Berita

Volkswagen Umum Kehadiran Sistem IQ.DRIVE Pada Model #SUVW Tiguan Allspace

Share

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan keluarga model #SUVW Tiguan Allspace telah dilengkapi IQ.DRIVE. SUV berkenaan ditawarkan dalam tiga varian iaitu R-Line 4MOTION, Elegance dan Life.

Model yang telah ditambah baik itu kini dilengkapi pelbagai ciri IQ.DRIVE seperti Bantuan Hadapan (Front Assist), Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control), Bantuan Sisi (Side Assist), Amaran Lintasan Trafik Belakang (Rear Cross Traffic Alert) dan Bantuan Lorong (Lane Assist) bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa serta selamat untuk para pemandu. Ciri pengecas tanpa wayar juga menjadi satu ciri standard untuk semua varian.

Ruang dalaman untuk ketiga-tiga varian ini tidak kurang hebatnya dengan ciri ketersambungan terbaik seperti Digital Cockpit dan sistem infohibur 9.2″ Discover Pro bersama App-Connect tanpa wayar.

Ciri-ciri standard lain yang ada pada keluarga Tiguan ialah sistem pendingin hawa 3 zon ‘Air Care Climatronic’, pintu belakang elektrik, kamera undur multi-pandangan, USB-C, soket pengecas, sambungan aplikasi tanpa wayar (Apple CarPlay, Android Auto) dan arahan suara.

Kesemua tiga varian tersebut didatangkan dalam lima warna menarik iaitu kelabu (Platinum Grey), perak (Pyrite Silver), putih (Oryx White), biru (Atlantic Blue) dan hitam (Deep Black). Tidak ketinggalan, pelbagai ciri menarik untuk memastikan seluruh keluarga sentiasa selamat dan terhibur.

Model teratas Tiguan Allspace R-Line merupakan sebuah SUV berprestasi tinggi. Penampilannya cukup agresif sama ada berada di atas jalan biasa mahupun ketika off-road dengan rim aloi Sebring bersaiz 19”. Ia menawarkan kuasa dan tork paling tinggi dalam kelasnya, terima kasih kepada enjin 2.0TSI turbo berkuasa 220PS dan tork 350Nm yang dipadankan dengan transmisi DSG 7-kelajuan. Hasilnya, prestasi pemanduan yang lebih lancar dan bertenaga.

#SUVW flagship itu juga dipasang dengan sistem bunyi digital Harman Kardon 480W, terdiri daripada satu amplifier 16 saluran dan bunyi keliling yang sofistikated bersama reka bentuk elegan. Ia memberikan kualiti akustik yang sangat mengagumkan menerusi 10 unit pembesar suara berprestasi tinggi.

BACA JUGA: Kia Picanto 2023 Tampil Lebih Garang, Namun Tiada Enjin Turbo

Tiguan Allspace Elegance dan Allspace Life pula dilengkapi enjin 1.4TSI turbo yang mampu menjana kuasa 150PS dan tork 250NM yang dipadankan bersama kotak gear DSG 6-kelajuan. Kombinasi itu menjanjikan pengalaman pemanduan mengujakan dan penjimatan bahan api sekitar 7.7L/100km.

Ketiga-tiga varian itu kini ditawarkan dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang memberikan pelanggan jaminan lanjutan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama 3 tahun. Bergantung kepada model terpilih, VAP adalah bernilai dari RM8,000 hingga RM10,000. Pelanggan yang tidak mahu membeli pakej jaminan itu akan menerima jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.

Harga runcit cadangan (RRP) untuk keluarga Tiguan Allspace baharu tidak termasuk VAP  bermula daripada RM165,990 hingga RM245,990. Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok. 

Published by
Fiezreen