Ads

BMW Hidupkan Semula Nama “Neue Klasse” Selepas Separuh Abad

Neue Klasse Kembali Membuka Era Baharu

BMW bakal membuka lembaran baharu dalam sejarahnya menerusi Neue Klasse, sebuah nama yang hanya pernah digunakan dua kali sepanjang lebih 100 tahun pengeluar kenderaan dari Jerman itu beroperasi.

Dalam bahasa Jerman, Neue Klasse membawa maksud “Kelas Baharu”. Namun, bagi BMW, nama berkenaan bukan sekadar merujuk kepada sebuah model atau generasi kenderaan yang baharu.

Sebaliknya, ia melambangkan perubahan besar terhadap cara BMW mereka bentuk, membangunkan dan menentukan identiti kenderaannya untuk masa hadapan.

BMW Group Malaysia turut mengesahkan bahawa model pertama daripada portfolio Neue Klasse akan diperkenalkan di Malaysia pada 6 Ogos 2026.

Bermula dengan BMW 1500 pada 1961

Sejarah Neue Klasse bermula pada September 1961 apabila BMW memperkenalkan BMW 1500 di Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt.

Ketika itu, rangkaian produk BMW terbahagi kepada dua kategori yang sangat berbeza. Syarikat berkenaan menghasilkan model mewah dalam jumlah terhad seperti BMW 501, BMW 502 dan BMW 503, selain kereta mikro berenjin motosikal seperti BMW Isetta, BMW 600 dan BMW 700.

BMW Hidupkan Semula Nama “Neue Klasse” Selepas Separuh Abad

Kehadiran BMW 1500 mengisi kekosongan antara kedua-dua kategori tersebut.

Model itu direka oleh Ketua Pereka BMW ketika itu, Wilhelm Hofmeister, dengan kerjasama pereka Itali, Giovanni Michelotti. Ia tampil dengan pendekatan reka bentuk lebih ringkas dan moden berbanding sedan BMW sebelumnya.

BMW 1500 mengekalkan gril buah pinggang berkembar sebagai identiti utama jenama itu. Model tersebut turut memperkenalkan bentuk khusus pada pertemuan garisan bumbung belakang dan tiang C yang kemudiannya dikenali sebagai “Hofmeister kink”.

Ciri reka bentuk tersebut kekal digunakan dalam pelbagai model BMW sehingga hari ini.

Di sebalik reka bentuknya, BMW 1500 dilengkapi enjin empat silinder baharu, sistem suspensi bebas serta struktur badan monokok yang meletakkannya sebagai antara sedan paling maju dalam segmennya pada ketika itu.

Sambutan terhadap model tersebut sangat menggalakkan sehingga BMW perlu membina dewan pengeluaran baharu di kilangnya di Munich serta mengambil kira-kira 3,000 pekerja mahir tambahan.

BMW 1500 mula memasuki pengeluaran pada 1962.

Ads

BMW Hidupkan Semula Nama “Neue Klasse” Selepas Separuh Abad

Istilah Neue Klasse pada awalnya bukan nama rasmi bagi BMW 1500.

Nama tersebut mula digunakan untuk merujuk kepada keseluruhan keluarga sedan berkenaan selepas BMW 1800 diperkenalkan pada 1963. Paul Hahnemann, Ahli Lembaga Pengurusan BMW yang bertanggungjawab terhadap jualan ketika itu, menyifatkan rangkaian tersebut sebagai sebuah “kelas baharu” dalam barisan produk BMW.

Istilah itu kemudiannya digunakan dalam bahan pengiklanan BMW mulai 1964.

Selepas BMW 1500, keluarga Neue Klasse berkembang menerusi pengenalan BMW 1600, BMW 1800 dan BMW 2000.

Kesemua model berkenaan berkongsi formula yang sama, iaitu sebuah sedan praktikal untuk kegunaan harian tetapi masih memberikan karakter pemanduan sporty.

Pendekatan tersebut kemudiannya menjadi asas kepada identiti BMW sebagai pengeluar sedan berprestasi yang mengutamakan pengalaman pemanduan.

Pada era yang sama, slogan Jerman “Aus Freude am Fahren”, yang membawa maksud “For the pleasure of driving”, mula menjadi sebahagian daripada identiti BMW.

