BMW Motorrad Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam segmen dua roda dengan memperkenalkan dua model skuter premium bersaiz sederhana, iaitu BMW C 400 X Baharu dan BMW C 400 GT Baharu.
Pelancaran model ini menjadi bukti komitmen pengeluar automotif premium dari Jerman itu dalam memberi nafas baharu terhadap persaingan skuter maxi di Malaysia.
Menurut Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, segmen Mobiliti Bandar mencatatkan prestasi kedua terbaik buat BMW Motorrad pada tahun 2024, selepas segmen Adventure.
Beliau turut menegaskan bahawa model-model C 400 ini melambangkan pendekatan Keterbukaan Teknologi, menawarkan pengguna kebebasan memilih antara kuasa elektrik seperti CE 02 dan CE 04 atau kuasa pembakaran dalaman untuk keperluan harian di bandar.
BMW C 400 X dan C 400 GT yang baharu hadir sebagai sebuah skuter yang mengutamakan prestasi, gaya dan praktikaliti.
C 400 X tampil lebih dinamik, manakala C 400 GT model Gran Turismo direka untuk perjalanan jarak jauh dengan tahap keselesaan lebih baik.
Kemaskini 2025 membawakan pelbagai penambahbaikan teknikal.
Kemaskini terkini adalah termasuk ciri keselamatan canggih, sistem sambungan terkini serta pilihan warna dan aksesori baharu.
Secara tidak langsung menjadikan kedua-dua skuter ini lebih kompetitif dalam pasaran di Malaysia.
Hadir Dengan Enjin Silinder Tunggal
Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkuasa 25 kW (34 hp) pada 7,500 rpm dan tork maksimum 35 Nm pada 5,750 rpm.
Model ini dipadankan dengan transmisi CVT dan lengan ayun yang mampu menahan kilasan tinggi.
Ads
Model ini juga menawarkan pengalaman tunggangan lancar, pantas dan responsif sesuai untuk kegunaan bandar mahupun perjalan jauh.
Sistem ABS Pro yang disertakan sebagai standard membantu penunggang mengekalkan kestabilan ketika membrek, walaupun dalam keadaan kecemasan.
Tambahan pula, Kawalan Brek Dinamik (DBC) memastikan respons membrek lebih sensitif dan selamat dengan mengelakkan pembukaan semula pendikit secara drastik.
Teknologi Canggih: DTC dan MSR untuk Tunggangan Selamat
BMW turut melengkapkan kedua-dua skuter ini dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan Kawalan Tork Seretan Enjin (MSR).
DTC memberi cengkaman lebih baik ketika memecut di jalan licin, manakala MSR menstabilkan tunggangan apabila berlaku pengurangan pendikit secara mengejut.
Teknologi ini mampu membuka ruang kepada kestabilan yang optimum walaupun dalam situasi mencabar.
Paparan TFT dan Ketersambungan Pintar
BMW C 400 X kini hadir dengan paparan TFT 6.5 inci, manakala C 400 GT dilengkapi paparan TFT 10.25 inci menerusi pakej Connectivity Pro.
Ads
Kedua-duanya menyokong BMW Motorrad Connected App untuk navigasi dan kawalan intuitif, serta boleh dipadankan dengan peranti seperti Connected Ride Navigator atau Ride Cradle untuk pengalaman tunggangan lebih tersusun dan pintar.
Praktikaliti Harian dengan Ruang Simpanan Dipertingkat
Dalam aspek penyimpanan, C 400 X menawarkan tambahan 3 liter ruang di bawah tempat duduk.
Bagi model C 400 GT pula ia menyediakan sehingga 12 liter ruang tambahan, termasuk poket hadapan.
Untuk keselesaan perjalanan jauh, C 400 GT dilengkapi cermin penghadang angin boleh laras secara manual.
Kedua-dua model hadir dengan rak bagasi standard dan menyokong pemasangan kotak penyimpanan 43.5 liter yang baharu.
Model ini juga lengkap dengan lampu dalaman dan port USB, serta kapasiti bebanan yang kini meningkat kepada 10 kg dua kali ganda berbanding model terdahulu.
Ads
Rekaan Baharu: Berani vs Sofistikated
Dari segi penampilan, BMW C 400 X tampil dalam varian “Rugged” dengan rona Kalamata metallic matt, tempat duduk dua tona merah-hitam, rim merah serta penampilan offroad yang menonjol.
Ia turut menampilkan angkup brek emas, pemijak kaki khas dan cermin penghadang angin gelap untuk gaya lebih sporty.
