Pada usia 62 tahun, Karamjit Singh, legenda rali negara, sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan menjuarai MIRC Rally of Asahan 2024, pusingan kedua kejohanan Malaysia Iconic Rally Championship (MIRC).
Dengan Subaru Impreza WRX dari pasukan MRU Motorsport. Karamjit bersama juruarahnya, Vivek Ponnusamy, mendominasi rali dengan memenangi 7 daripada 9 ujian khas (SS) yang berlangsung.
Laluan Mencabar di Ladang Kelapa Sawit
Bertempat di Pekan Asahan, Jasin, Melaka, rali ini berlangsung di laluan berbatu kerikil dan tanah liat sekitar ladang kelapa sawit di Nyalas Estate dan Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh.
Dengan tiga SS yang diulang sebanyak tiga kali, peserta perlu menempuh lebih 100 km laluan penuh cabaran. Aksi bermula seawal jam 8.30 pagi di Kompleks Japerun Asahan dan berakhir pada jam 3 petang, tetapi hanya 10 daripada 17 kereta berjaya menamatkan perlumbaan.
Dominasi Karamjit dan Saingan Sengit
Karamjit dicabar hebat oleh Haji Sutan Mustafa Salihin yang turut memandu Subaru Impreza WRX GDB bersama juruarah Kamrul Anuar Mohd Razzali. Walaupun mengalami tayar pecah di SS3. Karamjit terus mengukuhkan kedudukan dengan kelebihan dua minit di hadapan Haji Sutan yang memenangi dua SS. Kedua-dua pelumba membawa pulang trofi untuk kategori M12 (2,000 cc ke atas) dan kelas pacuan 4WD.
Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan dari Perlis, Azrul Azhar Norbakari dan juruarah Muhamad Firdaus Musa, yang memandu Proton Satria 1.8 NA pacuan roda hadapan. Kejayaan ini mengejutkan ramai kerana mereka beraksi dalam kategori M11 (1,800 hingga 2,000 cc) dan 2WD.
Ads
Kejutan Lain dan Drama Laluan
Kejutan turut datang daripada Dinie Nazmie bersama juruarah Nazam Shah Sulaiman, yang menduduki tempat keempat keseluruhan dengan Proton Satria 1.6 NA. Dinie juga merangkul juara kelas M10 (sehingga 1,600 cc) dan naib juara kategori 2WD.
Bagaimanapun, cabaran rali ini tidak lepas daripada drama. Pasukan Saladin Rallying yang diwakili dua jentera terpaksa menarik diri awal. Prototaip Mini Deus 1.8L turbo 4WD yang dipandu Saladin Mazlan terkandas di SS1. Manakala Satria Neo anaknya, Ibrahim Saladin, mengalami kerosakan lengan suspensi di SS2 dan masalah timing belt di SS3.
Kreativiti juga diuji apabila juruarah pasukan Purnama Rally Team, Teh Yie Sing, terpaksa duduk di bonet kereta selepas Proton Satria 1.6 mereka patah lengan suspensi. Aksi serupa dilakukan oleh juruarah Shahrol Zainal dari pasukan Sucmuci Motorsport. Mereka ‘bertenggek’ di pintu kereta selepas Iriz 1.6 turbo pasukannya mengalami masalah sama di SS9.
Ads
Pelumba Antarabangsa dan Memori Manis
Rali ini turut menyaksikan penyertaan pelumba antarabangsa. Nikeeta Takkale dari India berjaya menamatkan cabaran di tempat ke-10 bersama Proton Satria Neo. Sementara itu, pelumba Indonesia, Arjianshah Musa, terpaksa menarik diri kerana masalah logistik pada jentera Rally2 Skoda Fabia Evo miliknya.
Tidak dilupakan, kejayaan manis untuk Hashrul Jamaludin dari pasukan Purnama Rally Team. Selepas dua rali yang mengecewakan, dia berjaya menduduki tempat ke-9 keseluruhan dengan Proton Satria 1.3 dan bergelar juara kategori M9 (sehingga 1,300 cc).
