Marc Marquez sekali lagi mencuri perhatian di MotoGP, tetapi kali ini bukan hanya kerana kepantasan luar biasanya, tetapi taktik yang mengejutkan di GP Thailand.
Di awal perlumbaan, Marquez dilihat menguasai perlumbaan dengan selesa, meninggalkan pelumba lain lebih dari satu saat di belakangnya.
Namun, tiba-tiba dia memperlahankan jentera dan memberi laluan kepada adiknya, Alex Marquez. Seolah-olah sengaja membiarkannya mendahului. Taktik ini menimbulkan tanda tanya – adakah Marc membantu adiknya atau ada sebab lain di sebaliknya?
Rupa-rupanya, keputusan itu dibuat bukan kerana strategi yang dirancang lebih awal. Tetapi sebagai usaha untuk mengelak daripada dikenakan penalti akibat tekanan tayar yang tidak berada dalam julat yang ditetapkan.
Kenapa Marc Biarkan Alex Mendahului?
Dalam era MotoGP yang semakin dikawal ketat, tekanan tayar depan menjadi satu faktor yang sangat penting. Peraturan yang diperkenalkan pertengahan tahun 2023 mewajibkan setiap pelumba mengekalkan tekanan tayar minimum untuk sekurang-kurangnya 60% daripada jarak perlumbaan. Dalam kes GP Thailand, ini bersamaan dengan 15 daripada 26 pusingan perlumbaan.
Pada awal perlumbaan, Marquez menyedari tekanan tayarnya terlalu rendah. Dia cuba mengubah corak tunggangannya. Menekan brek dengan lebih keras untuk menaikkan suhu dan tekanan tayar.
Namun, ia tidak cukup untuk memastikan tayarnya berada dalam julat yang dibenarkan. Dengan baki hanya tiga pusingan sebelum boleh dianggap ‘lulus’ dari segi tekanan tayar. Dia membuat keputusan berani – memperlahankan jentera dan membiarkan Alex mendahului untuk menggunakan udara panas dari ekzos jentera di hadapannya bagi meningkatkan tekanan tayarnya sendiri.
Taktik Genius atau Keperluan?
Marquez bukan sekadar memperlahankan motosikal dan membiarkan Alex pergi. Dia mengawal jarak dengan sangat strategik – tidak terlalu jauh, tetapi cukup untuk mendapatkan manfaat dari slipstream adiknya.
Malah, dia mengubah cara menunggang dengan melepaskan sedikit pendikit sebelum titik membrek, membolehkannya menekan brek dengan lebih kuat untuk meningkatkan suhu dan tekanan tayar depan.
Setelah tekanan tayarnya berada dalam julat yang dibenarkan, Marquez tidak membuang masa. Dengan hanya beberapa pusingan berbaki, dia kembali ke hadapan dan menunjukkan kelajuan sebenar, memintas Alex dengan mudah sebelum menamatkan perlumbaan dengan penuh dominasi.
Apa Kata Pesaingnya?
Alex Marquez pada mulanya keliru dengan tindakan abangnya – menyangka mungkin ada masalah mekanikal atau isyarat bendera merah yang menyebabkan Marc memperlahankan motosikalnya.
Namun, sebaik menyedari taktik itu, dia tahu bahawa kemenangan akan tetap menjadi milik Marc.
Sementara itu, juara dunia Francesco Bagnaia mengakui bahawa Marquez sebenarnya ‘bermain’ dengan pelumba lain sepanjang perlumbaan.
Menurutnya, Marquez jauh lebih pantas berbanding yang lain dan kemenangan sudah pun dalam genggamannya sejak awal.
Kesimpulan
Tindakan Marc Marquez di GP Thailand ini membuktikan betapa pintarnya dia dalam memahami peraturan dan menggunakannya untuk kelebihan sendiri.
Walaupun kelihatan seperti membantu adiknya, hakikatnya dia hanya mencari cara untuk mengelak penalti dan mengekalkan momentumnya dalam perlumbaan.
Keputusan ini bukan sahaja menunjukkan pengalaman dan kepakarannya, tetapi juga memberikan peringatan kepada pesaing bahawa Marquez masih pelumba yang sukar ditandingi.
Dari The Race
Baca Juga KTM 990 RC R – Gabungan MotoGP dan Jalanan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.