Sementara itu, BMW C 400 GT tampil lebih sofistikated dengan varian “Exclusive”, menampilkan warna Diamond White metallic.
Selain itu, model ini hadir dengan rim bewarna emas, sulaman tempat duduk eksklusif, serta pencahayaan lantai untuk sentuhan premium.
Kedua-duanya menampilkan estetika BMW yang tidak pernah berkompromi dalam aspek gaya dan keanggunan.
Pemilikan Lebih Mudah dengan Pelan Pembiayaan
BMW Group Financial Services Malaysia turut menawarkan pelan pembiayaan menarik dengan bayaran bulanan serendah RM668 untuk C 400 X dan RM748 untuk C 400 GT, berdasarkan pembiayaan Straight Line 90% selama tujuh tahun.
Pembeli juga boleh menikmati servis minyak enjin premium, program servis inklusif serta lanjutan waranti oleh BMW Motorrad Malaysia.
Harga Jualan Rasmi
Berikut merupakan harga jualan rasmi (atas jalan termasuk waranti dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun, tidak termasuk insurans):
BMW C 400 X Baharu – RM 47,500.00
BMW C 400 GT Baharu – RM 53,500.00
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, layari laman rasmi BMW Motorrad Malaysia.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Kesalahan memandu melebihi had laju menjadi sorotan utama dalam Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024 yang telah berjalan selama 13 hari sejak 1 Februari lalu di seluruh negara.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, sejumlah 19,722 notis telah dikeluarkan untuk kesalahan ini, yang merupakan sebahagian daripada 27,329 notis yang dikeluarkan keseluruhan.
Beliau menjelaskan bahawa selama tempoh operasi tersebut, JPJ juga menerima 3,440 kesalahan yang dilaporkan oleh orang awam melalui e-aduan@jpj.gov.my dan aduantrafik@jpj.gov.my.
“Kesalahan yang dilaporkan oleh orang awam ini termasuk penggunaan lorong kecemasan yang tidak dibenarkan, yang mengganggu trafik serta kenderaan darurat seperti ambulans, bomba, dan polis,” katanya kepada pemberita semasa menyertai operasi di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz.
Tambah beliau, kesalahan lain yang sering dilaporkan adalah pelanggaran lampu isyarat dan memotong di garisan berkembar. Bagi menangani kes ini, JPJ akan mengambil tindakan sewajarnya.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan, serta beberapa agensi lain seperti Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut hadir dalam operasi tersebut.
Dalam perkembangan lanjut, Lokman mengumumkan bahawa Notis Temu Siasat akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang terlibat dalam kesalahan tersebut, mengikut Seksyen 114 Akta 333. Mereka dikehendaki hadir ke pejabat JPJ untuk menjalani prosedur siasatan dan penyelesaian kes dalam tempoh tiga hari bekerja.
Tanggal 31 Ogos 2025 bukan sekadar ulang tahun ke-68 kemerdekaan negara, tetapi turut menjadi momen bersejarah buat Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas).
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 jenama nasional itu, yang telah menempa nama sejak era Kriss 110 hingga kini melangkah ke era baharu dengan skuter elektrik MEV-Series.
Pelancaran sulung MEV-1 Pro dan MEV-2 di perarakan Merdeka kali ini membawa simbolik besar daripada enjin pembakaran dalaman ke mobiliti EV, seiring aspirasi negara menuju kelestarian.
MEV-1 Pro & MEV-2 – Teknologi Elektrik Buatan Malaysia
Kedua-dua model ini mula dipertontonkan kepada umum pada Malaysia Autoshow 2025.
MEV-1 Pro
Kuasa 6.6 hp & tork 258 Nm
Kelajuan maksimum 85 km/j
Jarak perjalanan 135 km
Ditenagai 2 bateri ATL lithium 60V 45Ah
Pengecasan penuh sekitar 3.5 jam
Pilihan varian: single-seater atau two-seater MEV-1 Pro SX
MEV-2
Kuasa 5.4 hp
Kelajuan maksimum 80 km/j
Jarak perjalanan 70 km
Menggunakan 2 bateri ATL lithium 74V 30Ah
Masa pengecasan sama (3.5 jam)
Kedua-duanya berkongsi ciri praktikal moden: roda 16 inci depan & 14 inci belakang, fork teleskopik, monoshock belakang, brek cakera hidraulik dengan Combined Braking System (CBS), panel LCD, lampu LED penuh serta port USB.
Kenapa Debut di Perarakan Merdeka Penting?
Perarakan Merdeka sentiasa menjadi pentas simbolik bagi jenama nasional.