MIRC Rally of Asahan 2024 sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai medan mencabar dengan aksi dramatik dan penuh warna. Dari veteran seperti Karamjit Singh hingga pelumba muda. Rali ini membuktikan bahawa semangat dan kecekalan sentiasa menjadi tunjang kejayaan di dunia sukan rali.
Proton mengumumkan jentera lumba S70 Pasukan R3 yang bersaing dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) hujung minggu lalu akan dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024.
Acara ini dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 11 Disember di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menariknya, kereta lumba yang akan dipamerkan adalah jentera bernombor #82, dipandu oleh pasangan Alister Yoong dan Ariff Azmi. Mereka berjaya mengakhiri perlumbaan di tempat kelima dalam kelas Malaysian Touring Car (MTC).
Ia akan dipamerkan dalam keadaan asal selepas perlumbaan, lengkap dengan ‘parut perang’ hasil cabaran yang dihadapi sepanjang perlumbaan.
Drama Di Sepang 1000KM
Namun, perlumbaan kali ini bukanlah tanpa cabaran untuk Pasukan Proton R3. Selepas lima tahun berehat, pasukan ini kembali ke litar yang penuh dengan persaingan sengit. Malangnya, kereta bernombor #81 yang dipandu oleh Syafiq Ali mengalami insiden pada lap ke-8 apabila bahagian belakangnya bersentuhan dengan kereta lain, menyebabkan ia berpusing dan melanggar penghadang. Akibatnya, jentera ini terpaksa menarik diri dari perlumbaan lebih awal.
Bagi kereta #82, ia juga menghadapi rintangan besar. Bermula dari kedudukan kesembilan, ia menghadapi masalah teknikal yang memerlukan masa 40 minit untuk diperbaiki di pit stop. Walaupun begitu, pasangan pemandu berjaya menunjukkan prestasi konsisten, membawa jentera ini menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dalam kelas MTC.
Kata-Kata PROTON Edar
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, memuji usaha pasukan ini walaupun keputusan tidak sepenuhnya memenuhi sasaran mereka. “Pasukan Proton R3 bersama pemandu dan Proton S70 R3 telah memperkukuhkan warisan perlumbaan Proton dengan persembahan yang cemerlang di S1K 2024. Walaupun kami mengharapkan kemenangan keseluruhan, kami sedar cabaran besar yang menanti, termasuk persaingan dengan pasukan yang lebih berpengalaman dan kereta baru,” katanya.
Menurut Roslan, walaupun kereta #81 mengalami kemalangan dan kereta #82 kehilangan masa di pit, banyak data berharga telah dikumpulkan sepanjang perlumbaan ini. “Kedudukan kelima dalam kelas MTC telah memberikan asas kukuh untuk pasukan mempersiapkan diri bagi musim 2025,” tambahnya lagi.
Jadi, jika anda peminat kereta lumba, pastikan untuk ke KLIMS 2024 bagi menyaksikan sendiri kehebatan Proton S70 dengan parutnya yang membuktikan cabaran sebenar perlumbaan S1K. Ini adalah peluang terbaik untuk melihat jentera yang mewakili semangat juang Proton R3 di arena perlumbaan.
Berita baik untuk mereka yang ingin menyelesaikan saman trafik! Sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024. Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman trafik sehingga 60% bagi kesalahan terpilih.
Program ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 22 hingga 24 November 2024. Kaunter khas untuk pembayaran saman trafik dengan diskaun akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
Jenis Saman Yang Layak Mendapat Diskaun
Namun, bukan semua saman layak untuk diskaun ini. Seperti biasa, beberapa kesalahan tidak termasuk dalam tawaran, antaranya:
Saman lampu isyarat merah
Saman menggunakan lorong kecemasan
Saman memotong secara berbahaya
Saman memotong di garisan kembar
Selain itu, saman melibatkan kemalangan, saman Non-Compoundable (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman pengubahsuaian ekzos, serta saman daripada Ops Selamat tahun semasa juga dikecualikan daripada diskaun ini.
