereka. Auto Bavaria CSL yang diberi nafas baharu ini menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang canggih sejajar dengan pengalaman kami selama 36 tahun dalam menyampaikan Sheer Driving Pleasure, serta menegaskan komitmen kami untuk memberikan kecemerlangan tertinggi dalam khidmat pelanggan.”
Dari sudut kemudahan, pelanggan disambut dengan ruang yang elegan dan disesuaikan dengan keperluan mereka, termasuk pentas perundingan pelanggan, ruang hospitaliti, serta kafe dan kawasan rehat khusus. Bilik pameran ini juga menampilkan ruang dedikasi untuk Alat Ganti, Aksesori dan Gaya Hidup BMW & MINI, memudahkan pelanggan untuk meningkatkan atau mengkustomisasi kendaraan mereka.
Sebagai tambahan, Auto Bavaria Chan Sow Lin berinisiatif untuk memperkasa ekosistem mobiliti elektrik di Malaysia melalui penyediaan kemudahan pengecasan arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC), menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan lestari dan mobiliti elektrik di negara ini.
Bilik pameran yang kini beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, 8:00 pagi hingga 5:00 petang, dan Sabtu, 8:00 pagi hingga 12:30 tengahari.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download seeNI sekarang!
4 Tahun, 4 Gelaran: Dominasi Tanpa Tanding Dream Chaser
Konsistensi adalah senjata paling sukar dimiliki dalam dunia perlumbaan. Namun, HI-REV Dream Chaser Racing Team membuktikan...