Sama seperti Kriss 110 yang pertama kali dipamerkan pada Perarakan Hari Kebangsaan 1996, kini Modenas kembali dengan visi baharu memacu peralihan ke arah mobiliti hijau.
Kehadiran MEV dalam perarakan kali ini bukan sekadar pameran produk, tetapi manifesto teknologi tempatan bahawa Malaysia bersedia melangkah ke era pengangkutan elektrik dengan penuh keyakinan.
Dari Kriss ke MEV – Perjalanan Penuh Makna
Dalam tempoh tiga dekad, Modenas telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia daripada moped ke skuter, dan kini elektrik.
Ia turut menegaskan semangat jenama ini yang kini tampil dengan wajah baharu selepas proses rebranding pada tahun lalu.
Harga & Aksesibiliti
Lebih menarik, kedua-dua skuter elektrik ini ditawarkan pada harga kompetitif:
MEV-2 – dari RM9,878
MEV-1 Pro – dari RM13,470
Harga ini menjadikan MEV sebagai alternatif sebenar kepada penunggang bandar yang mahu gaya, penjimatan, dan kelestarian dalam satu pakej.
Menanti Kejutan Modenas di Hari Merdeka
Walaupun butiran penuh belum didedahkan, ada kemungkinan Modenas bakal mengadakan promosi khas atau aktiviti interaktif ketika sambutan Merdeka seperti kempen popular mereka sebelum ini, “Payung Kaw Kaw”.
Apapun, kehadiran MEV di Dataran Merdeka sudah cukup menjadi mesej jelas Malaysia kini bersedia memacu masa depan mobiliti dengan tenaga elektrik buatan tempatan.
Kejohanan MotoGP sedang meraikan ulang tahun ke-75 sepanjang tahun 2024 dan hari ini adalah hari ulang tahun rasmi mereka. Perlumbaan Grand Prix yang pertama dalam Kejohanan Dunia Grand Prix FIM berlangsung 75 tahun yang lalu.
Hari itu adalah 13 Jun 1949, dan perlumbaan tersebut adalah perlumbaan pertama dalam Kejohanan Dunia 350cc. Ia diadakan di Isle of Man sebagai sebahagian daripada hujung minggu Grand Prix yang pertama.
Kemudian, acara perlumbaan kelas perdana yang pertama berlangsung pada 17 Jun. Jadi, pihak MotoGP akan meraikan sambutan hari jadi sepanjang hujung minggu ini, dengan beberapa sentuhan vintaj di motogp.com!
Perlumbaan MotoGP pertama diadakan pada 1949 di Isle of Man
Sebelum musim ulang tahun yang sangat istimewa ini bermula, MotoGP telah mengadakan lawatan melalui beberapa statistik juara, pemenang perlumbaan dan pengeluar setakat tamat musim 2023 – meraikan 75 musim penuh persaingan yang berakhir di Valencia tahun lepas.
Tahun 2023 juga merupakan satu pencapaian yang besar, dengan jumlah kehadiran musim hampir tiga juta peminat yang mencatatkan rekod baharu sepanjang masa.
Selain menyambut acara istimewa ini, jumlah kehadiran juga terus mengagumkan, dengan peningkatan ketara berbanding musim lepas yang dilihat di Portimão, Jerez, Barcelona dan Mugello.
Perlumbaan MotoGP tahun 2000
Pencapaian Kehadiran Tertinggi
Selain daripada rekod kehadiran hujung minggu baharu yang dicatatkan di Le Mans. Grand Prix Perancis memecahkan rekodnya sendiri yang dicatatkan tahun lepas, dengan kehadiran yang menakjubkan seramai 297,471 peminat pada tahun 2024.
Seterusnya, sambutan akan singgah di Assen – tempat yang menjadi tuan rumah paling banyak Grand Prix, dan untuk tempoh yang paling lama.
Model MotoGP tahun 1980
Sebahagian daripada kalendar sulung pada tahun 1949 dan menjadi tuan rumah setiap tahun sejak itu kecuali satu tahun pada tahun 2020.
Litar ini dikenali sebagai Katedral Kelajuan atas sebab tertentu. Kini ia terus membina legendanya, mengekalkan semangat dan asal usulnya.
Selamat ulang tahun, MotoGP! Mari kita raikan warisan dan kegemilangan sukan ini bersama-sama.
Perodua D66B (Nexis/Traz): Info Awal Tentang SUV Baharu Perodua
SUV segmen-B terbaharu daripada Perodua kini menjadi bualan hangat selepas syarikat itu mula melepaskan teaser awal...