Jika anda ada saman tertunggak yang layak, ini peluang terbaik untuk menyelesaikannya sebelum nama anda disenarai hitam atau menghadapi sekatan semasa memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.
Program Madani yang Sarat Aktiviti
Program ini bukan hanya mengenai penyelesaian saman trafik. Bertemakan “Madani di Hati, Rakyat Disantuni”, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan untuk para pengunjung. Antaranya:
Reruai pameran dan perkhidmatan terus kerajaan
Sesi interaktif bersama agensi kerajaan
Pameran TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional)
Karnival kerjaya
Jualan Madani dengan pelbagai tawaran menarik
Program ini bertujuan merapatkan hubungan rakyat dengan kerajaan sambil memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif kerajaan MADANI.
Jangan Lepaskan Peluang Ini!
Bagi anda yang berada di Kuala Lumpur atau kawasan berdekatan, pastikan anda tidak terlepas peluang untuk menikmati diskaun saman trafik ini. Selain menyelesaikan saman, anda juga boleh menyertai pelbagai aktiviti lain yang pastinya menarik dan bermanfaat.
Rancang waktu anda dan hadir ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur antara 22 hingga 24 November ini. Dengan inisiatif ini, kerajaan bukan sahaja membantu rakyat menyelesaikan saman dengan kos lebih rendah, tetapi juga menawarkan platform untuk berinteraksi dan mendapatkan manfaat terus daripada pelbagai agensi.
Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, semakin selesa dengan jentera barunya untuk menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024.
Semasa sesi latihan persendirian di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini, pelumba berusia 29 tahun itu telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan Ducati Panigale V4R, mencecah kelajuan sehingga 313 km/jam.
“Sebelum ini, saya tidak pernah mengendalikan V4. Saya biasanya menggunakan jentera dengan enjin inline… tetapi dengan V4 ini, saya merasai pengalaman yang unik, kita menjadi sebahagian daripada jentera itu,” katanya.
JDT Racing Team bersama Hafizh Syahrin akan menyertai saingan pertama mereka dalam ARRC 2024 dalam kelas Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini.
Hafizh Syahrin, yang menggunakan model terkini jentera buatan Itali ini untuk kali pertama, optimis dapat memberikan saingan terbaik dan mengejar gelaran juara keseluruhan musim ini.
“Pengalaman saya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebelum ini akan menjadi modal saya. ARRC bukan cabaran mudah, tetapi saya yakin dengan sokongan daripada pasukan JDT Racing Team, kami mampu berada di podium dan memberikan saingan di tiga tangga teratas,” katanya.
Pada Oktober lepas, JDT meluaskan aktiviti mereka dengan terlibat dalam sukan permotoran bersama Hafizh Syahrin, yang merupakan wakil Malaysia pertama yang bersaing dalam MotoGP pada 2018, dan menjadikan ARRC musim 2024 sebagai projek perintis.
Apabila ditanya tentang persediaannya untuk menghadapi ARRC, Hafizh Syahrin menyatakan bahawa dia telah bersedia dari segi mental dan fizikal, terutamanya kerana pusingan pertama berlangsung semasa bulan puasa.
“Kita sedia maklum bahawa awal tahun cuaca di Thailand agak panas, jadi kita perlu bersedia dengan keadaan cuaca yang lebih kering berbanding di Malaysia. Kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat dan saya akan tetap berusaha sebaik mungkin walaupun berpuasa,” katanya.
Kejuaraan ARRC 2024 melibatkan enam pusingan dengan 12 perlumbaan, dengan negara-negara seperti Jepun, China, Thailand, Indonesia, dan Malaysia turut terlibat.
Ola S1 Pro ‘Sona’ Edisi Eksklusif: Motosikal Buatan India dengan Sentuhan Emas 24-Karat
Ola Electric, pengeluar motosikal elektrik terkemuka India, telah melancarkan S1 Pro ‘Sona’...