Buat masa sekarang, Toyota dilihat sedang giat berusaha untuk menambah baik barisan GR mereka yang sedia ada. Ini termasuklah Toyota GR Yaris yang dikatakan di antara model paling hangat di pasaran tempatan bagi segmen ‘hot hatch’ JDM (Japanese Domestic Market).
Jika dilihat secara kasar, Toyota bolehlah dikatakan sedang menggunakan segala pengalaman dan pengetahuan mereka dalam sukan permotoran bagi menjadikan barisan GR sentiasa dikemaskini dan memenangi hati pelbagai pihak terutama pemandunya.
Berdasarkan laporan terkini daripada laman automotif Japan Best Car Web, GR Yaris bakal berada di pasaran sekitar pertengahan tahun hadapan.
Kebiasaannya, pengeluar kereta yang mengemaskini model sedia ada, mereka akan lebih menitikberatkan soal rupa dan aksesori. Namun, Toyota turut membawakan perubahan dari sudut prestasi.
GR Yaris bakal mendapat peningkatan kuasa serta pilihan transmisi automatik buat kali pertama. Lebih yakin untuk bergerak di sekitar Lembah Klang lepas ini dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.
Toyota mempertingkatkan angka output bagi GR Yaris supaya ia dapat menyaingi kuasa GR Corolla yang menghasilkan sekitar 300 HP.
Perubahan kosmetik akan dihadkan kepada bahagian bampar, diikuti dengan pemasangan spoiler belakang yang besar. Menambahkan lagi daya mendapan supaya kereta lebih ‘melekat’ di jalan dan mudah untuk dikendalikan.
Ruang dalaman GR Yaris ditambah baik dengan menggunakan skrin kluster digital bagi menggantikan meter analog sedia ada, sama seperti apa yang ditawarkan pada GR Corolla. GR Yaris ditawarkan untuk pasaran Malaysia bermula dari RM 299,000.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.