
Bateri kenderaan elektrik (EV) tidak semestinya terus menuju ke pusat kitar semula selepas tamat tempoh penggunaannya di dalam sesebuah kereta. Sebaliknya, komponen itu masih berpotensi diberikan ‘kehidupan kedua’ untuk kegunaan lain.
Konsep tersebut kini diterjemahkan ke dunia sebenar menerusi kerjasama BMW Group Malaysia dan Universiti Malaya (UM), yang telah memasang sebuah stesen pengecas telefon pintar berkuasa solar menggunakan bateri EV BMW terpakai atau second-life battery.
Stesen berkenaan ditempatkan di perhentian bas UM Central dalam kampus Universiti Malaya dan merupakan aplikasi pertama yang berjaya disiapkan menerusi inisiatif penyelidikan RE:GENERATE x Universiti Malaya.
Lebih menarik, pemasangan tersebut bukan hanya sekadar projek demonstrasi kerana lokasi berkenaan digunakan oleh lebih 3,000 pengguna setiap hari.
Sistem penyimpanan tenaga stesen berkenaan mempunyai kapasiti 1.5 kWh dan dibangunkan menggunakan tiga modul bateri BMW yang masing-masing berusia kira-kira 10 tahun.
Walaupun bateri terbabit tidak lagi sesuai digunakan untuk tuntutan prestasi sebuah EV, ia masih mempunyai sekitar 30 hingga 40 peratus daripada kapasiti asal selepas melalui proses pemeriksaan, penggredan dan pengubahsuaian.
Proses pembangunan itu dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik serta pelajar PhD di UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).
Pendekatan ini membolehkan bateri yang sudah mengalami tahap degradasi lebih tinggi terus digunakan untuk aplikasi dengan jumlah tenaga lebih rendah, berbanding ditamatkan penggunaannya lebih awal.
Selain bateri EV terpakai, sistem tersebut turut menggunakan panel solar terpakai sebagai sumber tenaga.
Tenaga yang dijana menerusi panel solar akan disalurkan melalui solar charge controller dan photovoltaic inverter sebelum disimpan dalam bateri BMW terbabit.
Sistem itu turut dilengkapi Battery Management System (BMS) untuk memantau dan mengurus keadaan bateri sepanjang operasi.
Tenaga yang disimpan kemudiannya digunakan untuk membekalkan kuasa kepada empat port pengecasan telefon pintar yang terdiri daripada tiga USB-C dan satu port Lightning untuk peranti Apple generasi terdahulu.
Keseluruhan sistem mampu menghasilkan output sehingga 200W, manakala setiap port boleh menyokong kuasa maksimum sehingga 100W.
BMW Group Malaysia dan UM menyasarkan sistem tersebut mampu terus beroperasi sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun.
Jangka hayat berkenaan mengambil kira keadaan semasa bateri, corak penggunaan serta tahap depth of discharge
. Tempoh sebenar bagaimanapun berpotensi menjadi lebih panjang bergantung kepada penggunaan sistem.Bagi memastikan prestasinya terus dipantau, sistem itu turut dilengkapi data logger untuk merekodkan parameter bateri serta corak penggunaannya.
Sekumpulan pelajar terlatih turut ditugaskan untuk menjalankan pemantauan dan penyelenggaraan berkala, termasuk menganalisis data bateri serta melakukan pemeriksaan fizikal terhadap sistem.
Projek di Universiti Malaya hanyalah salah satu daripada dua aplikasi yang sedang dibangunkan menerusi program berkenaan.
Jika bateri yang mempunyai kapasiti lebih rendah digunakan untuk stesen pengecas telefon pintar, bateri BMW terpakai yang masih mampu mengekalkan sehingga 80 peratus kapasiti asal pula diperuntukkan untuk projek yang memerlukan tenaga lebih tinggi.
Bateri berkenaan sedang dipersiapkan untuk digunakan di Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang bagi membekalkan tenaga elektrik luar grid kepada komuniti Orang Asli Semai.
Pendekatan tersebut membolehkan bateri dipadankan dengan aplikasi berdasarkan tahap kesihatannya. Bateri yang masih mempunyai kapasiti tinggi digunakan untuk bekalan tenaga kediaman, manakala unit yang sudah mengalami degradasi lebih besar pula digunakan bagi aplikasi ringan seperti pengecasan peranti.
Apa yang lebih menarik ialah kitaran penggunaan bateri tersebut mungkin tidak berhenti selepas ‘kehidupan kedua’.
Menurut pasukan penyelidik UM, bateri berkapasiti tinggi yang digunakan di Pos Sinderut berpotensi diberikan ‘kehidupan ketiga’ selepas tamat penggunaannya dalam projek elektrifikasi luar bandar.
Bateri terbabit dirancang untuk digunakan semula sebagai sistem penyimpanan tenaga bagi stesen pengecas telefon pintar seperti yang dipasang di Universiti Malaya.
Ia secara tidak langsung mewujudkan satu kitaran penggunaan bateri dalam tiga peringkat bermula sebagai bateri kenderaan elektrik, kemudian sebagai sistem penyimpanan tenaga untuk kediaman dan akhirnya sebagai sumber kuasa bagi kemudahan pengecasan awam.
Kerjasama BMW Group Malaysia dan Universiti Malaya ini menunjukkan bahawa bateri EV yang sudah tidak memenuhi keperluan prestasi sebuah kereta masih boleh digunakan untuk tujuan lain.
Pada masa sama, projek seperti ini turut membuka ruang kepada pendekatan lebih praktikal dalam menguruskan bateri EV pada penghujung hayat penggunaannya dalam kenderaan, khususnya apabila jumlah EV di jalan raya dijangka terus meningkat pada masa akan datang.
Baca Juga : Hampir RM1 Juta! BMW M2 CS Rasmi di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.