Neue Klasse Mengubah Kedudukan BMW

Kejayaan Neue Klasse memberikan kesan besar terhadap perkembangan perniagaan BMW.

Ads

Antara 1960 hingga 1970, jualan kereta BMW meningkat tiga kali ganda, manakala hasil daripada jualan kenderaan melonjak lebih tujuh kali ganda.

Hampir 340,000 unit sedan daripada keluarga Neue Klasse dihasilkan antara Februari 1962 hingga Januari 1972.

Pertumbuhan itu turut membolehkan BMW mengembangkan operasinya ke luar Jerman dengan menubuhkan organisasi jualan di pasaran eksport utama seperti Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom.

Pada 1966, BMW memperkenalkan sebuah model dua pintu yang dibangunkan berasaskan BMW 1600. Model tersebut lebih ringan, lebih mampu milik dan menampilkan karakter lebih sporty berbanding sedan Neue Klasse.

Keluarga model itu kemudiannya dikenali sebagai BMW 02 Series selepas pelancaran BMW 2002 pada 1968. Angka “02” digunakan untuk membezakan model dua pintu tersebut daripada sedan empat pintu Neue Klasse.

Sehingga pengeluarannya berakhir pada 1977, kira-kira 825,000 unit BMW 02 Series telah dihasilkan.

BMW 2002 juga menjadi antara model terawal yang memperkenalkan nama BMW kepada peminat automotif Malaysia. Model berkenaan dibawa masuk menerusi saluran persendirian sebelum BMW mempunyai operasi rasmi di negara ini.

BMW Hidupkan Semula Nama “Neue Klasse” Selepas Separuh Abad

Asas kepada BMW 3 Series dan BMW 5 Series

Pengaruh Neue Klasse tidak berakhir selepas pengeluaran generasi asal dihentikan pada Januari 1972.

Ads

Menurut BMW Group Classic, Neue Klasse merupakan pendahulu langsung kepada dua keluarga model paling penting BMW, iaitu BMW 3 Series dan BMW 5 Series.

BMW 5 Series generasi pertama yang diperkenalkan pada 1972 menjadi pengganti terus kepada sedan Neue Klasse, manakala BMW 3 Series yang dilancarkan pada 1975 dibangunkan berasaskan karakter dan formula BMW 02 Series.

Susun atur badan, karakter pengendalian dan falsafah pembangunan yang diasaskan Neue Klasse terus menjadi sebahagian daripada identiti kedua-dua model berkenaan untuk beberapa dekad.

Neue Klasse Kembali Selepas Lebih 50 Tahun

Selepas tidak digunakan selama lebih setengah abad, nama Neue Klasse kembali diumumkan pada Persidangan Tahunan BMW Group pada Mac 2021.

Sama seperti pada 1960-an, penggunaan semula nama tersebut menandakan perubahan besar dan bukan sekadar pengenalan sebuah model baharu.

Neue Klasse moden akan menjadi asas kepada transformasi rangkaian produk BMW dengan tumpuan terhadap tiga elemen utama, iaitu elektrifikasi, pendigitalan dan ekonomi kitaran.

BMW turut mengekalkan pendekatan keterbukaan teknologi bagi menyokong keperluan berbeza dalam pasaran automotif global.

Lebih 40 model baharu dan model yang dikemas kini dijadualkan diperkenalkan sehingga penghujung 2027 dengan mengadaptasi teknologi serta pendekatan pembangunan daripada Neue Klasse.

Lebih enam dekad selepas BMW 1500 mengubah perjalanan syarikat itu, Neue Klasse sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk menentukan rupa, teknologi dan karakter generasi BMW yang seterusnya.

Model pertama daripada portfolio Neue Klasse untuk pasaran Malaysia bakal diperkenalkan secara rasmi pada 6 Ogos 2026.

Baca Juga : BMW Group Malaysia Umum Raymond Tan Sebagai Pengarah Urusan Baharu

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Menarik di Roda Panas

Miliki Mercedes-Benz Dari RM1,988 Sebulan Menerusi Agility+

Miliki Mercedes-Benz Menerusi Agility+, Bayaran Bulanan Bermula RM1,988 Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan kempen FLEX yang menampilkan pelan pembiayaan Agility+, sekali gus menawarkan pilihan pemilikan kenderaan lebih...